Now Reading
Tiada Kaitan Dengan DJ Lin, Adakah Ini Punca Kontrak Tyzo Ditamatkan Suria FM?

Tiada Kaitan Dengan DJ Lin, Adakah Ini Punca Kontrak Tyzo Ditamatkan Suria FM?

Susulan penamatan kontrak tersebut, beberapa stesen radio mula dikaitkan dengan Tyzo antaranya Hot FM, RTM, Era FM dan IKIM.

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!


Pada Jumaat lalu (12 Januari), tular tentang isu syarikat stesen radio tempatan iaitu Suria FM yang mengumumkan tentang keputusan mereka untuk memberhentikan khidmat penyampai radio Tyzo Xander.

Perkara itu dimaklumkan sendiri oleh Pengurus Besar Suria FM, Roslinda Abd Majid  atau lebih dikenali sebagai DJ Lin.

Ketika membuat pengumuman tersebut, DJ Lin menyifatkan khidmat Tyzo cukup besar terhadap Suria FM dan akan sentiasa menyokong perkembangan kerjayanya pada masa akan datang.


DJ Tyzo Tidak Reda Dengan Keputusan Diberhentikan Khidmat Di Suria FM

Selepas berita mengejutkan itu, Tyzo menerusi hantaran dimuat naik di laman Instagram (@tyzoxander) membuat permohonan maaf kepada seluruh pendengar segmen Suria Petang kerana tidak dapat lagi berkhidmat sebagai penyampai radio di Suria FM meskipun masih bercadang untuk bekerja di sana.

Walau bagaimanapun, dia menganggap perkara itu sebagai ‘harga yang perlu dibayar’ atas kemenangannya dalam satu anugerah pada tahun lalu.

Saya minta maaf kerana ini bukan keputusan saya. Saya masih lagi mahu bekerja. Saya punya anak, tapi ini bukan kehendak saya. Inilah harga yang saya perlu bayar untuk sebuah kemenangan Penyampai Radio Popular Anugerah Bintang Popular Berita Harian ABPBH 2023.

Tyzo Xander.
Sumber: Berita Harian

Pada masa yang sama, Tyzo atau nama sebenarnya Tuah Zoqarnain Idris, 47, yang tidak reda dengan perkara tersebut berharap agar tiada lagi pihak yang membuat tohmahan dan tanggapan buruk dengan niat untuk menutup aib.

Selepas ini mohon tiada pihak spin cerita, olah ayat, tuduh diva demi menutup aib. Hanya yang pernah lalui sahaja tahu sakitnya. Saya tidak reda pemergian ini. Tapi apa daya saya, saya tiada kuasa. Saya tiada pilihan. Saya harus pergi, Maafkan saya. Selamat tinggal Suria.

Tyzo Xander.

Tular Dakwaan Netizen Mahu Boikot Suria FM

Selepas tular mengenai penamatan kontrak melibatkan Tyzo yang cukup terkenal dengan Segmen Suria Petang bersama Sharifah Shahira sejak tahun 2019, sesetengah netizen membuat dakwaan mahu memboikot Suria FM.

Memetik Kosmo, tindakan pihak pengurusan syarikat stesen radio itu telah menimbulkan rasa ketidakpuasan hati dalam kalangan pendengar Suria FM.

“Kenapa buang Tyzo? Lepas ni nak boikot dah dengah Suria FM. Pagi hambar. Petang pun bakal hambar,” ujar netizen.

Seorang lagi netizen pula berpendapat keputusan memecat Tyzo adalah perkara yang tidak sepatutnya kerana penyampai radio itu seolah-olah penyeri kepada Suria FM.

“Nak tanya kenapa tamatkan Tyzo? Tahu ke tak dia tu penyeri Suria FM? Jangan sebab ada pangkat orang kau buang suka hati,” kata netizen.

Tidak kurang juga yang memetik nama DJ Lin sebagai punca yang menyebabkan kontrak Tyzo ditamatkan.


Stesen Radio Popular Cuba ‘Melamar’ Tyzo

Tidak lama selepas itu, stesen radio popular iaitu Hot FM dilihat cuba ‘melamar’ Tyzo untuk berkhidmat bersama mereka apabila memuat naik hantaran di laman Instagram(@hotfm976) dengan meminta pendapat daripada netizen.

Rata-rata netizen memberi respon positif terhadap pertanyaan sama ada stesen radio Hot FM patut mengambil Tyzo sebagai salah seorang penyampai radio mereka.

Malah, ada juga netizen yang memberi pendapat bahawa Tyzo perlu berganding dengan Sharifah Shahira kerana mereka memiliki keserasian semasa bekerja sebagai penyampai radio.

Sumber: Instagram @hotfm976

Memetik Harian Metro, Tyzo berkata dia masih terbuka untuk bekerja sebagai penyampai radio kerana mempunyai minat mendalam dalam kerjaya tersebut.

Difahamkan, Tyzo juga telah berkhidmat dengan Suria FM dalam tempoh lapan tahun.

Doakan saya untuk mendapat peluang yang lebih baik. Saya pun tak tahu nak cakap macam mana. Kalau dapat Hot FM, Era FM, Sinar FM, Ikim atau radio RTM, saya sedia untuk berbincang lanjut.

Tyzo Xander.

Ini Pula Respon Dari DJ Lin

Memetik Berita Harian, DJ Lin membuat permohonan maaf kerana tidak dapat menjawab segala persoalan yang timbul mengenai penamatan kontrak melibatkan Tyzo yang tular di media sosial.

Bagi memberi penjelasan sebenar tentang perkara itu, DJ Lin memaklumkan bahawa Suria FM akan mengadakan satu sidang media khas pada Jumaat ini (19 Januari).

Saya minta maaf. Buat masa ini, saya terpaksa kunci mulut selepas terima arahan pihak pengurusan atasan. Tiada sebarang kenyataan boleh dikeluarkan. Walau bagaimanapun, Suria FM akan buat penjelasan lebih lanjut menerusi satu sidang media Jumaat ini.

Pengurus Besar Suria FM, Roslinda Abd Majid (DJ Lin).
Sumber: Sinar Harian

Wujud Dakwaan Permintaan Kenaikan Gaji Jadi Punca

Memetik sumber Malaysia Gazette, Tyzo yang dikatakan meminta kenaikan gaji selepas bergelar penyampai radio popular serta menerima tawaran dari stesen radio lain telah menjadi faktor kepada kontraknya tidak disambung di Suria FM.

Pihak sumber manusia syarikat tersebut juga dipercayai tidak dapat memenuhi permintaan Tyzo untuk meminta gaji yang lebih tinggi.

Akur dengan keputusan yang diberikan, Tyzo menyambung kontrak tersebut dengan kenaikan gaji yang rendah dan menetapkan beberapa syarat termasuklah berkhidmat pada tempoh tertentu serta boleh meletak jawatan dalam tempoh 24 jam.

Namun selepas pihak pengurusan tertinggi melakukan perbincangan, mereka mengambil keputusan untuk tidak menyambung kontrak Tyzo dan mahu mencari penyampai radio yang baharu.


Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.

Get more stories like this to your inbox by signing up for our newsletter.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd