Now Reading
Banjir Di Kelantan: Anwar Ibrahim Umum Bantuan Awal RM50 Juta Bagi Mangsa

Banjir Di Kelantan: Anwar Ibrahim Umum Bantuan Awal RM50 Juta Bagi Mangsa

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata setiap keluarga mangsa banjir akan menerima bantuan awal RM1,000 di samping bantuan lain menurut jumlah kerugian dihadapi.

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!


Banjir gelombang ketiga di Pantai Timur masih berterusan. Setakat jam 5.50 petang hari ini, seramai 25,207 mangsa dipindahkan ke pusat penempatan sementara (PPS) di Kelantan, Terengganu, Pahang dan Johor.

Banjir paling teruk berlaku di negeri Kelantan, namun keadaan dilihat sedang beransur pulih.

Walaupun bilangan mangsa banjir di Kelantan melonjak kepada 21,380 orang pagi tadi berbanding 17,378 orang petang semalam (27 Disember), jumlah mangsa kini (setakat 5.50 petang) menurun ke 20,593 orang.

Menurut Portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), empat daerah Pasir Mas, Tanah Merah, Kuala Krai dan Tumpat masih terjejas, berbanding lima daerah termasuk Gua Musang pagi tadi.

Sungai Golok di Rantau Panjang masih berada pada aras lebih 10 meter dan pada tahap bahaya. Sungai Kelantan di Kuala Besar juga berada pada tahap bahaya, manakala empat sungai lain pada tahap amaran.


DSAI Umum Bantuan Awal RM50 Juta Untuk Mangsa Banjir Kelantan

Berikutan keadaan banjir di Kelantan, Berita Harian melaporkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim telah tiba di negeri itu sekitar jam 1 tengah hari tadi.

Tiga lokasi lawatan yang dijadualkan adalah Jambatan Lubok Jong, PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Sri Kiambang, Repek dan PPS Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Lati.

Terkini, PPS SMKA Lati menempatkan 700 mangsa daripada 218 keluarga, manakala seramai 629 orang mangsa membabitkan 197 keluarga berada di PPS SK Sri Kiambang.

@syamimiazlann

YAB Dato’ Seri Anwar bin Ibrahim, Perdana Menteri Berada di S.M.K (A) Lati (PPS) untuk lawatan dan ramah mesra dengan mangsa banjir dan taklimat banjir oleh Ketua Jajahan Pasir Mas #anwaribrahim #pmx #dsai #kerajaanmadani #malaysiamadani #banjir2023 #banjirkelantan #komunikasikomuniti #pasirmas

♬ Lelaki (Warkah Seorang Anak) – Siti Nurhaliza

Sehubungan dengan itu, Perdana Menteri telah mengumumkan bantuan awal sebanyak RM50 juta untuk mangsa banjir di negeri itu menerusi peruntukan daripada Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA).

Bantuan tersebut akan disalurkan terus kepada mangsa banjir yang berada di PPS dan kawasan sekitar.

Katanya, setiap keluarga akan menerima bantuan sebanyak RM1,000 dengan tambahan bantuan lain bergantung kepada kerugian yang dialami mereka akibat banjir.


Benteng ‘Puaka’ Sungai Lubok Jong Akan Dibaik Pulih

Seperti yang dilaporkan semalam, daerah Rantau Panjang telah teruk terjejas sehingga menyebabkan benteng Projek Lembangan Sungai Bersepadu (PLSB) pecah dengan kelebaran 20 meter.

Baca Artikel Berkaitan: Rantau Panjang Banjir: 60 Rumah Di Kampung Tersang Hampir Tenggelam Sepenuhnya

Hari ini dalam satu sidang akhbar, Anwar Ibrahim telah meluluskan peruntukan segera sejumlah RM6 juta bagi membaik pulih benteng tersebut, serta membina dua lagi terowong air tersebut di tempat lain. Setiap satu pembinaan melibatkan peruntukan sebanyak RM2 juta.

Dia dilaporkan berkata projek tersebut dapat membantu mengurangkan masalah banjir di Rantau Panjang.


JAKIM Anjur Solat Hajat Di 3 Masjid

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) menganjurkan Solat Hajat bagi memohon keselamatan dan kesejahteraan negara daripada musibah banjir yang melanda empat negeri ketika ini.

Ia dicadangkan diadakan di tiga masjid utama JAKIM iaitu Masjid Negara, Masjid Putra dan Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin Putrajaya, mulai malam ini (28 Disember) dan selepas Solat Jumaat esok (29 Disember).

Dalam masa yang sama, kutipan sumbangan derma khusus bagi mangsa banjir akan dijalankan esok di ketiga-tiga masjid tersebut.

Ketua Pengarahnya, Datin Paduka Hakimah Mohd Yusoff menjemput orang ramai untuk sama-sama mengimarahkan masjid bagi menjalankan Solat Hajat, serta menghulurkan sumbangan sebagai tanda solidariti.

Di samping itu, pihak JAKIM turut memohon kerjasama Majlis dan Jabatan Agama Islam Negeri-negeri agar menggerakkan program munajat, Solat Hajat dan berdoa bagi keselamatan negara dari bencana banjir ini.


Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.

Get more stories like this to your inbox by signing up for our newsletter.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd