Now Reading
Nafas Berbau Busuk? Ini Sebab & Cara Terbaik Untuk Atasinya

Nafas Berbau Busuk? Ini Sebab & Cara Terbaik Untuk Atasinya

Nafas berbau atau dikenali sebagai ‘halitosis’ kebanyakannya terjadi akibat bakteria yang menghasilkan sulfur kebiasannya ditemui di bahagian lidah dan di tekak.

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!


Korang pernah tak perasan kalau nafas korang berbau? Padahal dah gosok gigi tiga kali sehari, siap kumur dengan pencuci mulut dan flos lagi!

Kalau nafas berbau, memang akan mengganggu orang di sekeliling. Tuan badan mungkin tak perasan sebab dah ‘sebati’ dengan bau itu.

Menurut Listerine, masalah nafas berbau ini terjadi kerana seseorang sudah menjadi terbiasa dengan bau-bauan sendiri disebabkan oleh kaviti oral yang bersambung dengan hidung di bahagian belakang mulut.

Namun begitu, korang boleh kesan bau mulut sendiri dengan cara menjilat di bahagian dalam pergelangan tangan dan mencium baunya. Jika ia berbau, mesti nafas korang berbau juga.


Wanita Tak Nak Cium Suami Sendiri Sebab Nafas Berbau

Seorang individu wanita tidak dikenali telah membuat perkongsian di laman X (Twitter) melalui @twtsecretsmy. Dia memberitahu bahawa mulut suaminya berbau terlalu busuk sehingga menyebabkan dia sering mencari alasan untuk tidak mencium suami sendiri.

Katanya, suaminya bukan seorang perokok dan sentiasa menggosok gigi di samping menggunakan pembersih mulut. Walaupun telah melakukan ‘scalling’ gigi, bau tersebut tetap tidak hilang.

Kalau nafas tetap berbau selepas cuci gigi, mungkin seseorang itu mempunyai masalah lain ataupun terlepas untuk melakukan sesuatu.


2.4% Populasi Orang Dewasa Mempunyai Nafas Yang Berbau

Portal Better Health menyatakan bahawa lebih kurang 2.4% populasi orang dewasa seluruh dunia mengalami masalah nafas berbau.

Nafas berbau atau dikenali sebagai ‘halitosis’ kebanyakannya terjadi akibat bakteria yang menghasilkan sulfur kebiasannya ditemui di bahagian lidah dan di tekak.

Bakteria ini kadang-kala menghadam protein pada kadar yang sangat tinggi sehingga menyebabkan kompaun sulfur meruap atau ‘volatile sulphur compounds’ (VSC) dibebaskan dari belakang lidah dan tekak.

Lidah yang kotor boleh menyebabkan nafas berbau. (Sumber gambar: Freepik).

Halitosis kebiasannya terjadi kerana memakan makanan tertentu, merokok, kebersihan mulut tidak dijaga dan lidah yang berselaput sel mati, sisa makanan atau mikroorganisma.

Antara simptom halitosis yang boleh dihadapi seseorang adalah seperti berikut:

  1. Selaput putih di lidah terutamanya di bahagian belakang lidah
  2. Mulut kering
  3. Plak di gigi
  4. Mukus di belakang tekak
  5. Mulut berbau di waktu pagi dan lidah rengsa
  6. Air liur pekat dan sering perlu mengeluarkan kahak
  7. Rasa masam dan pahit besi

Nafas Berbau Boleh Disebabkan Masalah Dalaman

Selain daripada masalah oral, halitosis boleh terjadi akibat masalah organ dalaman.

Seseorang yang mempunyai masalah perut boleh mengalami refluks asid perut dan hempedu. Refluks ini akan naik hingga ke tekak dan membawa sekali bau dari dalam badan seterusnya menyebabkan nafas berbau.

Di samping itu, halitosis juga boleh disebabkan oleh kerosakan pada buah pinggang, karsinoma (barah sel epitium malignan), masalah metabolik dan gangguan biokimia.

Sudah tentu nafas juga sedikit berbau apabila memakan makanan tertentu seperti bawang dan bawang putih, tetapi ia hanya kekal untuk tempoh masa pendek.


Cara-cara Atasi Masalah Nafas Berbau

Memandangkan nafas berbau boleh disebabkan oleh pelbagai keadaan, seseorang perlu mengambil langkah-langkah tertentu untuk mengatasi masalah ini.

Gosok gigi – Gigi perlu digosok sekurang-kurangnya dua kali sehari dengan menggunakan ubat gigi yang mengandungi fluorida. Jangan lupa untuk tukar berus gigi setiap tiga hingga empat bulan dan gunakan berus lembut.

Flos gigi – Gigi perlu dibersih menggunakan flos supaya makanan yang terlekat dicelah gigi dapat dikeluarkan dan mengelakkan pertumbuhan plak. Plak juga menyebabkan nafas berbau.

Jaga pemakanan – Bukan sahaja makanan berbau boleh menyebabkan nafas busuk, tetapi makanan bergula juga dikaitkan dengan halitosis.

Elak mulut menjadi kering – Minum banyak air kosong dan elakkan daripada meminum kopi dan minuman ringan, serta jangan merokok.

Gosok lidah – Seperti yang diterangkan di atas, lidah boleh diselaputi kotoran dan bakteria yang akan menyebabkan mulut berbau busuk. Lidah boleh digosok menggunakan pengikis lidah khas atau yang terdapat di bahagian belakang berus gigi.

Sesetengah berus gigi mempunyai bahagian untuk mengikis lidah di belakangnya. (Sumber gambar: Wikipedia).

Bersihkan gigi palsu – Bagi yang menggunakan gigi palsu atau peralatan gigi lain, pastikan korang membersihkan sekurang-kurangnya sekali sehari mengikut arahan doktor gigi.

Bagi yang memakai retainer, jangan lupa bersihkan sebelum menggunakannya. (Sumber gambar: Unsplash).

Pemeriksaan gigi – Lakukan pemeriksaan gigi secara berkala, biasanya dua kali setahun, supaya gigi dapat diperiksa bagi sebarang masalah dan dicuci.

Jika kesemua langkah ini telah dilakukan tetapi nafas masih berbau, korang mungkin mengalami masalah dalaman dan disarankan supaya melakukan pemeriksaan dengan doktor kesihatan.

Sebagai peringatan bagi yang ada bayi, jangan lupa menggosok lidah dan gusi bayi menggunakan kain basah walaupun mereka masih belum mempunyai gigi. Ingat ya, bakteria boleh duduk di mana-mana bahagian mulut, bukan hanya di gigi.

Sumber: BetterHealth | Listerine | Mayo Clinic


Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.

Get more stories like this to your inbox by signing up for our newsletter.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd