Now Reading
Nak Daftar Kelahiran Anak di JPN? Bapa Kongsi Langkah-Langkahnya & Senarai Dokumen Yang Diperlukan

Nak Daftar Kelahiran Anak di JPN? Bapa Kongsi Langkah-Langkahnya & Senarai Dokumen Yang Diperlukan

Antara dokumen penting yang perlu dibawa semasa pendaftaran kelahiran adalah kad pengenalan ibu bapa dan buku pink.

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!


Seorang pengguna Twitter (@AkeemSharyzal) baru sahaja menyambut kelahiran cahaya matanya yang pertama. Dia yang sebelum ini berkongsi tentang pengalamannya menemani isteri di Wad Bersalin, kini menceritakan proses yang dilaluinya untuk mendaftar nama anaknya di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

Menurutnya, ketika isterinya keluar dari hospital selepas bersalin, mereka diberikan satu sampul surat. Katanya surat ini tidak boleh dibuka dan perlu diserahkan kepada pihak JPN.

Pasangan itu juga menerima Panduan Mendaftar Kelahiran yang menjelaskan tentang pendaftaran nama anak. Ia juga mengandungi satu senarai semak dokumen asal dan salinan yang perlu dibawa sewaktu mendaftar kelahiran.

Daftar nama bukan sahaja hanya boleh dilakukan oleh ibu bapa dan penjaga, tetapi juga sesiapa yang mengetahui tentang kelahiran tersebut. Pendaftaran kelahiran boleh dilakukan di mana-mana pejabat JPN di seluruh Semenanjung Malaysia jika anak dilahirkan di sini.

Ibu bapa disarankan untuk membuat pendaftaran kelahiran dalam tempoh 60 hari dari tarikh kelahiran. Bagi pendaftaran yang lewat, pendaftaran mungkin tidak akan diluluskan serta-merta.

Sebagai tambahan, pendaftaran kelahiran adalah percuma. Namun, bayaran RM50 akan dikenakan bagi pendaftaran lewat


Dokumen Yang Perlu Dibawa Bagi Pendaftaran Kelahiran

Ketika di hospital, ibu bapa turut diberikan Borang Pendaftaran Kelahiran dan Borang Pengesahan Kelahiran yang perlu sama-sama dibawa ke pejabat JPN.

Dokumen-dokumen lain yang diperlukan adalah dokumen pengenalan diri ibu bapa serta salinannya seperti kad pengenalan dan Kad Kuasa polis. Selain itu, pemohon perlu membawa sijil nikah bagi pasangan berkahwin atau sijil penceraian bagi pasangan yang telah bercerai.

Buku mengandung atau buku pink juga perlu dibawa dan dibuat salinan bagi muka surat yang ditanda.

Sumber gambar: @AkeemSharyzal/ Twitter

Seorang pengguna Twitter lain turut mengingatkan supaya suami yang pergi mendaftar kelahiran anak tidak lupa untuk membawa kad pengenalan asal isteri sekali.


Isi Nama Anak Dalam Borang Ketika Di Pejabat JPN

Apabila tiba di pejabat JPN, pemohon perlu mendapatkan nombor giliran dan menunggu dipanggil oleh pegawai.

Menurut perkongsian oleh Akeem, sampul yang diterima di hospital tadi mengandungi satu borang. Setelah pihak JPN membuka sampul tersebut, pendaftar diminta untuk mengisikan nama yang dipilih bagi anaknya.

Terdapat beberapa pengguna Twitter lain yang berkongsi pengalaman mengisi borang tersebut lebih awal kerana diberi borang tanpa sampul atau tidak dilarang untuk membuka sampul.

Setelah itu, pemohon perlu menunggu dipanggil sekali lagi untuk mengesahkan nama dan alamat di dalam surat beranak yang dicetak. Dia kemudiannya hanya perlu menunggu selama 10 minit sebelum proses pendaftaran kelahiran selesai.

Ketika itu, Akeem tidak dapat membuat permohonan MyKid untuk anaknya kerana ia ditangguhkan buat sementara waktu.


Gelaran Khas Dalam Nama Anak

Sesetengah keluarga mempunyai gelaran khas atau nama keturunan seperti Tengku, Tun, Syed, Sharifah, Wan, Megat dan sebagainya. Bagi pendaftaran kelahiran anak yang mempunyai nama-nama keturunan ini, pemohon kena mendapatkan kebenaran dari pihak yang berkenaan terlebih dahulu.

Dalam sesetengah kes, pemohon mungkin diminta untuk membuktikan susur galur keturunan sebelum diizinkan menggunakan nama tersebut bagi anaknya. Selalunya, pihak JPN akan menasihati pemohon dalam isu ini jadi lebih baik kalau terus bertanyakan kepada mereka.

Rata-rata nama keturunan ini tidak boleh diturunkan kepada anak jika hanya ibu yang mempunyai gelaran khas tersebut.

Dalam masa yang sama, pihak JPN tidak akan mengesahkan permohonan nama yang tidak bersesuaian seperti nama yang mempunyai maksud tidak elok. Malah, pihak JPN juga menetapkan supaya nama anak tidak boleh melebihi 80 aksara.


Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.

Get more stories like this to your inbox by signing up for our newsletter.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd