Now Reading
Ini Info Penting Tentang Hak Individu Jika Ditahan Pihak Polis. Kena Cakna, Penting Ya!

Ini Info Penting Tentang Hak Individu Jika Ditahan Pihak Polis. Kena Cakna, Penting Ya!

Jika seseorang ditahan oleh pihak polis, dia perlu memberikan maklumat nama dan alamat, serta menunjukkan kad pengenalan.

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!


Korang pernah tak alami situasi ditahan polis walaupun tidak melakukan apa-apa kesalahan? Mungkin juga korang pernah diminta pihak polis untuk disoal siasat sebagai saksi.

Menurut bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan, Polis Diraja Malaysia (PDRM) diberi kuasa untuk menahan mana-mana individu berdasarkan siasatan yang dijalankan.

Jadi, jika korang ditahan polis dan yakin tidak melakukan apa-apa kesalahan, jangan takut. Langkah-langkah di bawah menerangkan apa yang perlu dilakukan dalam situasi sebegitu.


#1: Catat Nama & Nombor Anggota Polis

Dalam situasi ditahan, jangan lupa untuk catat nama dan nombor anggota polis yang terdapat pada uniform mereka (nombor badan).

Namun begitu, jika polis tersebut tidak memakai uniform, minta tunjukkan Kad Kuasa yang mengandungi dua maklumat ini serta sebagai bukti dia merupakan seorang pegawai polis sebenar.

Terdapat beberapa jenis Kad Kuasa berdasarkan kepada warna-warna berikut:

  • Merah – Polis telah digantung dan tidak mempunyai sebarang kuasa.
  • Biru – Pangkat Inspektor dan ke atas.
  • Kuning – Pangkat bawah daripada Inspektor.
  • Putih – Polis simpanan.

Jika anggota polis yang menahan korang membawa kenderaan, Catat juga nombor plat serta jenis kenderaan yang dipandu.


#2: Hanya Beri Maklumat Nama, Alamat & Kad Pengenalan

Mungkin korang biasa lihat dalam filem aksi apabila seseorang ditahan polis dan dia enggan berkata apa-apa. Namun, jika ditanya oleh pegawai polis, individu harus memberitahu nama dan alamat, serta memberikan kad pengenalan.

Jika ditanya tentang perkara selain daripada nama dan alamat, individu boleh bertanya kembali sama ada mereka akan ditahan.

Seseorang yang ditahan akan dihalang daripada meninggalkan tempat tersebut dan akan dibawa ke balai polis atau digari. Sebaliknya, jika tidak ditahan, korang boleh meninggalkan tempat itu dan tidak perlu mematuhi arahan untuk ke balai polis atau lain-lain tempat.

Gambar hiasan. Pihak polis boleh menggari individu yang ditahan. (Sumber: Pexels).

Diingatkan juga bahawa pegawai polis hanya boleh menahan seseorang yang disyaki telah melakukan kesalahan atau jenayah.

Seorang itu bagaimanapun tidak boleh ditahan atas sebab mungkin menjadi saksi dan bagi mendapatkan kenyataan saksi.


#3: Soal Siasat Bagi Mendapatkan Kenyataan

Walaupun tidak ditahan, pihak polis berhak menyoal siasat individu yang disyaki menjadi saksi bagi suatu kesalahan. Ini kerana pihak berkuasa juga mempunyai kuasa untuk mencatat jawapan individu berkenaan.

Seseorang boleh memilih untuk tidak memberi sebarang jawapan, tetapi polis kemudiannya akan mengeluarkan perintah rasmi yang ditandatangani oleh pegawai penyiasat untuk meminta kerjasama. Oleh itu, lebih baik korang jawab sahaja soalan yang dikemukan oleh pihak polis bagi membantu siasatan.

Dalam masa yang sama, korang dinasihatkan supaya meminta seorang peguam hadir sebagai teman ketika sesi soal siasat. Jangan lupa untuk catat soalan yang ditanya dan jawapan yang korang berikan sebagai rujukan pada masa hadapan.

Individu yang disoal jawab oleh pihak polis akan diminta untuk menandatangani kenyataan yang dilakukan. Jangan lupa untuk bandingkan terlebih dahulu catatan dalam kenyataan dengan jawapan yang korang catit.

Jika terdapat sebarang kesilapan, korang berhak minta perkara itu dibetulkan sebelum menandatangani kenyataan tersebut.

Korang tak akan ditangkap kalau enggan melakukan soal jawab, tetapi ia menjadi satu kesalahan dan pihak polis boleh meminta Majistret untuk mengeluarkan waran.


#4: Apa Perlu Buat Jika Benar-benar Ditahan?

Kalau pihak polis dah maklumkan yang korang akan ditahan, diingatkan supaya meminta sebab penahanan dilakukan. Tahanan tanpa makluman merupakan satu kesalahan di sisi undang-undang.

Sebagai ingatan penting, tolong jangan lawan penahanan kerana polis mempunyai hak untuk menggunakan kekasaran jika dilawan.

Ingat juga bahawa polis perlu membawa tahanan ke balai polis berdekatan dengan segera dan bukannya ke tempat lain.

Di samping itu, individu yang ditahan mempunyai hak untuk menghubungi keluarga, peguam atau Pusat Bantuan Guaman dan memberikan maklumat berikut:

  • Masa, tempat dan sebab ditahan.
  • Pengenalan anggota polis yang melakukan tangkapan.
  • Balai polis tempat ditahan.
Gambar hiasan. Individu ditahan boleh menghubungi keluarga atau peguam. (Sumber: Unsplash).

Seseorang yang ditangkap hanya boleh ditahan selama maksimum 24 jam di balai polis atau lokap. Jika penahanan perlu dilakukan lebih daripada had ini, pihak polis harus membawa individu ke hadapan Majistret untuk mendapatkan Perintah Reman.

Sekiranya dihadapkan ke Majistret, individu ditahan boleh memaklumkan supaya mendapatkan representasi peguam atau perkara-perkara lain seperti jika dinafikan hak dan diugut dalam tahanan.


#5: Pemeriksaan Badan & Barangan Oleh Pihak Polis

Kalau korang ditahan di tempat-tempat yang mencurigakan seperti kelab malam, polis mempunyai hak untuk melakukan pemeriksaan badan. Perkara ini adalah demi mencari sesuatu bahan jenayah seperti dadah.

Bagi wanita pula, mereka hanya boleh diperiksa oleh pegawai wanita. Pemeriksaan badan perlu dilakukan secara sopan dengan kehadiran anggota berpangkat Inspektor atau lebih.

Polis juga boleh memeriksa bag yang korang bawa.

NOTA PENTING: Jangan biarkan anggota polis menyeluk beg atau poket korang. Sebaliknya, kosongkan beg atau poket sendiri secara satu persatu sambil menyebut jenis barangan seperti ‘dompet’ dan ‘jam’.

Apabila beg atau poket telah dikosongkan, terbalikkan untuk menunjukkan ia benar-benar kosong.

Pemeriksaan badan secara tidak berpakaian tidak termaktub dalam mana undang-undang, walaupun ketika dalam tahanan. Oleh itu, kalau korang diminta melakukan sedemikian, bantah dan buat laporan setelah kejadian tersebut.


#6: Hak Ketika Dalam Tahanan

Walaupun telah ditahan, ini tidak bermakna segala hak kemanusiaan ditarik daripada seseorang individu.

Individu yang ditahan mempunyai hak untuk menerima satu set pakaian, mandi dua kali sehari, diberi makan dan minum yang mencukupi serta mendapatkan rawatan jika sakit.

Gambar hiasan. Individu dalam tahanan perlu diberikan makan minum yang wajar. (Sumber: Pexels).

Segala barangan hak milik individu pula perlu direkod dan disimpan oleh pihak polis dengan selamat. Ia akan dipulangkan apabila individu dilepaskan.

Individu juga diberikan hak untuk menghubungi peguam. Bagi mereka yang tidak ada peguam, boleh hubungi Pusat Bantuan Guaman yang tersedia di seluruh negara.

Senarai Pusat Bantuan Guaman

  • Kuala Lumpur: 03-2691 3005 /03-2693 2072
  • Selangor: 03-3372 2792
  • Negeri Sembilan: 06-7633 035
  • Melaka: 06-2845 519 / 06-2864 514
  • Johor: 07-2235 698
  • Perak: 05-2550 523
  • Kedah & Perlis: 04-7333 467
  • Kelantan: 04-7448 660
  • Pahang: 09-5159 244 / 09-2969 410
  • Pulau Pinang: 04-2617 451 / 04-3316 830

Sumber: Sinar Harian | Badan Peguam Malaysia


Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.

Get more stories like this to your inbox by signing up for our newsletter.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd