Now Reading
‘Jom Kita Bincang!’ Buka Lembaran Baru Untuk Dunia Sastera Kanak-kanak

‘Jom Kita Bincang!’ Buka Lembaran Baru Untuk Dunia Sastera Kanak-kanak

Pameran ‘Jom Kita Bincang!’ ini diadakan di Perpustakaan Raja Tun Uda di Shah Alam sehingga 10 April ini.

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!


Baru-baru ini, sebuah pameran yang diberi nama ‘Jom Kita Bincang!’ baru sahaja dilancarkan di Perpustakaan Raja Tun Uda di Shah Alam.

Di bawah naungan Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Selangor Tengku Amir Shah Ibni Sultan Sharafuddin Idris Shah Al-Haj, acara ini dilihat boleh memberi sinar harapan dan inovasi dalam dunia penceritaan.

Berdasarkan tradisi dalam sastera kanak-kanak Sweden, ‘Jom Kita Bincang!’ ini membolehkan kanak-kanak meneroka tentang kisah pengembaraan, keajaiban dan penemuan mengenai kemampanan, kesihatan, hak serta isu global.

Meneroka dunia baharu: Seorang kakitangan kedutaan Sweden berkongsi kisah pengembaraan dan penemuan dengan seorang kanak-kanak di Perpustakaan Raja Tun Uda. (Sumber: Fernando Fong)

Ia merupakan satu kerjasama bagi merapatkan budaya dan benua dengan menampilkan buku kanak-kanak Sweden yang baru diterjemahkan ke dalam Bahasa Malaysia dan dihidupkan dengan usaha dari Kedutaan Sweden di Malaysia, Perpustakaan Raja Tun Uda dan Lembaga Malaysia Board On Books For Young People (MBBY).

Dr Joachim Bergström, Duta Besar Sweden ke Malaysia dan individu di sebalik ‘Jom Kita Bincang!’ percaya terhadap kesan yang dibawa melalui penceritaan kisah berkenaan yang melibatkan nilai kemasyarakatan.

“Sastera kanak-kanak adalah alat yang berkuasa dalam membentuk masyarakat bagi menghormati antara satu sama lain dan menghargai alam semula jadi,” katanya sambil menggambarkan persamaan dengan kepimpinan global Sweden dalam memupuk kelestarian.

Duli Yang Teramat Mulia Putera Mahkota Selangor, Tengku Amir Shah (kiri), bersalaman dengan Dr Joachim Bergström di atas pentas. (Sumber: Fernando Fong)

Membuka Kunci Imaginasi: ‘Jom Kita Bincang!’ Menyerlahkan Lagi Dunia Penceritaan

Pameran itu dimulakan dengan forum yang julung kalinya diadakan pada 26 Februari lalu dan menjadi pentas untuk saling bertukar-tukar idea.

Dengan kehadiran Putera Mahkota Selangor dan perspektif daripada tokoh-tokoh seperti Che Puan Sofie Louise Johansson Petra (sebagai Duta Membaca Diraja) dan wakil daripada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) serta Tabung Kecemasan Kanak-Kanak Antarabangsa Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF), dialog itu meneroka pandangan baharu melibatkan sastera kanak-kanak.

Dipengerusikan oleh Dr Joachim Bergström, forum itu meneroka persepektif baharu dalam kesusasteraan kanak-kanak. (Sumber: Fernando Fong)

Selain memberi tumpuan kepada kesusasteraan kanak-kanak, siri bengkel ini juga direka secara inovatif untuk golongan dewasa meningkatkan daya kreativiti serta memupuk minat terhadap sastera di kalangan mereka yang bertanggungjawab untuk membimbing pembaca muda berumur 5 hingga 8 tahun.

Bengkel ini juga boleh menjadi sumber yang berharga buat para ibu bapa, pendidik dan pustakawan bagi melengkapkan diri mereka dengan alatan dan pandangan yang diperlukan.

Antara bengkel yang disediakan adalah untuk memberi tumpuan kepada penggunaan semula bahan kitar semula secara kreatif sebagai sumber pendidikan dan alat permainan untuk kanak-kanak.

Ia merupakan sesi ‘hands-on’ di mana peserta boleh mempelajari kaedah untuk mengubah barangan harian menjadi alat pembelajaran di samping mempromosikan kelestarian alam sekitar dan merangsang kreativiti.

Dalam sesi bengkel yang lain pula, ia lebih memberi fokus kepada cara untuk meningkatkan kesedaran dan pemahaman tentang Sindrom Down serta bagaimana sastera inklusif dapat memupuk empati dan persefahaman dalam kalangan kanak-kanak.

Ia juga mengetengahkan peranan penting perpustakaan dalam memberi pinjaman bahan bacaan dan menyediakan akses kepada buku inklusif yang mengisahkan tentang pelbagai pengalaman termasuk kisah mengenai kanak-kanak sindrom Down.


Dalam Dunia Magikal Di Perpustakaan Mini Sweden

Dalam pameran yang diadakan sehingga 10 April ini, para pengunjung boleh menikmati keindahan Perpustakaan Mini Sweden di mana banyak buku kanak-kanak berbahasa Sweden diterjemahkan untuk dijadikan bahan bacaan.

Pameran itu juga memberi penghormatan kepada seorang pengarang Sweden yang terkenal dengan siri buku anak-anaknya iaitu Astrid Lindgren.

Watak Lindgren seperti Pippi Longstocking merangkumi daya tahan dan kemerdekaan telah mencerminkan kepercayaan dirinya dalam memperkasakan kanak-kanak serta menghormati autonomi mereka.

“Beri anak-anak kasih sayang, lebih banyak kasih sayang dan lebih banyak kasih sayang – dan minda yang sihat akan datang dengan sendirinya,” kata Lindgren.


Membentuk Masa Hadapan: Kuasa Transformasi Melalui Penceritaan

‘Jom Kita Bincang!’ dianggap lebih dari sekadar pameran kerana ia merupakan satu pergerakan yang boleh membentuk perkembangan kanak-kanak, menawarkan hiburan, mengajar erti hidup serta mencetuskan daya kreativiti dan empati.

Melalui cerita, kanak-kanak boleh meneroka dunia baharu, memahami perspektif yang berbeza dan belajar tentang budaya selain budaya mereka sendiri.

Misi ini menjadi lebih kritikal apabila Malaysia menghadapi kemerosotan prestasi dalam pentaksiran antarabangsa seperti Program Penilaian Pelajar Antarabangsa (PISA).

Hal ini secara tidak langsung mendesak pendekatan pendidikan secara inovatif melalui ‘Jom Kita Bincang!’.

Kisah yang baik boleh menjadi inspirasi, motivasi dan mengalakkan kanak-kanak untuk bercita-cita tinggi dan berusaha keras untuk mencapainya.

Kelebihan ini menjadikannya sangat penting untuk kanak-kanak mendapat akses kepada pelbagai kualiti sastera sejak dari usia muda.

Sambil membuka lembaran kisah-kisah transformatif ini, kita dapat melangkah ke masa depan di mana kemampanan, kesihatan serta keadilan sosial adalah realiti yang perlu dihayati oleh setiap kanak-kanak bagi melakukan perubahan.


Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.

Get more stories like this to your inbox by signing up for our newsletter.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd