Now Reading
Kumpulan Penunjuk Perasaan ‘LGBTQ’ Berarak Di Depan SOGO Ditahan

Kumpulan Penunjuk Perasaan ‘LGBTQ’ Berarak Di Depan SOGO Ditahan

Kumpulan protes itu merupakan penganut satu ajaran agama baharu, Ahmadi Religion of Peace and Light.

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!


Pada Sabtu baru-baru ini (29 Julai), satu kumpulan penunjuk perasaan telah berarak di hadapan pusat membeli belah SOGO di Kuala Lumpur sambil membawa sepanduk yang menunjukkan sokongan terhadap gerakan LGBTQ.

Kumpulan itu percaya bahawa tiada orang yang mempunyai hak untuk menghakimi sesiapa kecuali Tuhan. Kata mereka lagi, seseorang tidak harus dihukum hanya kerana orientasi seksual mereka.

Salah satu sepanduk juga memaparkan bahawa mereka mengutuk diskriminasi dan penindasan terhadap golongan LGBTQ di Malaysia.

Gambar-gambar mereka protes telah tular di media sosial, sekaligus menyebabkan orang ramai percaya bahawa ia dilakukan kerana Pilihan Raya Negeri (PRN) yang akan berlangsung tidak lama lagi.


Netizen Mempersoalkan Protes Tersebut

Melihat kepada pakaian dan penampilan mereka, netizen tidak percaya bahawa peserta-peserta protes berkenaan mewakili komuniti LGBTQ.

Orang ramai berkata mereka kelihatan seperti terlalu heteroseksual dan maskulin untuk menyokong gerakan itu.

Malah, beberapa individu percaya yang protes itu hanyalah lakonan oleh parti politik tertentu atas dasar provokasi bagi PRN yang akan datang.


Kumpulan Protes Penganut Agama Ahmadi Religion of Peace and Light

‘Ahmadi Religion of Peace and Light’ merupakan satu pertubuhan keagamaan yang dikenali di seluruh dunia.

Menurut Global Voices, agama Ahmadi ini (tiada kaitan dengan Komuniti Muslim Ahmadiyya di Pakistan) adalah satu komuniti keagamaan yang ditubuhkan pada tahun 1999. Tempat agama baharu itu ditubuhkan tidak diketahui tetapi ia menerima status gereja (church status) di Amerika Syarikat pada 6 Jun 2019.

Dilaporkan bahawa agama ini dianuti di lebih 30 negara seluruh dunia, dengan lebih enam ribu pengikut di Instagram dan 11 ribu di Facebook. Komuniti minoriti ini diketuai oleh Abdullah Hashem Aba Al-Sadiq dan mengikut ajaran Imam Ahmed al-Hassan.


Lapan Orang Penunjuk Perasaan Telah Ditahan

Lapan orang daripada kumpulan penunjuk perasaan itu telah ditahan sebaik sahaja protes selesai dan kini direman di Ibu Pejabat Polis Dang Wangi.

Menurut Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain, kesemua suspek berusia 18 hingga 56 tahun dan direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan, Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955 dan Seksyen 9(5) Akta Perhimpunan Aman 2012.

Penyelaras Bantuan (Outreach) Hak Asasi Manusia Ahmadi Religion of Peace and Light United Kingdom, Hadil El-Khouly, berkata lapan orang tersebut ditahan lebih 24 jam dan sedang menunggu perintah mahkamah untuk didakwa.

Protes diadakan sebagai tindak balas oleh pengikut Ahmadi Religion of Peace and Light terhadap penindasan ke atas komuniti LGBTQ+ oleh kerajaan Malaysia, yang semakin meningkat sejak kebelakangan ini. Kami tidak menyokong penindasan terhadap individu LGBTQ+. Pintu kami terbuka untuk semua orang.

Hadil El-Khouly, Ahmadi Religion of Peace and Light UK.

Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.

Get more stories like this to your inbox by signing up for our newsletter.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd