Now Reading
Pusat Beli-Belah AEON Di Ipoh Ditutup Akibat Ancaman Bom, Lelaki 38 Tahun Dicekup

Pusat Beli-Belah AEON Di Ipoh Ditutup Akibat Ancaman Bom, Lelaki 38 Tahun Dicekup

Seorang kakitangan AEON Mall Klebang menerima panggilan ancaman bom sekitar jam 5.30 petang dan bangunan itu segera dikosongkan.

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!


Semalam (23 Ogos 2023), satu panggilan mengenai ancaman bom di pusat beli-belah AEON Mall Klebang, Ipoh telah diterima oleh seorang kakitangan sekitar jam 5.30 petang.

Pekerja tersebut yang dikenali sebagai Aishah berkata loceng amaran segera dibunyikan. Kesemua kakitangan dan pengunjung diarahkan keluar daripada pusat beli-belah itu dan ia dikosongkan.

Menurut Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri, satu pasukan polis dengan bantuan bomba telah tiba dan memeriksa lokasi itu.

Selepas panggilan ancaman bom itu diterima, operasi AEON Mall Klebang dihentikan semalam.

Berdasarkan sumber, Unit Pemusnah Bom Polis Diraja Malaysia dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak telah menjalankan pemeriksaan menyeluruh di lokasi kejadian.


Lelaki Ditahan Buat Panggilan Palsu Ancaman Bom

Sehubungan dengan itu, pihak polis telah memberkas seorang lelaki yang didakwa melakukan panggilan palsu mengenai ancaman bom tersebut.

Menurut Ketua Polis Daerah Ipoh, ACP Yahaya Hassan, seorang lelaki warga tempatan berusia 38 tahun telah ditahan di sekitar kawasan Tasek berhampiran pada jam 9.30 malam.

Suspek dipercayai bertanggungjawab berdasarkan pengakuan dikumpul dan peranti komunikasi yang digunakan untuk membuat panggilan palsu. Suspek akan direman hari ini untuk siasatan lanjut.

Ketua Polis Daerah Ipoh, ACP Yahaya Hassan.

Kes disiasat di bawah Seksyen 507 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan menakutkan secara jenayah dengan jalan perhubungan sembunyi nama. Jika didapati bersalah, suspek boleh dipenjara sehingga tempoh dua tahun atau mengikut seksaan lain berdasarkan Seksyen 506.

Pihak polis menganggap kes telah selesai selepas tangkapan suspek dilakukan.


AEON Mall Klebang Dibuka Semula

Ketua Polis Daerah Ipoh ACP Yahaya Hassan berkata pemeriksaan menyeluruh di premis itu tidak menemukan sebarang objek meragukan.

Oleh itu, pihak polis mengesahkan lokasi itu selamat dan semua kakitangan dibenarkan masuk semula pada jam 10.30 malam tadi.

Setelah mendapatkan pengesahan daripada pihak berkuasa tentang keselamatan pusat beli-belahnya, AEON Co. (M) Bhd. mengeluarkan satu kenyataan malam tadi bahawa operasinya akan berjalan seperti biasa hari ini (24 Ogos 2023).

Sumber: Sinar Harian | Buletin TV3


Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.

Get more stories like this to your inbox by signing up for our newsletter.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd