Now Reading
Orang Ramai Tak Perlu Panik, Ribut Suria Hanya Fenomena Biasa

Orang Ramai Tak Perlu Panik, Ribut Suria Hanya Fenomena Biasa

Menurut Pengarah ESERI, fenomena ribut suria ini sentiasa berlaku cuma membezakannya adalah lemah dan kuat sahaja.

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!


Orang ramai dinasihati agar tidak panik tentang fenomena ribut suria atau ‘solar storm’ yang dijangka berlaku pada awal tahun hadapan.

Ia susulan tular di media sosial dan beberapa laporan yang mendakwa fenomena tersebut akan menjejaskan jaringan internet.

Ribut suria fenomena biasa dan kerap berlaku

Pengarah Institusi Penyelidikan Alam Sekitar Pantai Timur (ESERI), Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Profesor Ts Dr Roslan Umar berkata, ribut suria merupakan fenomena biasa dan kerap berlaku.

“Bumi akan dilanda ‘solar storm’ yang kuat pada tahun depan selain saintis meramalkan kita akan mencapai ‘solar maximum’ (solar maksimum) pada 2024 dengan suar (nyalaan api) yang cukup kuat bagi melumpuhkan internet di dunia selama beberapa minggu.

“Fenomena ribut suria ini sentiasa berlaku. Orang awam tidak perlu panik dengan berita viral tersebut kerana fenomena itu biasa dan sentiasa terjadi cuma bezanya adalah lemah dan kuat sahaja.

“Kesan ribut solar ini boleh dilihat pada kejadian aurora di kawasan kutub bumi, malah aurora itu sebenarnya merupakan bukti kewujudan fenomena tersebut,” katanya dipetik Sinar Harian semalam (27 Disember).

Ribut suria ganggu medan magnet bumi dan hasilkan GIC, kesannya sangat lemah

Menurutnya, kesan ribut suria kepada bumi dan manusia antaranya boleh menganggu medan magnet bumi serta menghasilkan Geomagnetically Induced Currents (GIC) yang boleh menjejaskan berkalan kuasa dan elektrik di bumi disebabkan cas berlebihan.

Pun begitu, Roslan menjelaskan bahawa kesan akibat fenomena ribut suria ini terlalu lemah, ia berdasarkan rekod-rekod kejadian yang terdahulu.

“Kesan lain yang boleh dilihat adalah gangguan kepada sistem telekomunikasi gelombang radio atau dikenali sebagai ganguan ionosfera mendadak (SID).

“Sebenarnya penduduk di dunia ini bertuah kerana ALLAH SWT telah melindungi bumi dengan lapisan atmosfera dan medan magnet tersendiri di sekelilingnya,” katanya.

Sebelum ini, para saintis mengeluarkan amaran mengenai fenomena ribut solar dahsyat yang diramalkan berlaku pada tahun 2024.

Dakwa ribut suria boleh ganggu liputan internet selama berminggu-minggu

Lapor news18.com pula, terdapat beberapa penemuan baharu yang menjelaskan ribut solar itu cukup kuat untuk mengganggu liputan internet di bumi selama berminggu-minggu disebabkan medan magnet matahari.

Sehubungan itu, ia telah menimbulkan kebimbangan dalam kalangan pengguna media sosial sehingga ada yang mendakwa urusan secara dalam talian tidak berfungsi malah bumi akan bergelap selama 17 hari selain suhunya juga akan jatuh.

Kaitkan fenomena ribut suria dengan hari kiamat

Tidak hanya itu, ada juga yang mengaitkan fenomena ribut suria yang dijangka melanda bumi bermula awal tahun hadapan itu dengan hari kiamat.

Susulan itu, pada 23 Disember lepas, Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor menyatakan tidak wajar mengaitkan fenomena ribut suria dengan hari kiamat.


Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.

Get more stories like this to your inbox by signing up for our newsletter.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd