Now Reading
Konon Ditahan Polis, Remaja 15 Tahun Komplot Dengan Rakan Tipu Duit Ibu RM25,000

Konon Ditahan Polis, Remaja 15 Tahun Komplot Dengan Rakan Tipu Duit Ibu RM25,000

Menurut Ketua Polis Daerah Alor Gajah, suspek didakwa tidak pulang ke rumahnya di Masjid Tanah pada 27 November 2023 yang lalu hingga menimbulkan rasa gusar kepada ibunya.

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!


Kasih sayang ibu bapa terhadap anak-anak melangkaui segalanya. Ini kerana kebanyakan daripada mereka sanggup melakukan apa sahaja asalkan anak berada dalam keadaan bahagia.

Malah, tiada ibu bapa yang sanggup melihat cahaya mata mereka berada dalam kesusahan. Pastinya mereka sehabis baik akan melakukan apa sahaja bagi memastikan anak tersayang keluar dari masalah tersebut.

Namun, ada segelintir anak-anak pada masa kini dilihat mengambil kesempatan terhadap kebaikan ibu bapa mereka sendiri.

Sanggup Berkomplot Dengan Rakan, Konon Ditahan Polis

Itulah yang berlaku kepada seorang wanita apabila dia ditipu oleh anaknya sendiri yang berusia 15 tahun.

Taktik licik pelajar tingkatan 3 bersama dua orang rakannya menipu ibunya sendiri akhirnya membawa padah apabila ketiga-tiga mereka diberkas polis.

Menurut Ketua Polis Daerah Alor Gajah Superintenden Arshad Abu, suspek didakwa tidak pulang ke rumah di Masjid Tanah pada 27 November 2023 yang lalu hingga menimbulkan rasa gusar kepada ibunya.

Kerana risau, ibu suspek yang merupakan pembantu klinik pergi menemui rakan anaknya yang berumur 17 tahun.

Wanita berkenaan dimaklumkan kononnya suspek ditahan di Balai Polis Seremban, Negeri Sembilan.

“Rakan anaknya itu juga memberitahu bahawa si ibu perlu memberi wang tunai sebanyak RM25,000 untuk pembebasan.

“Dalam kejadian ini seorang lagi lelaki berusia 29 tahun, juga rakan kepada kedua-dua remaja ini telah terlibat dan memainkan peranan menyamar sebagai anggota polis untuk memperdayakan mangsa.

“Pada 29 November 2023, mangsa telah pergi ke Pejabat Tabung Haji Cawangan Masjid Tanah untuk mengeluarkan wang berjumlah RM25,000 dan diserahkan secara tunai kepada suspek berusia 17 tahun itu,” katanya yang dipetik dari Utusan Malaysia.

Ibu Buat Semakan Di Balai Berhubung Penangkapan Anak

Suspek kemudiannya pulang ke rumah pada 30 November 2023. Namun, pada 1 Disember, mangsa bertindak membuat semakan berhubung penahanan anaknya itu melalui adik iparnya.

“Selepas anaknya pulang, mangsa membuat semakan di balai polis melalui adik iparnya dan hasil semakan mendapati tiada sebarang tangkapan dibuat ke atas suspek.

“Dalam perkara ini mangsa mengesyaki dirinya telah ditipu dengan rakan anaknya dan telah membuat laporan polis pada 2 Disember 2023.

“Polis menahan ketiga-tiga suspek bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 109 kanun sama,” ujarnya.

Ketiga-tiga suspek itu akan didakwa di Mahkamah Majistret Alor Gajah hari ini (19 Januari).


Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: FacebookTwitterThreads dan Instagram

Get more stories like this to your inbox by signing up for our newsletter.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd