Now Reading
150 Hari Kembara Berbasikal Dari KL, 3 Rakyat Malaysia Sampai Di Madinah Untuk Tunaikan Haji

150 Hari Kembara Berbasikal Dari KL, 3 Rakyat Malaysia Sampai Di Madinah Untuk Tunaikan Haji

Walau bagaimanapun, separuh perjalanan jelajah tersebut terpaksa menggunakan kenderaan atas faktor-faktor yang tidak dapat dielakkan.

Sepasang suami isteri dan seorang lelaki telah tiba di Madinah bagi menunaikan ibadah haji dalam kembara berbasikal selama 150 hari dari Kuala Lumpur.

Ahmad Mohd Isa dan isteri Noradilah Mohd Sapie, serta seorang kakitangan Institut Penyelidikan Perhutanan (FRIM), Abdul Halim Talha telah tiba di Madinah pada Jumaat lalu (19 April) dalam perjalanan sejauh 12,000 kilometer.


Suami Isteri Pernah Berbasikal Ke Mekah Pada 2016

Ini bukanlah kali pertama pasangan suami isteri terbabit melakukan kayuhan sedemikian. Pada tahun 2016, mereka yang baru berkahwin ketika itu telah berbasikal untuk menunaikan umrah di Mekah.

Mereka mengambil masa setahun tiga bulan ketika itu memandangkan turut berbulan madu di 14 negara sebelum tiba di tanah suci.

Menurut Ahmad, kayuhan kali ini adalah lebih singkat, iaitu lima bulan sahaja, memandangkan matlamat utama mereka adalah untuk menunaikan haji.

Pengembaraan kali ini lebih berfokus iaitu menunaikan haji yang membabitkan laluan tujuh negara dengan lima bulan sahaja masa yang diambil untuk sampai di sini (Madinah).

Pengembara, Ahmad Mohd Isa

Separuh Perjalanan Menggunakan Kenderaan

Di samping itu, disebabkan atas faktor-faktor yang tidak dapat dielakkan, separuh perjalanan mereka terpaksa menggunakan kenderaan termasuk kapal terbang, kereta api, feri dan kereta.

Dari Kuala Lumpur, kumpulan pengembara itu berbasikal ke Thailand, sebelum menaiki kapal terbang ke India. Mereka kemudiannya menyambung perjalanan ke Pakistan dan Iran secara berbasikal.

Dari sana, mereka menaiki feri untuk ke Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan menyambung kayuhan ke Arab Saudi.

Berdasarkan perkongsian Ahmad di Facebook, mereka telah menaiki kapal terbang, kereta api, bas dan feri sekali, serta kereta sebanyak enam kali. Ini menjadikan jumlah kayuhan mereka sebanyak 6,000 kilometer.

Peta kayuhan dari Malaysia ke Mekah. (Sumber gambar: Ahmad Isa/ Facebook)

Seorang Rakan Tidak Dapat Selesaikan Misi Kayuhan

Ahmad juga memaklumkan bahawa pada awalnya seorang lagi rakannya yang merupakan bekas wartawan sambilan Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama), Che Saad Nordin, telah berbasikal bersama.

Namun begitu, dia tidak dapat meneruskan pengembaraan disebabkan faktor kesihatan dan cuaca sejuk ketika mereka tiba di Pakistan sekitar Januari lalu.

Ahmad berkata Che Saad sudah 22 kali berbasikal menjelajahi Malaysia, namun kesihatannya terjejas atas faktor geografi pergunungan dan cuaca sejuk di sana.

Ketika memasuki Pakistan, cuaca sejuk dengan suhu di bawah 10 darjah Celsius menyebabkan kesihatan Pak Ad (Che Saad) merosot dengan batuk berpanjangan, hilang selera makan, jadi menjadi halangan kepadanya untuk berkayuh (basikal) dan terpaksa mendapatkan rawatan di hospital.

Pengembara, Ahmad Mohd Isa

Menurutnya, Che Saad setuju untuk pulang ke Malaysia menaiki kapal terbang setelah perbincangan bersama dan atas nasihat doktor agar tidak meneruskan pengembaraan tersebut.

Kesihatan Che Saad kini sudah bertambah baik setelah mendapatkan rawatan susulan setibanya di dalam negara.


Hasilkan Poskad Untuk Tampung Kos Haji

Bagi menampung kos haji, Ahmad berkata mereka telah menghasilkan poskad yang berinspirasikan setiap negara dijelajahi. Sebanyak 1,558 keping poskad telah berjaya dijual berjumlah RM141,000.

Menurut perkongsiannya di Facebook, mereka meletakkan bajet perbelanjaan sebanyak RM55,000 seorang termasuk kos haji RM40,000.

Ahmad juga memaklumkan bahawa untuk menunaikan haji, mereka diberi beberapa pilihan termasuk menerusi “visa mujamalah dari Kedutaan Arab Saudi yang diberi kepada agensi atau pengelola haji yang terpilih dari Malaysia”.

Sumber gambar: Ahmad Isa/ Facebook.

Get more stories like this to your inbox by signing up for our newsletter.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd