Now Reading
Boleh Guna Telefon Bimbit Ketika Memandu Yang Diletak Pada Phone Holder – PDRM

Boleh Guna Telefon Bimbit Ketika Memandu Yang Diletak Pada Phone Holder – PDRM

Individu yang menggunakan telefon bimbit ketika memandu kenderaan boleh dikenakan denda sehingga RM1,000 atau dipenjara sehingga tiga bulan.

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!


Walaupun dilarang, masih ramai orang yang menggunakan telefon bimbit ketika memandu. Bukan sengaja hendak bermain telefon bimbit, tetapi mungkin kerana ingin melihat aplikasi peta seperti Maps dan Waze.

Namun begitu, perkara ini boleh mendatangkan risiko kemalangan dan menjadi satu kesalahan trafik menggunakan telefon bimbit walaupun untuk tujuan tersebut. Malah, meletak telefon bimbit di riba juga adalah menyalahi undang-undang kerana boleh menyebabkan kemalangan ketika pemandu memandang ke bawah.

Bahkan sejak tahun 2020, kesalahan menggunakan telefon bimbit ketika memandu bukan sahaja akan menyebabkan pemandu didenda sehingga RM1,000, tetapi juga mungkin boleh dipenjara sehingga tiga bulan. Bagi kesalahan kali kedua dan seterusnya, denda akan meningkat dua kali ganda.


Guna Phone Holder Atau Alat Bebas Tangan Ketika Memandu

Menurut Kaedah 17A di dalam Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959, menggunakan telefon bimbit ketika memandu adalah dilarang kecuali jika ia digunakan dengan pemegang (holder) atau alat bebas tangan.

Pemandu boleh menggunakan telefon bimbit dan menyentuh skrin untuk membuat atau menerima panggilan telefon menggunakan ‘speaker’ jika ia diletakkan di pemegang.

Walaupun telefon bimbit digunakan untuk melihat peta dan diletakkan di pemegang, Ketua Polis Daerah Georgetown, Asisten Komisioner Sofian Santong berkata pemandu tidak boleh membuat sebarang perubahan pada aplikasi atau kedudukan pemegang semasa memandu.

Hentikan kenderaan dan betulkan navigasi pada ketika itu. Jika membetulkan navigasi semasa anda sedang memandu, ia boleh menyebabkan kemalangan.

Ketua Polis Daerah Georgetown, Asisten Komisioner Sofian Santong.

Menurut Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Seri Mat Kasim Karim, undang-undang jelas menyatakan bahawa pemandu tidak boleh memegang telefon bimbit ketika kenderaan bergerak.

Malah, telefon bimbit juga tidak boleh digunakan ketika sedang berhenti di lampu isyarat atau ketika dalam kesesakan. Ini kerana ketika itu pemandu masih dalam ‘mod memandu aktif’.

Menggunakan telefon bimbit tanpa pemegang ketika situasi sebegitu bermakna perhatian pemandu akan beralih daripada jalan raya. Perkara ini boleh mendatangkan bahaya dan kesukaran apabila individu perlu menyambung pemanduan ketika trafik bergerak semula.

Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Seri Mat Kasim Karim.

Dia berkata tangan perlu sentiasa diletakkan di stereng kereta ketika memandu untuk mengawal kenderaan dengan selamat.

Tambahnya lagi, pemandu yang cuba mengambil telefon bimbit yang terjatuh ke lantai kenderaan sewaktu memandu juga boleh hilang kawalan semasa memandu dan menyebabkan kemalangan.

Jika tiada pemegang atau alat bebas tangan, pemandu perlu menghentikan kenderaan di tempat meletak kereta sebelum menggunakan telefon bimbit. Mat Kasim mengingatkan bahawa orang ramai tidak boleh menghentikan kenderaan di lorong kecemasan tanpa sebab munasabah.

Di samping itu, penggunaan jam tangan pintar ketika memandu dibenarkan kerana ia bukan peranti yang dipegang.


Guna Telefon Bimbit Ketika Memandu Kurangkan Fokus Pada Jalan Raya

Profesor Madya Dr Law Teik Hu dari Universiti Putra Malaysia (UPM) berkata banyak kajian menunjukkan penggunaan telefon bimbit ketika memandu menyebabkan kemalangan.

Menurutnya, pemandu yang memberi separa fokus ketika di atas jalan raya hanya mempunyai 50% kebolehan untuk mengenal pasti bahaya dan 50% kemampuan untuk mengelaknya.

Kemampuan ini lebih mengurang jika pemandu menghantar mesej menggunakan telefon bimbit walaupun pada kelajuan rendah. Pemandu, terutamanya mereka yang melakukan servis ‘e-hailing’ yang kerap menggunakan telefon bimbit ketika membawa kenderaan mempunyai risiko kemalangan lebih tinggi.

Pengarah Pusat Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya UPM, Profesor Madya Dr Law Teik Hu.

Katanya lagi, hilang fokus hanya selama beberapa saat ketika memandu boleh mengakibatkan malapetaka.


Kemalangan Jalan Raya Di Malaysia Adalah ‘Traffic Pandemic’

Malaysia antara negara yang mempunyai jumlah kemalangan dan kematian jalan raya tertinggi di dunia.

Pada tahun lalu, seramai 6,076 individu, iaitu lebih 60% daripadanya pemandu dan penumpang, maut dalam 545,630 kemalangan jalan raya yang direkod. Malah, satu kematian akibat kemalangan jalan raya direkodkan dalam tempoh setiap 90 minit tahun lalu.

Pengarah Eksekutif Safe Kids Malaysia UPM, Prof Kulanthayan K.C Mani berkata jumlah kemalangan tinggi ini harus dilihat sebagai ‘traffic pandemic’ yang perlu dikurangkan.

Dua cara yang paling efisien yang kita harap akan diambil ialah penggunaan pengangkutan awam lebih tinggi. Mana-mana negara pun kalau guna pengangkutan awam lebih tinggi, angka kemalangan akan turun dan angka kematian akan berkurang.

Pengarah Eksekutif Safe Kids Malaysia UPM, Prof Kulanthayan K.C Mani.

Dia juga berkata kemalangan jalan raya dapat dikurangkan sekiranya had laju kenderaan yang dipandu tidak terlalu tinggi.


Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: FacebookTwitter, dan Instagram.

Get more stories like this to your inbox by signing up for our newsletter.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd