Now Reading
[Video] Hutang Belum Lunas, Umat Islam Tak Boleh Solat Jamak & Qasar. Ini Penjelasan Sebenar

[Video] Hutang Belum Lunas, Umat Islam Tak Boleh Solat Jamak & Qasar. Ini Penjelasan Sebenar

Difahamkan, individu berhutang yang ingin bermusafir perlu meminta keizinan dan keredhaan daripada si pemberi hutang terlebih dahulu agar dia dapat menunaikan solat Jamak dan Qasar.

https://www.tiktok.com/@jafrimahmoodi_off/video/7340227706052676871

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!


Agama Islam membenarkan umatnya yang bermusafir sejauh 81 kilometer (Km) atau bersamaan dengan dua marhalah dalam tempoh tidak melebihi tiga (3) hari untuk melakukan solat Jamak dan Qasar.

Jamak dan Qasar dapat meringankan umat islam untuk menunaikan solat fardhu ketika dalam perjalanan ke sesuatu tempat supaya ia dapat dilaksanakan dalam apa jua keadaan.

Artikel Berkaitan: Jawatankuasa Fatwa Johor Wartakan 81km Jarak Baru Syarat Sah Solat Jamak & Qasar

Bagaimanapun, baru-baru ini seorang pendakwah bebas yang dikenali sebagai Ustaz Jafri Abu Bakar Mahmoodi menjelaskan tentang hukum orang yang bermusafir tetapi mempunyai hutang untuk solat Jamak dan Qasar.

Orang bermusafir tapi ada tunggakan hutang tak boleh solat Jamak dan Qasar

Menerusi hantaran video yang dimuat naik di akaun TikTok miliknya @jafrimahmoodi_off, Ustaz Jafri berkata individu yang bermusafir dalam keadaan mempunyai tunggakan hutang tanpa meminta izin terlebih dahulu daripada orang yang memberi hutang adalah salah di sisi syarak.

Menurutnya, permusafiran oleh individu itu boleh mengundang dosa selain dia tidak dibenarkan untuk melakukan solat Jamak dan Qasar.

“Salah satu daripada permusafiran yang dianggap sebagai salah di sisi syarak ialah permusafiran seorang yang berhutang (ada tunggakan hutang) tetapi dengan duit itu dia guna untuk bermusafir tanpa minta izin daripada orang yang memberikannya hutang.

“Maksudnya duit itu sepatutnya bayar hutang, tapi dia guna untuk bermusafir atas perkata yang harus, sebagai contoh ziarah adik beradik, melancong, jumpa kawan-kawan bukan permusafiran darurat atau keperluan yang mendesak.

“Maka kalau tak minta izin daripada tuan yang memberinya hutang itu, permusafiran itu dianggap sebagai permusafiran yang boleh mengundang dosa dan dia tidak boleh (solat) Jamak dan Qasar,” jelasnya.

Boleh bermusafir jika minta izin dan dapat reda daripada orang memberi hutang

Menurutnya lagi, sekiranya individu berhutang itu telah meminta izin daripada orang yang memberi hutang dan mendapat keredhaan, maka dia boleh bermusafir serta melakukan solat Jamak atau Qasar.

Jelas Ustaz Jafri, perkara yang diterangkan olehnya ini hanyalah berkaitan hutang yang perlu dibayar dalam kadar segera atau hutang tertunggak.

Ujarnya, bagi hutang berjadual atau hutang yang belum sampai tempoh yang perlu dibayar pula, ia tidak menjadi masalah untuk bermusafir serta melakukan solat Jamak dan Qasar.

Hutang berjadual adalah seperti pinjaman (loan) daripada institusi kewangan seperti bank dan pembayaran balik pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

Apa itu solat Jamak dan Qasar?

Sekadar info, solat Jamak ialah mengimpunkan dua solat dan dilakukan dalam satu waktu, contonya solat Zohor dengan Asar atau solat Maghrib dengan Isyak.

Manakala solat Qasar pula, ialah memendekkan solat yang empat rakaat kepada dua rakaat. Solat yang boleh diqasarkan ialah solat yang empat rakaat sahaja iaitu zohor, asar dan isyak.


Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram

Get more stories like this to your inbox by signing up for our newsletter.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd