Now Reading
Kecoh Isu Surat Larang Adakan Majlis Khatam Quran, Wanita Jelaskan Maksud Sekolah Mubaligh

Kecoh Isu Surat Larang Adakan Majlis Khatam Quran, Wanita Jelaskan Maksud Sekolah Mubaligh

Satu sekolah mubaligh telah menerima larangan menjalankan Majlis Khatam al-Quran daripada Pejabat Keuskupan Kuching.

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!


Baru-baru ini, tular surat kenyataan yang melarang sebuah sekolah mubaligh menganjurkan Majlis Khatam al-Quran bagi murid Tahun 6 di institusi berkenaan.

Kenyataan tersebut diterima daripada Pejabat Keuskupan (The Diocesan Office) Kuching.

Dalam kenyataan bertarikh 11 Disember 2023, larangan itu dilakukan atas dasar ‘rasa tidak selesa’ dan bertentangan dengan jangkaan pihak keuskupan untuk mengadakan program sedemikian di kawasan sekolah mubaligh tersebut.

Namun begitu, memandangkan institusi tersebut merupakan sebuah sekolah kebangsaan, orang ramai mempersoalkan larangan sedemikian.

Terdapat juga individu yang mempersoalkan mengapa sekolah tersebut telah menjalankan Majlis Khatam al-Quran beberapa kali sebelum ini, tetapi hanya kali ini dilarang.


Sekolah Mubaligh Didaftar Di Bawah PPD

Sehubungan dengan itu, seorang pengguna laman X, Sharon (@sharonlasam) telah memperjelaskan maksud sekolah mubaligh.

Katanya, sekolah mubaligh pada asalnya dipelopori oleh pihak gereja. Ia kemudiannya didaftarkan sebagai Sekolah Kebangsaan di bawah Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) bagi mendapatkan sukatan pelajaran negara.

Dari segi bantuan, Sharon mendakwa sekolah mubaligh hanya mendapat separuh bantuan kerajaan. Kebanyakan pembangunan sekolah dilakukan menggunakan wang sumbangan ibu bapa.

Sharon juga berkata ketika masih bersekolah menengah, sekolahnya digelar sebagai Sekolah Menengah Bantuan (SMB) dan bukannya Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK).

Tambahnya lagi, di Kuching, sekolah-sekolah mubaligh Kristian berada di kedudukan teratas berbanding sekolah lain. Perkara ini menyebabkan permintaan supaya sekolah mubaligh dibuka untuk semua tanpa mengira agama.

Menurut Sharon, walaupun pelajar beragama selain Kristian diterima masuk ke sekolah mubaligh, pihak gereja masih perlu menjaga sekolah terbabit dan budayanya masih diterapkan.


Sekolah Mubaligh Jadi SMK Sejak 1997

Untuk makluman, sekolah mubaligh telah bertapak di dalam negara sejak sekian lama dan telah mula diasaskan oleh golongan Anglikan. Penang Free School merupakan sekolah mubaligh pertama yang dibuka di tanah air pada tahun 1816.

Menurut satu laporan oleh Gabungan Sekolah-Sekolah Mubaligh Kristian Malaysia (FCMSM) pada 2021, terdapat 424 sekolah mubaligh di seluruh Malaysia. Menjadikannya hanya 4% daripada jumlah institusi pendidikan rendah dalam negara.

National Evangelical Christian Fellowship (NECF) Malaysia menyatakan bahawa sekolah mubaligh bersetuju untuk menjadi sekolah bantuan kerajaan sejak 1971.

Pada tahun 1997, KPM telah mengeluarkan pekeliling supaya SMB diubah nama menjadi Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) dan Sekolah Rendah Bantuan (SRB) ditukar kepada Sekolah Kebangsaan (SK) seperti yang dikenali pada masa kini.

Penulis blog KuchingBorneo, Cyril Dason, berkata walaupun sekolah mubaligh kini bergelar SMK atau SK, ia masih dijaga oleh pihak gereja. Malah, ia tidak menerima bantuan penuh dari kerajaan dan hanya mendapat peruntukan tertentu.

Menurut satu lagi pekeliling oleh Pejabat Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia, sekolah mubaligh telah melaksanakan sepenuhnya sistem pendidikan kebangsaan.

Namun begitu, sekolah mubaligh masih boleh mengekalkan identitinya, yang termasuk pelantikan pengetua dan guru besar.


Sekolah Mubaligh Tawar Pendidikan Kristian

Seperti yang dimaklumkan oleh Sharon, sekolah mubaligh masih menawarkan pendidikan agama kepada murid Kristian dan lembaga sekolah berada di bawah bidang kuasa pihak gereja.

Merujuk kepada Seksyen 51 Akta Pendidikan 1996, pendidikan agama selain daripada agama Islam boleh dijalankan di sekolah pendidikan bantuan kerajaan.

Walaupun begitu, pendidikan tersebut tidak boleh dibiayai dengan wang yang diperuntukkan oleh Parlimen. Selain itu, murid tidak boleh mengikuti pengajaran agama lain daripada anutannya, kecuali jika mendapat keizinan bertulis ibu bapanya.

Dalam masa yang sama, Seksyen 50 akta sama menetapkan bahawa mana-mana institusi pendidikan, termasuk sekolah bantuan kerajaan, wajib menawarkan pendidikan Islam jika terdapat sekurang-kurangnya lima orang pelajar beragama Islam.


Perlu Serah Tanah Sekolah Pada KPM Untuk Jadi Sekolah Bantuan Kerajaan Penuh

Menurut Sharon, sekolah mubaligh yang diperkatakan itu dibina di atas tanah milik gereja. Perkara ini menyebabkan ia tidak menerima bantuan kerajaan sepenuhnya.

Portal Rasmi Dewan Negeri Selangor menyenaraikan sebab-sebab sekolah jenis kebangsaan, atau lain-lain, tidak menjadi sekolah bantuan penuh termasuk kerana tanah sekolah bukan milik Pesuruhjaya Tanah Persekutuan (PTP).

Untuk menjadi sekolah bantuan penuh, sekolah perlu menyerahkan tanah kepada KPM jika ia milik individu atau pihak tertentu.

Walau bagaimapaun, pelobi pendidikan, Datin Noor Azimah Abdul Rahim sebelum ini dilaporkan berkata kerajaan perlu menghentikan sistem pembiayaan separa sekolah.

Katanya, semua sekolah, termasuk sekolah mubaligh dan vernakular patut dibiayai oleh kerajaan. Dalam masa yang sama, kerajaan harus membenarkan pihak sekolah mengekalkan struktur tadbir urus dan pemegang amanah mereka.

https://twitter.com/sharonlasam/status/1743924490139312243

Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.

Get more stories like this to your inbox by signing up for our newsletter.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd