Ucapan Selamat Hari Jadi Untuk Nurin Jazlin Daripada Ayahnya Buat Netizen Sebak
Jazlimin Abdul Jalil berkata dia merindui anaknya, Nurin Jazlin, yang sepatutnya berumur 24 tahun pada tahun ini.
Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!
16 tahun telah berlalu sejak pembunuhan adik Nurin Jazlin pada tahun 2007 yang berumur lapan tahun ketika itu.
Mungkin ada yang sudah terlupa, namun tidak buat ahli keluarganya. Terbaharu, bapa arwah, Jazimin Abdul Jalil, membuat satu hantaran ucapan hari jadi buat Nurin di akaun Facebook miliknya.
Jazimin sering kali membuat ucapan hari jadi buat anaknya setiap tahun sebagai peringatan. Nurin sepatutnya berumur 24 tahun pada 11 September tahun ini.
Happy Birthday Kak Ngah. Yang ke 24 tahun. Dipinjam pada 11 Sept 99 [dan] dipulangkan kembali pada 17 Sept 07. Selamat ulang tahun. Al-Fatihah.
Jazimin Abdul Jalil, bapa Nurin Jazlin.
Berdasarkan gambar yang dikongsi, beliau juga berkata dia merindui anaknya itu.
Netizen Turut Bersedih Mengenangkan Tragedi Itu
Ruangan komen hantaran tersebut dibanjiri komen daripada netizen yang meluahkan rasa sedih dan simpati dengan ujian terhadap Jazimin dan keluarga.
Ramai juga yang turut sama-sama mengucapkan hari jadi buat Nurin dan mendoakan supaya rohnya tenang di akhirat.
Sesetengah individu turut berkata jika Nurin masih hidup kini, sudah tentu dia akan membesar menjadi seorang wanita yang cantik.
Seorang pengguna Facebook turut berkata walaupun pelaku terlepas di dunia, dia pasti akan menerima seksaan yang lebih teruk di akhirat kelak.
Tragedi Kes Nurin Jazlin
Kes Nurin Jazlin Jazlimin telah menggemparkan seluruh negara pada September 2007.
Pada 20 Ogos 2007, Nurin telah berjalan ke satu pasar malam di Wangsa Maju seorang diri untuk membeli sepit rambut. Namun begitu, dia tidak pulang selepas itu menyebabkan ahli keluarganya berasa risau.
Laporan polis telah dilakukan dan poster Nurin ditampal di seluruh Kuala Lumpur. Semua orang di Malaysia ketika itu sedang mencarinya.
Malang sekali, pada pagi 17 September, tubuhnya ditemui di dalam satu beg sukan dalam keadaan tidak berpakaian dan diletakkan dalam posisi seperti janin. Nurin dicederakan dengan cara yang tidak dapat digambarkan dan dipercayai meninggal dunia akibat jangkitan bakteria setelah rektumnya pecah.
Lebih menyedihkan, Nurin ditemui enam hari selepas ulang tahun kelahirannya yang kelapan.
Kedua ibu bapanya, Jazimin dan Norazian Bistaman tidak mengecamnya pada mulanya kerana kesan penderaan teruk yang dilakukan ke atasnya. Namun begitu, ujian DNA mengesahkan tubuh itu adalah Nurin.
Dia kemudiannya dikebumikan di satu tanah perkuburan di Taman Ibukota, Setapak pada 21 September.
Pihak polis telah mengesan pelaku sejak pembunuhan tersebut berlaku pada tahun 2007, tetapi kes itu masih belum diselesaikan sehingga kini dan penyerangnya masih bebas.
NST melaporkan bahawa Jazimin telah menggesa pihak polis supaya membuka semula kesnya pada tahun 2018 dan menggunakan teknologi moden bagi mencari pelaku, tetapi rayuannya tidak diluluskan.
Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.