Now Reading
“Ajar Sains & Matematik Dalam Bahasa Inggeris” – Mahathir Mohamad

“Ajar Sains & Matematik Dalam Bahasa Inggeris” – Mahathir Mohamad

Melalui laman X (Twitter), bekas Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad meluahkan pendapatnya supaya bahasa Inggeris menjadi medium pengajaran bagi subjek sains dan matematik.

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!


Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad telah mendesak kerajaan supaya mempertimbangkan semula keputusan untuk tidak meneruskan pengajaran sains dan matematik dalam bahasa Inggeris.

Di laman X (Twitter), Tun Mahathir mencadangkan supaya bahasa Inggeris dijadikan bahasa penghantar utama bagi kedua-dua subjek itu.

Beliau berkata bidang ilmu tersebut tidak berasal daripada Malaysia dan kebanyakannya berasal dari bahasa Inggeris.

Tun M menegaskan bahawa perkembangan dalam bidang sains kebiasaannya tidak terjadi dalam lingkungan bahasa Melayu.

Oleh kerana perbezaan ini, terjemahan menjadi mustahak dan memerlukan penterjemah dengan pemahaman yang mendalam terhadap dua subjek itu serta fasih dalam bahasa Inggeris dan Melayu. Beliau mendakwa kelayakan sedemikian adalah agak terhad.


Bidang Sains & Matematik Sentiasa Berkembang

Berbeza dengan subjek seperti geografi dan sejarah, beliau mendapati bidang sains dan matematik sentiasa berkembang dengan penemuan dan penerapan baharu.

Ia berbeza dengan bidang ilmu lain. Seperti geografi dan sejarah contohnya, fakta asasnya amat jarang berubah. Hanya penyampaiannya yang mungkin berlainan. Jadi keperluan menterjemah adalah terhad. Tetapi bagi sains dan matematik, penemuan dan penerapan baharu harus dipelajari jika para pelajar mahu terus seiring dengan teknologi baharu.

Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Mengakui aspirasi negara untuk memartabatkan bahasa Melayu, Tun Mahathir menyebut tentang kepentingan memperoleh ilmu pengetahuan.

Beliau menegaskan bahawa dalam mengejar ilmu, ia tidak harus dikompromi oleh matlamat linguistik kerana ilmu pengetahuan menjadi keutamaan bagi kemajuan negara.

Jika pengajaran dijalankan dalam bahasa Inggeris, semua ilmu pengetahuan baharu boleh dipelajari secara terus kerana kebanyakan kertas ilmiah diterbitkan dalam bahasa itu.

Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Beliau berkata pendidikan tidak lagi berharga jika kita ketinggalan dari segi ilmu pengetahuan yang penting dalam pembangunan dan kemajuan negara.


Dakwa Ibu Bapa Tidak Setuju Sains & Matematik Diajar Dalam Bahasa Selain Inggeris

Tun M mendakwa bahawa ramai ibu bapa yang kecewa dengan tindakan kerajaan menghentikan pengajaran sains dan matematik dalam bahasa Inggeris.

Oleh itu, beliau mendesak kerajaan supaya mempertimbangkan semula keputusan itu dan mencadangkan supaya sains dan matematik diajar dalam bahasa Inggeris sepenuhnya.

Walaupun beliau sedar tentang perkembangan bahasa Melayu, ahli politik itu menekankan sesetengah istilah matematik dan sains dipinjam daripada bahasa lain terutamanya Inggeris.

Kita memahami kehendak negara untuk memperkasakan bahasa kebangsaan, tetapi objektif pendidikan adalah untuk menimba ilmu. Kita tidak boleh mengorbankan ilmu demi perkembangan bahasa.

Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Tun Mahathir Ingin Kembalikan PPSMI

Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik Dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) telah diperkenalkan kepada pelajar Darjah 1 dan Tingkatan 1 pada tahun 2003 dan kemudiannya dimansuhkan 10 tahun selepas itu iaitu pada 2013.

Sewaktu memangku jawatan Menteri Pendidikan pada tahun 2020, Tun M mengumumkan bahawa polisi tersebut akan diguna pakai semula melalui PPSMI 2.0.

Dalam satu insiden berasingan, cadangan pembatalan Program Dwibahasa atau Dual Language Programme (DLM) telah menerima kritikan daripada dua kumpulan ibu bapa dan guru.

DLP membenarkan sekolah-sekolah terpilih untuk mengajar subjek tertentu dalam bahasa Inggeris.

Program ini yang merupakan salah satu inisiatif di bawah Dasar Memartabatkan Bahasa Malaysia Memperkukuh Bahasa Inggeris (MBMMBI), mencetuskan perbincangan tentang keseimbangan di antara pemeliharaan linguistik dan memanfaatkan bahasa Inggeris bagi pemerolehan ilmu pengetahuan secara komprehensif.


Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.

Get more stories like this to your inbox by signing up for our newsletter.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd