Now Reading
Telekung RM12K: Tunjuk Kekayaan Undang Sikap Riak – Mufti Pulau Pinang

Telekung RM12K: Tunjuk Kekayaan Undang Sikap Riak – Mufti Pulau Pinang

Mufti Pulau Pinang Dr Wan Salim berkata perbuatan menonjolkan keistimewaan diri sendiri kepada individu lain adalah satu sikap riak.

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!


Menggayakan busana mewah bukanlah satu perkara asing lagi di kalangan usahawan di Malaysia sejak kebelakangan ini. Namun tidak ramai yang menghabiskan ribuan ringgit bagi menyediakan pakaian untuk beribadah.

Baru-baru ini seorang usahawan telah menjadi bualan ramai apabila dia menghabiskan modal sekitar RM12,000 untuk menjahit sepasang telekung bertatahkan Swarovski buat isteri tercinta.

Hantaran di laman TikTok itu kemudian mendapat perhatian orang ramai di platform media sosial di mana ramai yang dilihat memuji kesungguhan usahawan berkenaan. Namun, ada juga yang memberikan pandangan sebaliknya tentang perkara tersebut.

Baca Artikel Berkaitan: Modal RM12,000, Suami Jahit Telekung Bertatah Swarovski Buat Isteri Sempena Sambut Ramadan [Video]


Elak Bersikap Riak Ketika Menunaikan Ibadah

Terbaharu semalam (14 Mac), Mufti Pulau Pinang Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor berpendapat perbuatan mempamerkan keistimewaan diri sendiri dan bersikap riak adalah sejenis penyakit hati yang perlu dirawat dengan kadar segera.

Mengulas lanjut mengenainya, Wan Salim berkata sikap riak seseorang boleh dilihat menerusi pelbagai cara termasuklah menunjukkan ketinggian ilmu, kekayaan, kedudukan sosial dan lain-lain.

Jelasnya, perkara tersebut juga adalah sejenis ‘syirik kecil’ yang boleh mengheret manusia ke arah neraka walaupun ia tidak kekal di dalamnya sebagaimana syirik besar iaitu kufur kepada Allah SWT, lapor Harian Metro.

Ketika menunaikan ibadah sama ada di rumah atau di masjid, seorang muslim perlu menghayati perasaan hina diri atau tawaduk di hadapan Tuhannya. Ingatlah Allah SWT tidak melihat kepada pakaian seseorang sama ada mahal atau sebaliknya.

Wan Salim.

Lebih Khusyuk Jika Pakai Pakaian Sederhana

Wan Salim dalam masa sama mengingatkan orang ramai bahawa memakai pakaian serba sederhana dan tidak menonjol mampu membuatkan hati seseorang itu lebih khusyuk ketika melakukan sesuatu ibadah.

Susulan itu, adalah penting bagi umat Islam untuk menitik beratkan soal kualiti ibadah dikerjakan dan tidak disia-siakan dengan perasaan riak yang sekaligus mampu membatalkan pahala.

Allah SWT tidak menilai hamba-Nya berdasarkan rupa paras, pangkat kebesaran atau pakaian yang menghiasi dirinya, tetapi Dia menilai seseorang berdasarkan ketakwaan dan komitmen terhadap segala yang diperintahkan.

Wan Salim.

Hukum Pakai Pakaian Mahal

Memetik Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, hukum memakai pakaian yang cantik dan mahal adalah harus jika berkemampuan.

Gambar sekadar hiasan. Sumber: Pexels/Unsplash

Walaupun begitu, pihaknya turut berpendapat pakaian yang mahal dan cantik boleh dipakai dengan beberapa keperluan atau garis panduan yang perlu difahami dan diikuti. Antaranya:

  • Jangan sampai kepada tahap membazir. Hal ini berdasarkan nas Ilahi:

“وَلَا تُبَذِّرْ تَبْذِيرًا ﴿٢٦﴾ إِنَّ الْمُبَذِّرِينَ كَانُوا إِخْوَانَ الشَّيَاطِينِ ۖ وَكَانَ الشَّيْطَانُ لِرَبِّهِ كَفُورًا”

Maksudnya: Dan janganlah engkau membelanjakan hartamu dengan boros yang melampau. Sesungguhnya orang yang boros itu adalah saudara-saudara syaitan, sedang syaitan itu pula adalah makhluk yang sangat kufur kepada Tuhannya.”

[Surah al-Isra’ (26-27)]

  • Bukan pakaian yang boleh membawa kepada sifat takabbur. Daripada Ibn Umar R.Anhuma, Rasulullah SAW bersabda:

“مَنْ لَبِسَ ثَوْبَ شُهْرَةٍ فِي الدُّنْيَا أَلْبَسَهُ اللَّهُ ثَوْبَ مَذَلَّةٍ يَوْمَ الْقِيَامَةِ”

Maksudnya: “Sesiapa yang memakai pakaian yang melambangkan kemasyhuran, nescaya Allah SWT akan memakaikannya pakaian kehinaan di hari kiamat.”

[Riwayat Ahmad (5664), Abu Daud (4029),
al-Nasaie (9487) dan Ibn Majah (3607)]

Baca Artikel Berkaitan:[Foto] Rekaan Busana Pengasas Tudung Bernilai RM250,000 Buat Ramai Terpukau!


Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram

Get more stories like this to your inbox by signing up for our newsletter.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd