Now Reading
Dua Perhimpunan Pada 16 September: Keretapi Sarong & Himpunan Selamatkan Malaysia

Dua Perhimpunan Pada 16 September: Keretapi Sarong & Himpunan Selamatkan Malaysia

Keretapi Sarong 2023 dijalankan demi meraikan Hari Malaysia dan kepelbagaian kaum serta budaya dalam negara, manakala Himpunan Selamatkan Malaysia yang berbentuk ‘demonstrasi’ dipercayai mempunyai motif politik.

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!


16 September merupakan salah satu hari yang amat bersejarah bagi negara kita. Digelar Hari Malaysia, iaitu hari di mana negeri-negeri Tanah Melayu, Sabah, Sarawak dan Singapura disatukan di bawah satu negara.

Namun begitu, Singapura kemudiannya keluar daripada Malaysia pada 9 Ogos 1965 atas sebab-sebab tertentu.

Tidak seperti Hari Kebangsaan (31 Ogos) yang disambut secara besar-besaran, sambutan Hari Malaysia biasanya dilakukan secara serderhana. Tapi korang tahu tak, ada dua acara perhimpunan besar-besaran yang akan diadakan pada Sabtu ini?

Satu perhimpunan adalah demi merayakan Hari Malaysia dan kepelbagaian kaum serta budaya dalam negara, manakala satu lagi merupakan himpunan yang berbentuk ‘demonstrasi’ atas nama kebebasan bersuara.

Jom kita tengok apa dua perhimpunan ini dan mana satu yang korang rasa tertarik untuk sertai.


Keretapi Sarong 2023 Bertemakan Etnik

Keretapi Sarong 2023 (KS2023) merangkumi persembahan kilat (flash mob) yang akan dijalankan sempena Hari Malaysia. Bagi tahun ini, dianggarkan seramai 10,000 orang akan menyertai perhimpunan tersebut.

Pertubuhan bukan kerajaan (NGO), LOCCO, mengeluarkan kenyataan bahawa sambutan ini akan diadakan di stesen pengangkutan awam Putrajaya Sentral (KLIA Transit), Subang Jaya (LRT), Bandar Utama (MRT), Ampang (LRT), Gombak (LRT), Kajang (MRT) dan KL Sentral (LRT).

Acara tersebut bukan sahaja bertujuan untuk mengumpulkan rakyat dari pelbagai latar belakang bangsa dan budaya tetapi juga merangkumi persembahan tarian tradisional, muzik dan seni penceritaan.

Walaupun KS2023 akan berlangsung di ibu negara, namun inisiatif perayaan tersebut turut dibawa ke bandar-bandar utama lain seperti Johor Baharu (sepanjang Sungai Segget), Ipoh (KTMB Ipoh) dan Kuala Terengganu (Kampung Budaya Terengganu), malah di London, United Kingdom (Battersea Power Station).

LOCCO berkata perhimpunan itu akan melibatkan penglibatan lebih 20 kumpulan berlatar belakangkan pelbagai budaya, antaranya Baba Nyonya Selangor, United Malaysia Hindu Voice, Mandarin Jer, dan Anak Teater Malaysia.

Lokasi Terakhir KS2023 Di Dataran Merdeka

Shamsul Bahrin Zainuzzaman selaku pengarah program berkata acara ini secara tidak langsung akan melibatkan rakyat Malaysia serta pelancong luar negara dalam suasana flash mob sambil menaiki keretapi.

Dia juga mengumumkan bahawa lokasi terakhir Keretapi Sarong pada tahun ini, yang kebiasaannya dirahsiakan, adalah di Dataran Merdeka selaku tempat yang ikonik dan bersejarah.

Ia akan menjadi saat yang benar-benar bersejarah bagi semua untuk berkumpul di Dataran Merdeka tahun ini selepas perjalanan kereta api berlepas dari stesen-stesen terpilih.

Shamsul Bahrin Zainuzzaman, Pengarah Program KS2023.

Acara Keretapi Sarong yang dijalankan setiap kali Hari Malaysia telah dimulakan sejak tahun 2012 lagi. Seperti ‘keretapi’ dan ‘sarong’ dalam namanya, peserta akan memakai kain sarung seperti batik atau pelikat dan menaiki pengangkutan awam seperti LRT.

Sarong dipilih kerana ia menjadi simbol kebudayaan dan warisan masyarakat berbilang kaum di Malaysia.

KS2023 menerima kerjasama dari kerajaan melalui Kementerian Pelancongan, Seni, dan Kebudayaan (MOTAC), Jabatan Kebudayaan dan Keseniaan Negara (JKKN), dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL). Selain itu, ia juga merangkumi kerjasama pihak swasta seperti Air Asia dan Bulan Bintang yang menyumbangkan hadiah bagi pakaian tercantik.


Himpunan Selamatkan Malaysia

Merupakan satu perhimpunan yang dipercayai dirancang berdasarkan motif politik, Himpunan Selamatkan Malaysia akan berlangsung juga Sabtu ini di Kampung Baru, Kuala Lumpur.

Dianjurkan oleh Sekretariat Gerakan Selamatkan Malaysia yang merangkumi parti politik, NGO dan individu, ia merupakan satu usaha untuk “mengembalikan semula integriti dan maruah negara” yang dikatakan tercalar akibat pengguguran kes rasuah Datuk Seri Zahid Hamidi.

Orang ramai diajak berhimpun di Masjid Kampung Baru untuk melakukan solat Zohor terlebih dahulu. Mereka juga diminta memakai baju putih dan membawa bendera Malaysia.

Sekretariat perhimpunan menyatakan bahawa Himpunan Selamatkan Malaysia akan dihadiri oleh pimpinan utama parti politik dan NGO.

Dalam masa yang sama, Ketua Polis Kuala Lumpur Allaudeen Abdul Majid dalam satu laporan semalam (13 September) berkata, pihaknya masih belum menerima permohonan bagi penganjuran perhimpunan berkenaan.

Beliau berkata Seksyen 9(1) Akta Perhimpunan Aman 2012 memerlukan permohonan permit dibuat sekurang-kurangnya lima hari sebelum tarikh perhimpunan.

“Himpunan Adalah Hak Rakyat” – Chegu Bard

Sekretariat Himpunan Selamatkan Malaysia, Badrul Hisham Shaharin atau panggilan mesranya Chegu Bard, berkata himpunan tersebut adalah sebahagian daripada kebebasan bersuara dan hak rakyat.

Bagi Chegu Bard, tindakan pihak berkuasa merakam percakapan pihak penganjur bertentangan dengan prinsip perjuangan pihak tertentu dan merupakan satu bentuk penyalahgunaan kuasa.

Apa yang berlaku ini satu bentuk kemunafikan selepas sekian lama berjuang untuk kebebasan bersuara dan berhimpun tetapi hari ini mereka (polis) panggil kami. ‘Selamatkan Malaysia’ akan menjadi slogan himpunan pada Sabtu ini kerana keadaan di Malaysia hari ini sangat tidak kondusif dari segi harga barang sehingga ke (isu) integriti.

Badrul Hisham Shaharin, Sekretariat Himpunan Selamatkan Malaysia.

Antara individu yang dirakam percakapan mengenai perhimpunan itu adalah Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari, Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal, dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gombak Setia, Hilman Idham.

Ahmad Fadhli pernah mengumumkan di Dewan Rakyat bahawa himpunan tersebut tidak akan ‘menggoncangkan’ kerajaan.

Polis telah menerima enam laporan berhubung penganjuran ‘Himpunan Selamatkan Malaysia’ yang sebelum ini dijadualkan berlangsung di hadapan kompleks beli-belah Sogo.

Sumber: Berita Harian | Free Malaysia Today | Berita Harian


Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.

Get more stories like this to your inbox by signing up for our newsletter.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd