Now Reading
Sudah Dimansuhkan Sejak 1976, Bolehkah Pilihan Raya PBT Dikembalikan Semula?

Sudah Dimansuhkan Sejak 1976, Bolehkah Pilihan Raya PBT Dikembalikan Semula?

Pilihan raya Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) kali terakhir dijalankan pada tahun 1963 dan telah dimansuhkan melalui Akta Kerajaan Tempatan 1976.

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!


Isu tentang pilihan raya Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) sedang hangat dibincangkan sejak akhir-akhir ini berikutan gesaan Pengerusi DAP Kuala Lumpur, Tan Kok Wai terhadap kerajaan supaya pilihan raya PBT dikembalikan semula.

Tan yang juga Ahli Parlimen Cheras, pada 17 Disember lalu berkata pilihan raya tersebut merupakan sebahagian daripada usaha bagi menyemarakkan demokrasi di Wilayah Persekutuan.

Malah, ada individu yang mempercayai pilihan raya PBT penting supaya pihak tersebut dapat memperbaiki masalah kerosakan infrakstruktur di kawasan masing-masing.

Pilihan raya PBT sebelum ini pernah dicadangkan oleh pihak Pakatan Harapan (PH) setelah memenangi Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14. Namun perancangannya dibatalkan apabila tampuk pemerintahan kerajaan diambil alih oleh Perikatan Nasional (PN).


Undang-Undang Berkenaan Pilihan Raya PBT

Mungkin timbul persoalan, jika ingin dijalankan pilihan raya tersebut, mengapa tidak dilakukan sahaja oleh kerajaan negeri? Sebenarnya, ia tidak semudah itu.

Seksyen 10 Akta Kerajaan Tempatan 1976 (Akta 171) menyatakan bahawa Ahli Majlis di bawah satu PBT dilantik oleh Pihak Berkuasa Negeri (Sultan atau Yang di-Pertua Negeri).

Malah, Seksyen 15(1) akta yang sama menjelaskan bahawa peruntukan berhubung dengan pilihan raya kerajaan tempatan dihentikan, walaupun terdapat undang-undang lain mengenainya.

Oleh yang demikian, pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), tidak lagi boleh melaksanakan Akta Pilihan Raya Kerajaan Tempatan.

Menurut bekas Timbalan Pengerusi SPR, Datuk Wan Ahmad Wan Omar, walaupun pilihan raya tersebut berada di bawah bidang kuasa kerajaan negeri, namun Perkara 95A Perlembagaan Persekutuan menetapkan bahawa sebarang perubahan dasar perlu diputuskan oleh Majlis Negara bagi Kerajaan Tempatan.


Boleh Dilakukan Namun Perlu Pinda Akta

Di samping itu, Prof Madya Dr Muhammad Fathi Yusof dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM) berpendapat bahawa sebarang pilihan raya perlu dilaksanakan secara bersepadu dengan penetapan dasar di peringkat kebangsaan.

Katanya lagi, mengadakan pilihan raya secara berasingan dilihat bercanggah dengan prinsip demokrasi.

Merujuk kepada Portal Rasmi Dewan Negeri Selangor, jika Majlis Negara bagi Kerajaan Tempatan bersetuju supaya pemilihan Ahli Majlis dilakukan melalui pilihan raya, kedua-dua Seksyen 10 dan 15 Akta 171 perlu dipinda.


“Pilihan Raya PBT Boleh Cetus Ketegangan Kaum” – Dr Mohd Zamri

Pilihan raya PBT boleh dikembalikan sekiranya pindaan undang-undang dilakukan. Akan tetapi, perkara ini bukanlah suatu perkara yang mudah memandangkan ia berdepan dengan pelbagai bantahan.

Sebelum ini, bekas Perdana Menteri ke-7, Tun Dr Mahathir Mohamad percaya bahawa pilihan raya PBT kemungkinan boleh menyebabkan perselisihan komuniti antara kawasan luar bandar dan bandar.

Dengan polemik pilihan raya PBT kini, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Burong, Dr Mohd Zamri Mohd Zainuldin berkata perkara itu dipercayai boleh mencetuskan ketegangan antara kaum di Malaysia.

Malah, Prof Emeritus Datuk Dr Teo Kok Seong turut mengakui perkara itu dan menyatakan bahawa ia boleh menjejaskan hubungan antara kaum.

Di samping itu, Mohd Zamri yang juga Ketua Dewan Ulamak PAS Selangor mendakwa bahawa pilihan raya PBT akan menguntungkan kaum tertentu yang merupakan pengundi utama DAP, tanpa memikirkan kepentingan kaum lain.

“Sepatutnya isu-isu yang sensitif seperti itu tidak dibangkitkan. Kita akan lihat bagaimana terdapat penguasaan kaum tertentu di bandar dan kaum lain akan tersisih kelak seperti zaman penjajahan dahulu,” kata Mohd Zamri.

Ketika penggulungan Konvensyen Amanah Nasional 2023, Presiden Amanah Datuk Seri Mohamad Sabu berkata perlu adanya situasi ‘win-win’ dalam menyatakan hasrat untuk mengadakan pilihan raya PBT.

Katanya, perbincangan dan kajian lebih mendalam perlu dibuat agar semua kaum berpuas hati antara satu sama lain dan berasa selamat.

Perkara sama turut dibangkitkan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki yang menegaskan cadangan tersebut tidak akan sama sekali dipersetujui oleh partinya.


Tiada Perancangan Pilihan Raya PBT Dalam Tempoh 10 Tahun

Sebagai makluman, pilihan raya PBT bukan terhenti setelah Seksyen 15(1) Akta 171 diwujudkan pada tahun 1976. Pilihan raya PBT terakhir kali dijalankan pada tahun 1963 sebelum digantung akibat darurat Konfrontasi Malaysia-Indonesia 1964. Ia kemudiannya dimansuhkan melalui Akta 171.

Baca Artikel Berkaitan: Pilihan Raya Pihak Berkuasa Tempatan

Dalam satu sidang akhbar pada 28 Disember 2023, Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT), Nga Kor Ming berkata isu pilihan raya PBT bukan keutamaan dan merasakan ia tidak sesuai dilaksanakan ketika negara sedang pulih daripada pergolakan politik.

Menurutnya, fokus perlu diberikan kepada perkara yang bermanfaat bagi rakyat. Oleh itu, pilihan raya PBT mungkin dilaksanakan selepas tempoh 10 tahun, iaitu setelah lebih 50,000 projek kemudahan awam siap sepenuhnya.

Apabila ditanya jika dia telah berbincang dengan Menteri Wilayah Persekutuan, Dr Zaliha Mustafa berkenaan perkara tersebut, Nga berkata bahawa jawapan mereka berdua adalah konsisten dan mereka sentiasa berinteraksi bersama.

“Keutamaan kita adalah pastikan tujuh bidang fokus KPKT dilaksanakan. Baru setahun (menjadi kerajaan), ini adalah masa untuk kita tunjukkan permulaan kejayaan,” kata Nga.


Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.

Get more stories like this to your inbox by signing up for our newsletter.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd