Label Fruit Juice & Fruit Drink Bukan Saja-Saja Dibuat, Ketahui Perbezaan Mereka
Menurut pengguna TikTok, Atif Zul, terdapat syarat yang harus diikut bagi melabelkan sesuatu produk sebagai jus buah-buahan.


Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!
Jus buah-buahan dikatakan sebagai pilihan minuman yang berkhasiat kerana ia mengandungi nutrien seperti mineral dan vitamin.
Lebih berkhasiat sekiranya dihasilkan sendiri dengan memerah atau mengisar buah-buahan, namun kewujudan jus buah kotak adalah lebih memudahkan sekaligus dapat menjimatkan masa penyediaan.
Kalau anda biasa membeli minuman berkotak, pasti akan perasan terdapat dua jenis air buah-buahan yang dipasarkan iaitu jus buah (fruit juice) dan minuman buah (fruit drink).
Seorang pengguna TikTok, Atif Zul (@atifzul), telah menjelaskan perbezaan antara kedua-dua air kotak ini.
Minuman Buah-Buahan Hanya Mengandungi 1% Pati Jus
Menerusi video yang dimuat naik Atif, jus buah-buahan mengandungi 17% pati jus, manakala minuman buah-buahan hanya dihasilkan menggunakan 1% pati jus.


Dalam masa yang sama, video tersebut turut menerangkan bahawa jus buah-buahan hanya mengandungi tiga bahan iaitu air, pati jus dan vitamin C.
Sebaliknya, minuman buah-buahan mengandungi pelbagai bahan termasuk gula, penstabil, bahan perisa dan pewarna.
@atifzul If “Drink” is written on the box, it isn’t juice. #funfact #fact
♬ original sound – ATIF ZUL – ATIF ZUL
Perlu Ikut Syarat Jika Mahu Label Produk Sebagai Jus
Meninjau ke ruangan komen, Atif telah menjawab beberapa persoalan yang dikemukakan oleh pengguna lain.
Dia berkata dari segi undang-undang, minuman tidak boleh dilabelkan sebagai jus jika tidak mengikuti syarat ramuan.

Dia juga menerangkan bahawa walaupun dilabelkan sebagai ‘juice drink’, ia sebenarnya bukanlah jus, tetapi minuman berperisa jus.

Rasa Manis Minuman Buah Dari Gula
Di samping itu, seorang pengguna TikTok turut menjawab persoalan mengenai perbezaan antara istilah ‘jus’ dan ‘minuman’. Dia berkata rasa manis di dalam ‘jus’ datang dari pati jus, manakala ‘minuman’ mempunyai rasa manis gula.

Beberapa individu menyatakan bahawa minuman buah-buahan adalah lebih murah berbanding jus buah-buahan.
Jika dilihat pada video tersebut, dapat dilihat harga bagi minuman buah kotak adalah lebih kurang separuh daripada harga jus.


Pelabelan Jus & Minuman Buah-Buahan
Bahagian VIII Peraturan-Peraturan Makanan 1985 menerangkan tentang standard dan kehendak pelabelan tertentu bagi makanan.
Menerusi peraturan yang ditetapkan, jus buah-buahan secara asasnya adalah campuran air minuman dan jus buah. Ia harus mengandungi sekurang-kurangnya 35% berat bagi setiap isipadu jus buah.
Sebaliknya, bagi minuman buah-buahan, ia hendaklah mengandungi tidak kurang daripada 5% berat bagi setiap isipadu jus buah.
Walaupun Atif menerangkan hanya terdapat tiga ramuan jus buah-buahan, namun ia boleh ditambahkan gula, bahan pengawet, bahan pewarna, bahan perisa (asli dan serbasama bahan asli) dan kondisioner makanan yang dibenarkan.
Sebagai info tambahan, jika suatu jus buah-buahan itu dihasilkan daripada beberapa jenis buah, ia perlu dilabelkan dengan perkataan ‘minuman jus buah campuran’.
Baca Artikel Berkaitan: Konsisten Minum Jus Buah 100 Hari, Gadis Buktikan Masalah Kulit Wajah Semakin Pulih
Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.