Now Reading
Tahukah Anda Kenapa Malaysia Guna Zon Waktu GMT+8?

Tahukah Anda Kenapa Malaysia Guna Zon Waktu GMT+8?

Netizen berbelah bahagi mengenai perbahasan zon waktu Malaysia, di mana kedua-dua Malaysia Timur dan Barat telahpun diseragamkan.

zon waktu gmt

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk updates terkini, relevan dan menarik!


Jika anda pernah mengembara ke Indonesia atau Thailand, anda mungkin perasan jika ingin dibandingkan dengan Semenanjung Malaysia, matahari terbit kira-kira sejam lebih awal di negara-negara tersebut.

Ternyata, matahari di Semenanjung Malaysia yang sebenarnya terbit ‘lewat’.

Tapi anda pernah tak terfikir, kenapa pula jadi macam itu?

Semuanya berbalik kepada keputusan yang telah dibuat oleh bekas Perdana Menteri kita Tun Dr Mahathir Mohamad.

Suatu ketika dahulu ketika Dr Mahathir menjadi Perdana Menteri keempat, beliau banyak menyumbang kepada pemodenan Malaysia, termasuklah mencadangkan Malaysian Standard Time (MST) kita sendiri.

Ini kerana semasa Semenanjung dan Sabah Sarawak bergabung, zon waktu masih belum diselaraskan. Ini menjadikan Sabah dan Sarawak 30 minit lebih cepat.

Namun perbezaan masa yang sangat kecil ini telah menjejaskan waktu kerja secara negatif buat kedua-dua belah pihak, menjadikannya sukar untuk diselaraskan.

Perkara ini pada mulanya dibantah oleh Singapura, tetapi faedahnya sangatlah besar dan kedua-dua negara mengguna pakai zon waktu yang serupa dengan China, Hong Kong dan Taiwan.

Oleh itu, selepas hanya lima bulan memegang jawatan pada tahun 1981, Mahathir mengemukakan usul untuk menyelaraskan masa Malaysia Barat dan Timur dengan melaksanakan MST – yang akan menjadikan Semenanjung 30 minit ke hadapan untuk diselaraskan dengan Malaysia Timur atau lebih dikenali sebagai GMT+ 8.

Ia juga dipercayai mampu mengukuhkan integrasi nasional dan berdiri bersama sebagai satu negara.

Usul itu disokong sebulat suara di Parlimen, malah oleh ahli pembangkang pada masa itu, serta telah berkuat kuasa pada 1 Januari, 1982.

Walau bagaimanapun, 40 tahun kemudian, segelintir individu kini dilihat ingin memperjuangkan Malaysia untuk kembali ke ‘zon waktu yang sah’ iaitu GMT+7.

Perdebatan yang kini berlaku menerusi media sosial memperlihatkan netizen seolah-olah berbelah bahagi dengan isu berkenaan.

Walaupun ada yang bersetuju penggunaan GMT+8 berbanding 7, membawa lebih banyak faedah ekonomi untuk negara, ada juga yang lain berkata ia merosakkan jam biologi kebanyakan rakyat.

Pengguna Twitter @ravivarmarao berkata, “Perlu diingatkan bahawa GMT+8 berfungsi dengan baik untuk Sarawak dan Sabah & dari segi ekonomi kita serupa dengan Singapura dan seluruh Asia Pasifik. Kita telah melakukannya selama bertahun-tahun dan kami pasti boleh melakukannya lebih lama lagi.”

Seorang lagi pengguna Twitter @annarulangel berkata mereka yang ‘bergaduh’ tentang isu untuk mengembalikan GMT+7 adalah orang yang suka menyusahkan hidup.

“Perbezaan hanyalah 30 minit dari Sabah Sarawak. Sesetengah orang bercakap tentang kebimbangan kesihatan, mereka mengatakan lebih baik meninggalkan tempat kerja apabila matahari terbit. Apa yang perlu kita persoalkan adalah tukar waktu bekerja dan bukannya zon waktu,” tegasnya.

Sementara itu, bekas calon Pakatan Harapan Putrajaya Dr Noraishah Mydin Abd Aziz dilihat bersetuju dengan langkah untuk mengubah masa standard Malaysia.

Beliau memuat naik satu tweet sebagai jawapan kepada soalan mengenai faedah menukar masa standard.

Supaya kita boleh membetulkan jam sirkadian kita yang berantakan. Malaysia tidak bangun dalam zon waktu yang betul. Kita berada di bawah pemerintahan diktator dalam tempoh yang sangat lama.

bekas calon Pakatan Harapan Putrajaya Dr Noraishah Mydin Abd Aziz.

Malah, ada juga yang mempersoalkan adakah perkara ini akan menjejaskan perniagaan antarabangsa yang telah menubuhkan pangkalan di Malaysia?

“Jika benar zon waktu Semenanjung Malaysia akan ditukar kepada GMT+7, adakah terdapat sebarang kesan ketara terhadap syarikat antarabangsa yang telah membuka cawangan di sini, terutamanya dalam kebimbangan pelaksanaan liputan 24/7? Adakah ia hanya mengenai melaraskan waktu bekerja?” soal @irfanmokhtar_  menerusi satu tweet.


Kongsi cerita menarik dan terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, dan Instagram.

Get more stories like this to your inbox by signing up for our newsletter.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd