Now Reading
Jaga Bapa Sakit Di HRPB, Wanita Maut Tertidur Dalam Kereta Berkunci

Jaga Bapa Sakit Di HRPB, Wanita Maut Tertidur Dalam Kereta Berkunci

Menurut Ketua Polis Daerah Ipoh ACP Yahaya Hassan, mangsa dipercayai masuk ke tempat duduk belakang kereta untuk berehat dan tidak membuka tingkap kereta.

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!


Seorang wanita telah ditemukan meninggal dunia di dalam sebuah kereta berkunci di kawasan parkir berhadapan Klinik Pakar, Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), Ipoh semalam (20 Februari 2024).

Siasatan lanjut mendapati wanita tersebut tertidur di dalam kereta jenis Toyata Camry ketika menjaga bapanya yang sakit.

Menurut Ketua Polis Daerah Ipoh ACP Yahaya Hassan, hasil siasatan mendapati mangsa menjaga bapanya yang sakit di wad hospital berkenaan.

Mangsa kemudiannya dipercayai masuk ke tempat duduk belakang kereta untuk berehat dan tidak membuka tingkap kereta.

“Dia masuk dalam kereta untuk berehat di tempat duduk belakang tanpa membuka cermin tingkap.”

Ketua Polis Daerah Ipoh ACP Yahaya Hassan

Yahaya memaklumkan bedah siasat dijadualkan pada hari ini (21 Februari) dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR) sementara menunggu hasil pembedahan, lapor Buletin TV3.


Wanita Ditemukan Terbaring Di Tempat Duduk Belakang Kereta

Pihak polis sebelum itu telah menerima maklumat berkenaan wanita berusia 20 tahun tersebut daripada seorang pengawal keselamatan, kata Yahya.

Pengadu memaklumkan melihat seorang wanita tidak sedarkan diri dan disyaki telah meninggal dunia di dalam sebuah kereta di kawasan parkir HRPB.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad, berkata pihaknya telah menerima panggilan kecemasan pada jam 6.07 petang semalam.

Sehubungan dengan itu, anggota daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ipoh telah dikejarkan ke lokasi kejadian.

Polis telah menerima panggilan daripada pengawal keselamatan hospital pada petang Selasa, menyatakan seorang wanita ditemui tidak sedarkan diri dan disyaki meninggal dunia di dalam kereta.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad

Menurut Berita Harian pula, wanita terbabit ditemukan di kerusi bahagian belakang kereta dalam keadaan sedang berbaring dan beralaskan bantal.


Wanita Disahkan Meninggal Di Tempat Kejadian

Setibanya di sana, pihak bomba bertindak membuka pintu kereta yang berkunci itu menggunakan peralatan khas.

Pegawai kesihatan yang berada di tempat kejadian kemudiannya cuma memberi rawatan awal kepada mangsa sebelum dia disahkan meninggal dunia.

“Mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut dan operasi ditamatkan jam 6.53 petang,” kata Sabarodzi.


Jangan Tidur Dalam Kereta

Dalam masa yang sama, Yahaya menasihati orang ramai agar tidak tidur di dalam kereta.

Menurutnya, jika sistem penghawa dingin tidak berpasang sewaktu enjin kereta dimatikan, kereta yang tidak dibuka tingkap akan kekurangan oksigen.

Keadaan ini seterusnya boleh menyebabkan kematian mengejut.


Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.

Get more stories like this to your inbox by signing up for our newsletter.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd