Now Reading
Sekitar 100 Penerbangan Air India Express Terjejas Gara-gara 300 Kru Kabin Ambil MC

Sekitar 100 Penerbangan Air India Express Terjejas Gara-gara 300 Kru Kabin Ambil MC

Pihak pengurusan berkata kira-kira 300 pramugara dan pramugari tidak dapat dihubungi selepas mengambil cuti sakit (MC).

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!


Sejak Selasa lalu (7 Mei), sekitar 100 penerbangan syarikat Air India Express (AIE) terjejas di mana ada yang lewat dan terpaksa dibatalkan.

Ini selepas kira-kira 300 kru kabin termasuk pramugari dan pramugara yang mengambil cuti sakit (MC).

Bukan sahaja membuat perkara tersebut pada saat akhir, malah kru kabin yang terlibat juga bertindak mematikan telefon bimbit mereka.

Sumber: Travel Trade Journal

Tindakan drastik kru berkenaan dipercayai kerana mereka membantah terma dan syarat pekerjaan baru yang ditetapkan oleh pemilik baru syarikat tersebut iaitu Tata Group.

“Sebahagian kru kabin kami melaporkan diri tidak sihat pada saat akhir, bermula malam tadi (kelmarin). Ia menyebabkan banyak penerbangan mengalami kelewatan dan pembatalan.

“Ketika kami berinteraksi dengan kru-kru terbabit untuk memahami punca di sebalik kejadian ini, pasukan kami pada masa sama berusaha untuk mengurangkan ketidakselesaan yang dihadapi oleh penumpang,” kata jurucakap syarikat penerbangan itu.


Penumpang Kecewa Penerbangan Batal Saat Akhir

Susulan penerbangan yang terbatal saat akhir itu, para penumpang meluahkan rasa berang di media sosial. Jelas salah seorang penumpang, pihak pengurusan sepatutnya memberi makluman lebih awal kerana ia menjejaskan jadual.

Malah ada yang berkata mereka tidak mendapat sebarang notifikasi atau mesej mengenai insiden tersebut.

Menerusi video tular di laman X, kelihatan orang ramai menyerbu kaunter pertanyaan di beberapa lapangan terbang antaranya di Kalesh dan Bangalore berikutan masalah yang dihadapi.


Penumpang Kecewa Masih Tak Terima Bayaran Balik

Mengulas lanjut mengenai kejadian, Air India Express difahamkan akan membuat bayaran balik tiket penumpang atau memberi pilihan untuk menjadualkan semula penerbangan pada tarikh yang baru, lapor The Times Of India.

Pun begitu, ramai penumpang meluahkan kekecewaan mereka apabila dikatakan masih tidak mendapat sebarang bayaran balik walaupun selepas kenyataan itu dikeluarkan.

Menurut India Today, penumpang terkandas di Delhi, Thiruvananthapuram dan beberapa lapangan terbang yang lain.

Kebimbangan utama para penumpang pada masa kini adalah kekurangan makanan, tidak mendapat akses kepada kemudahan tandas dan tiada bayaran balik lagi.

“Kami tiba di sini pada pukul 3 pagi dan keluar dari lapangan terbang. Saya mengawal diri selama empat hingga lima jam kerana tidak ada pengaturan untuk tandas. Saya tidak pernah menderita seteruk ini,” kata Prema Eknath Patel.

Sementara itu, ada juga individu berkata staf yang bertugas semasa hari kejadian tidak memberikan respon baik kepada penumpang sewaktu ditanya tentang apa yang sedang berlaku.

“Kami datang dari Pune ke Delhi dengan penerbangan AIE dan penerbangan sambungan kami ke Srinagar telah dibatalkan. Bagaimanapun, kami tidak diberitahu mengapa ia dibatalkan. Kakitangan tidak memberi maklum balas yang baik dan menghalang kami,” ujar seorang penumpang lelaki.


Dapatkan Balik Bayaran Balik Melalui Laman Web Air India Express

Oleh disebabkan aduan yang banyak, pihak AIE turut mengeluarkan permohonan maaf secara terbuka atas kesulitan dilalui.

Selain itu, mereka meminta para penumpang untuk menggunakan ciri di web syarikat penerbangan itu atau WhatsApp untuk mendapatkan bayaran balik serta penjadualan semula.


Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram

Get more stories like this to your inbox by signing up for our newsletter.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd