Now Reading
Isu Boikot: BDS Malaysia Berdepan Saman Dari McDonald’s Malaysia

Isu Boikot: BDS Malaysia Berdepan Saman Dari McDonald’s Malaysia

Gerbang Alaf Restaurants Sdn Bhd telah mengemukakan satu Writ Saman kepada BDS Malaysia atas dakwaan membuat hantaran berbaur fitnah mengenai McDonald’s Malaysia.

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!


Pembunuhan beramai-ramai penduduk Palestin oleh tentera Israel yang bermula sejak 7 Oktober 2023 kini sudah memasuki hari ke-84 dengan lebih 21,000 kematian sehingga ke hari ini, lapor Al-Jazeera.

Berikutan situasi itu, orang ramai menunjukkan solidariti kepada tanah suci Palestin melalui pelbagai cara, salah satunya adalah dengan memboikot syarikat yang bersekongkol dengan rejim Zionis.

Malah, beberapa perusahaan popular seperti McDonald’s turut terpalit dan berdepan boikot orang ramai.

Baca Artikel Berkaitan: “Kepung Demi Palestin” – Piket 6 Hari Di Hadapan Kedutaan Amerika Syarikat

Satu organisasi tempatan yang lantang memperjuangkan usaha boikot adalah Boycott, Divestment, Sanctions (BDS Malaysia).

Sasaran boikot ditumpukan ke atas beberapa syarikat yang bersubahat secara langsung dengan Israel seperti Puma dan Hewlett Packard (HP).

Terbaharu, BDS Malaysia mendakwa telah menerima notis undang-undang dan penyataan tuntutan dari Gerbang Alaf Restaurants Sdn Bhd selaku pemegang lesen McDonald’s di Malaysia atas dakwaan membuat kenyataan fitnah.

Menerusi satu Writ Saman yang TRP lihat, McDonald’s Malaysia pada 10 November lalu telah mengemukakan satu surat tuntutan (LOD) menuntut BDS Malaysia menurunkan beberapa kandungan yang disifatkan sebagai fitnah yang telah dimuat naik di laman sosial miliknya.

Selain itu, ia juga menggesa BDS untuk membuat permohonan maaf berhubung perkara tersebut.

Antara kenyataan yang dimaksudkan adalah seperti yang terdapat pada halaman Facebook BDS Malaysia bertarikh 23 Oktober, hantaran Instagram bertarikh 27 Oktober, serta hantaran di akaun Facebook peribadi Pengerusinya, Profesor Dr Mohd Nazari Ismail pada 9 November.

Gerbang Alaf Restaurants juga telah meminta BDS Malaysia untuk melakukan beberapa perkara antaranya menghentikan sebarang tindakan yang mencemarkan reputasi McDonald’s dan menurunkan sebarang kenyataan fitnah, dan banyak lagi.

Namun di dalam writ yang kami lihat itu, BDS Malaysia didakwa tidak memenuhi tuntutan McDonald’s Malaysia seperti yang tertera di dalam surat notisnya antaranya pada 10 November dan 23 November.


McDonald’s Tuntut Ganti Rugi RM6 Juta Dari BDS Malaysia

Di dalam writ saman tersebut, McDonald’s Malaysia telah mengemukan beberapa tuntutan antaranya pembayaran ganti rugi khas berjumlah RM6 juta, yang tidak termasuk ganti rugi am dan ganti rugi teladan.

McDonald’s Malaysia turut menuntut supaya gerakan itu menyiarkan permohonan maaf di laman web, Facebook dan Instagram dalam masa 48 jam daripada tarikh writ, dan tidak boleh dipadam sehingga bila-bila.

McDonald’s Malaysia sahkan saman BDS Malaysia

The Rakyat Post telah menghubungi McDonald’s Malaysia untuk mendapatkan komen berhubung perkara ini.

McDonald’s Malaysia kemudiannya mengesahkan kepada TRP bahawa pihaknya telah memfailkan saman sivil terhadap BDS Malaysia demi melindungi hak dan kepentingan mereka mengikut undang-undang.

“Kami telus dan konsisten dalam komunikasi kami bahawa McDonald’s Malaysia tidak menyokong dan tidak membenarkan konflik semasa di Timur Tengah dan seperti semua rakyat Malaysia, simpati setinggi-tingginya kami tujukan kepada mangsa yang tidak bersalah di Gaza.

“Kami telah menyumbang sejumlah RM1 juta kepada Tabung Kemanusiaan Palestin yang dilancarkan oleh kerajaan dan akan terus berdoa agar konflik berakhir dan keamanan berterusan di Gaza.

“Kami seterusnya mengulangi pendirian kami bahawa McDonald’s Malaysia tidak menyalurkan sebarang jualan, keuntungan, royalti atau yuran francais daripada operasi restoran untuk menyokong sebarang kumpuan politik atau konflik di mana-mana bahagian dunia.

“Walaupun kami memahami dan menghormati bahawa tindakan memboikot adalah keputusan individu, kami percaya bahawa ia harus berdasarkan fakta yang benar dan bukan dakwaan palsu,” kata McDonalds dalam satu kenyataan.


BDS Malaysia Nafi Tuduhan McDonald’s

Dalam pada itu BDS Malaysia sebentar tadi turut mengeluarkan satu kenyataan mengesahkan bahawa pihaknya ada menerima Writ Saman dari McDonald’s Malaysia atas tuduhan membuat fitnah terhadap syarikat tersebut.

Namun begitu, BDS Malaysia menafikan dakwaan ini dan mengambil keputusan untuk meneruskan perkara ini ke peringkat mahkamah.

BDS Malaysia telah mendapatkan khidmat firma guaman Raja Riza & Associates. Kenyataan yang lebih terperinci akan dikeluarkan setelah berunding dengan kumpulan peguamnya.


Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.

Get more stories like this to your inbox by signing up for our newsletter.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd