Now Reading
Campur Produk Pencuci Dengan Peluntur Boleh Sebabkan Keracunan & Maut

Campur Produk Pencuci Dengan Peluntur Boleh Sebabkan Keracunan & Maut

Campuran produk cucian dengan peluntur boleh menghasilkan gas klorimina dan klorin yang berbahaya serta boleh membawa maut.

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!


Mencuci tandas adalah antara rutin mingguan ataupun harian yang dilakukan untuk mengekalkan bilik mandi dalam keadaan yang bersih dan selesa.

Dengan lambakan produk pencuci tandas di pasaran, tidak sukar untuk mencari bahan pencuci yang sesuai dan memudahkan kerja.

Sesetengah individu turut menggunakan peluntur sebagai bahan pencuci kerana bahan kimianya yang kuat dapat menghilangkan kebanyakan kotoran degil serta mematikan kuman.

Dalam masa yang sama, terdapat tips yang dikongsikan untuk memudahkan kerja pencucian seperti mencampurkan bahan pencuci dengan peluntur.

Sebenarnya, tips tersebut akan mendatangkan bahaya sehingga boleh membawa maut!


Campuran Bahan Pencuci Menghasilkan Gas Beracun

Campuran pencuci tandas dan peluntur adalah antara salah satu campuran kimia yang paling berbahaya kerana ia akan menghasilkan gas klorimina (NH2CL).

Menurut seorang pengguna laman X (@the_beardedsina), gas tersebut dihasilkan kerana pencuci tandas mengandungi bahan kimia ammonia (NH3), manakala peluntur mempunyai natrium hipoklorit (NaOCL) dalam nisbah yang tinggi.

Malah, pencuci tandas turut mengandungi asid yang apabila bereaksi dengan NaOCL akan menghasilkan gas klorin yang lebih berbahaya.

Kebanyakan bahan pencuci mengandungi ammonia dan klorin yang berfungsi dalam menanggalkan kotoran.

Berdasarkan laman web Real Simple, terdapat beberapa bahan pencuci lain yang tidak boleh dicampurkan termasuk cuka, hidrogen peroksida, pencuci longkang, dan alkohol gosok (rubbing alcohol).

Bilas dahulu pencuci tandas sebelum meletakkan peluntur bagi tujuan mematikan kuman. (Sumber gambar: Pexels).

Keracunan Bahan Pencuci Meningkat Mungkin Disebabkan COVID19

The Centers for Disease Control and Prevention (CDC) melaporkan peningkatan 20% dalam aduan ke pusat pengawalan racun Amerika Syarikat pada awal 2020.

Perkara ini dikaitkan dengan pandemik COVID19 yang menyebabkan orang ramai sering mencampurkan bahan pencuci dengan tujuan untuk membasmi kuman.

Kedua-dua gas klorin dan klorimina boleh mendatangkan bahaya kepada mereka yang berada di kawasan berhampiran, terutamanya dalam ruang yang tertutup.

Merujuk kepada laman web Healthline, campuran bahan kimia tersebut boleh menyebabkan ruang pernafasan terasa pedih sehingga mendatangkan perasaan seperti tercekik.

Simptom keracunan lain adalah:

  • Mata pedih dan panas
  • Batuk
  • Sesak nafas
  • Mual
  • Sakit di dalam tekak, dada dan paru-paru
  • Cecair di dalam paru-paru

Gas ini pada kepekatan tinggi boleh menyebabkan koma dan kematian, namun ia amat jarang berlaku.

Buka tingkap bilik air ketika melakukan pencucian untuk mengelakkan gas berbahaya terperangkan. (Sumber gambar: Unsplash).

Dapatkan Rawatan Segera Jika Terdedah Kepada Gas Berbahaya

Kebanyakan bahan pencuci mengandungi tanda amaran supaya tidak dicampurkan dengan peluntur mahupun produk pencuci lain.

Hal ini adalah kerana setiap produk pencucian mungkin mengandungi bahan kimia berbeza yang boleh menghasilkan gas berbahaya jika dicampurkan bersama.

Sumber gambar: @areuizany/ X

AMARAN: Jangan sesekali mencampurkan bahan pencuci jika anda bukan seorang ahli kimia.

Jika anda mengalami keracunan gas akibat bahan pencuci, berikut merupakan antara langkah-langkah yang boleh diambil:

  1. Beralih ke tempat yang lebih selamat dan mempunyai pengudaraan lebih elok dengan segera.
  2. Segera menghubungi talian kecemasan jika berasa sukar untuk bernafas.
  3. Buka tingkap dan kipas untuk menghilangkan gas yang berlegar.
  4. Hubungi Pusat Racun Negara untuk mendapatkan maklumat tentang pengurusan keracunan.
  5. Ikut arahan kaedah pencucian yang diterima daripada pusat racun.

Seseorang yang terdedah kepada gas klorin mahupun klorimina elok mendapatkan rawatan segera di hospital.

Malah, imbasan sinar-X pada bahagian dada mungkin dilakukan dalam kes yang teruk bagi melihat kesan gas terhadap paru-paru.


Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.

Get more stories like this to your inbox by signing up for our newsletter.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd