Now Reading
[Video] PDRM Jalankan Siasatan Insiden Bas Polis Buat U-Turn Di Tempat Tidak Sepatutnya & Terlanggar Kereta

[Video] PDRM Jalankan Siasatan Insiden Bas Polis Buat U-Turn Di Tempat Tidak Sepatutnya & Terlanggar Kereta

Menerusi video yang dikongsikan di TikTok, bas milik PDRM itu dilihat membuat pusingan U ditempat yang tidak dibenarkan hingga terlanggar sebuah kereta Proton Wira.

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!


Setiap pengguna tidak kiralah orang awam atau pihak berkuasa diwajibkan untuk mematuhi undang-undang atau peraturan jalan raya yang telah ditetapkan.

Ia penting agar keselamatan pengguna jalan raya yang lain terjaga dan sekaligus dapat mengelakkan dari berlakunya kemalangan.

Namun, masih ada lagi segelintir individu yang tidak mematuhi peraturan jalan raya dan memandu mengikut perasaan tanpa memikirkan orang lain.

Bas Milik PDRM Buat Pusingan Di Lokasi Tidak Sepatutnya & Langgar Lampu Isyarat

Semalam (13 Disember), tular di TikTok video sebuah bas milik Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang didakwa melanggar undang-undang jalan raya.

Menerusi video yang dikongsikan di akaun @deafebianschannel1, kelihatan bas berkenaan membuat pusingan U ditempat yang tidak dibenarkan.

Malah, pemandu bas itu dengan selambanya melanggar lampu isyarat yang pada ketika itu berwarna merah.

Apa yang turut menjadi perhatian adalah tindakan pemandu bas yang membuat pusingan U ditempat tidak sepatutnya menyebabkan kenderaan itu turut bergesel dengan sebuah kereta Proton Wira.

Ini kerana ruang yang sempit menyebabkan pemandu bas terpaksa mengundurkan sedikit bas tersebut hingga menyebabkan berlakunya pergeselan dengan bahagian tepi kereta terbabit.

Video itu nyata mencetuskan kemarahan dan mengundang kecaman netizen. Rata-rata daripada mereka seolah-olah tidak percaya melihat kenderaan milik pihak berkuasa itu melanggar peraturan jalan raya dan menunjukkan contoh tidak baik kepada pengguna yang lain.

PDRM Mulakan Siasatan, Mohon Pihak Terlibat Tampil Bantu Siasatan

Ekoran daripada kejadian ini, polis sedang menyiasat video yang tular itu. Menurut Pemangku Ketua Polis Daerah Gombak Superintendan Noor Ariffin, hantaran video menerusi akaun TikTok itu dikesan dimuat naik kira-kira jam 6.00 petang kelmarin (12 Disember).

Siasatan awal mendapati bas yang dipercayai milik ‘Polis Kuala Lumpur’ membuat pusingan U di lampu isyarat di Jalan Batu Caves berhampiran Taman Greenwood pada 6 Disember lalu kira-kira jam 2.30 petang.

“Bas berkenaan dalam perjalanan dari arah Batu Caves, Selangor menghala ke Kuala Lumpur. Ketika cuba membuat pusingan U, bas itu mengundur dan dilihat terlanggar sebuah kereta Proton Wira putih yang tidak dapat dipastikan nombor pendaftarannya,” katanya menerusi satu kenyataan.

Tambah beliau, kes kini disiasat mengikut Peraturan 112 LN 170/59 Kaedah-kaedah Lalu Lintas 1959.

Beliau turut memohon pemilik akaun TikTok @deafebianschannel1 serta pemandu kereta Proton Wira untuk tampil bagi membantu siasatan.

“Mereka boleh berhubung dengan Pegawai Penyiasat Trafik, Inspektor Amira Abu Hassan di talian 019- 6026596 atau Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Gombak di talian 03- 61262222,” katanya.

Terdahulu, video asal insiden tersebut dipercayai dimuat naik menerusi saluran YouTube MDH Viral Channel pada Isnin (11 Disember) yang lalu.

Rakaman video itu diperolehi dari kamera papan pemuka (dashcam) sebuah kenderaan yang kebetulan turut berada di lokasi kejadian.

KENYATAAN MEDIA Gombak, 14 November 2023 – Video Tular Bas PDRM Membuat Pusingan “U” Ditempat Yang Tidak Dibenarkan Di…

Posted by Polis Daerah Gombak on Wednesday, 13 December 2023

Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: FacebookTwitterThreads dan Instagram.

Get more stories like this to your inbox by signing up for our newsletter.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd