BMW Malaysia Perkenal BMW iX xDrive50 Sport & BMW iX M60 Serba Baharu
Pengeluar kenderaan premium, BMW Malaysia kini merungkaikan pengemaskinian bagi dua jentera Sports Activity Vehicle (SAV) keluarannya.
Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!
Pada 16 Februari lalu, BMW Malaysia telah memperkenalkan dua (2) kenderaan menarik yang didatangkan dengan teknologi pengecasan terbaharu sebagai bukti komitmen mereka terhadap slogan Sheer Electric Driving Pleasure dengan iterasi BMW iX xDrive50 Sport dan BMW iX M60 yang serba baharu.
Ingin Kekal Sebagai Peneraju Kenderaan Elektrik (EV)
Hadir dengan keupayaan serba baharu yang melambangkan keunggulan famili BMW iX kini turut membawakan fungsi pengecasan 22 kW.
Sashi Ambihaipahan selaku Ketua Komunikasi Korporat dan Kelestarian di BMW Group Malaysia berkata, “Kami rasa sangat teruja untuk mempersembahkan BMW iX xDrive50 Sport dan BMW iX M60, menjadi satu lembaran signifikan dalam legasi kami untuk mencorak alaf Mobiliti Berelektrik di Malaysia.
“Menyusuli kedudukan kita sebagai peneraju dalam pembekalan kenderaan elektrik (EV) premium di dalam negara, perungkaian kenderaan ini turut mencerminkan komitmen kami untuk memajukan landskap Mobiliti Berelektrik di peringkat tempatan.
“Dengan mempelbagaikan jentera BMW i yang ditawarkan di Malaysia, kami berhasrat untuk terus merealisasikan Pengalaman Pemilikan Elektrik Bertaraf Premium buat para pelanggan kami yang dihargai di seluruh negara.
“Kami telah membuka tirai tahun ini dengan memperkenalkan BMW X5 xDrive50e M Sport, dan kini sepasang jentera yang handal ini, maka para pelanggan dan juga peminat EV pasti teruja untuk menyaksikan apa lagi bakal menyusul pada tahun 2024.”
BMW iX xDrive50 Sport dan BMW iX M60
BMW Malaysia terus membina legasinya untuk mencorak alaf Mobiliti Berelektrik menerusi BMW iX xDrive50 Sport dan BMW iX M60 yang dikemas kini dari segi keupayaan teknologinya, menaikkan tanda aras bagi mobiliti berelektrik dalam pasaran tempatan.
Mengulas lanjut, mereka turut mengekalkan gaya serta elemen-elemen unik yang mendefinisikan siri kenderaan BMW iX, kedua-dua varian kini turut mempunyai keupayaan pengecasan baharu serta mengintegrasikan suspensi berciri dwigandar.
Elektrik Di Aras Lebih Tinggi
BMW iX xDrive50 Sport dan BMW iX M60 kini dilengkapi dengan AC Charging Professional sebagai standard, meningkatkan kapasiti pengecasan kenderaan ini.
Fungsi pengecasan ini akan mengurangkan masa pengecasan secara signifikan, sama ada di rumah atau di stesen pengecasan AC awam, dengan keupayaan pengecasan baharu sebanyak 22 kW.
Ini membawa kepada pengalaman pengecasan lebih efisien, mengurangkan masa pengecasan kedua-dua kenderaan ini kepada kurang daripada 5 jam 30 minit untuk pengecasan penuh dari 0 hingga 100%.
Selain itu, kedua-dua jentera masih menyokong fungsi pengecasan berkuasa tinggi sehingga 195 kW, mempercepat proses pengecasan dari 0% hingga 80% hanya dalam tempoh 35 minit.
11kW AC Wallbox Charger juga boleh mengecas kenderaan ini dari 0 hingga 100% dalam tempoh 11 jam.
1,700 Akses Pengecasan Di Seluruh Negara
Para pemilik BMW iX ini juga dapat menikmati akses pengecasan di lebih daripada 1,700 fasiliti pengecasan di seluruh negara, yang dikuasakan oleh pembekal pengecasan EV tempatan yang bekerjasama dengan BMW Group Malaysia.
Kolaborasi strategik dengan ChargeEV dan Yinson GreenTech menyediakan akses kepada lebih daripada 400 fasiliti, manakala usaha sama dengan JomCharge, Gentari, ChargeN’Go, ChargeSini, Go To-U, dan FlexiParking menyediakan kira-kira 160 fasiliti lagi di seluruh negara.
Kerjasama ini tidak hanya membantu membentuk masa depan mobiliti di Malaysia, tetapi juga memastikan bahawa semua aspek Pengalaman Pemilikan Elektrik Bertaraf Premium dijanjikan selari dengan perkembangan landskap Mobiliti Elektrik yang semakin berkembang.
BMW iX xDrive50 Sport
BMW iX xDrive50 Sport terus menonjolkan prestasinya dengan output maksimum 385 kW/523 hp dan jangkauan operasi elektrik sejauh 630 km (WLTP). Nilai tork kenderaan ini mencapai 765 Nm dengan bantuan Kawalan Pelancar, membolehkannya mencapai kelajuan 100 km/jam dalam masa 4.6 saat sahaja, serta mencapai kelajuan tertinggi sehingga 200 km/jam.
BMW iX M60
BMW iX M60 masih mengekalkan konfigurasi dwi-motor optimum dengan output gabungan 455 kW/619 hp dan jangkauan operasi elektrik sejauh 561 km (WLTP). Dalam keadaan pemanduan normal, kenderaan ini masih dapat mencapai nilai tork sebanyak 1,015 Nm, dan dengan pengaktifan Kawalan Pelancar, tork puncaknya dapat ditingkatkan kepada 1,100 Nm, membolehkannya mempercepat dengan pantas dalam masa 3.8 saat sahaja.
Sekarang, BMW iX xDrive50 Sport dan BMW iX M60 dilengkapi dengan standard suspensi udara dwi-gandar untuk menjamin pengalaman pemanduan lebih lancar, mampu menyerap ketidaksempurnaan permukaan jalan dengan kejituan tinggi.
Tidak hanya itu, kedua-dua model ini mengekalkan BMW Iconic Sounds Electric sebagai standard, memberikan pengalaman imersif melalui hubungan unik antara bunyi dan kenderaan ini.
Reka Bentuk & Sistem Bantuan Pintar
Dengan Comfort Access yang memaparkan BMW Digital Key Plus, pengguna boleh mengunci BMW iX xDrive50 Sport dan BMW iX M60 secara automatik dengan kunci fizikal atau telefon pintar iPhone atau Android.
Ia bukan sahaja membekalkan akses yang lancar, tapi juga menaik taraf aspek keselamatan dengan fungsi mengunci automatik yang boleh diaktifkan mengikut jarak pemandu dari kenderaan. Di samping itu, kunci digital ini boleh dikongsi dengan lima peranti, menjadikan pengalaman pemilikan jentera ini lebih mudah.
BMW iX xDrive50 Sport dan BMW iX M60 mengekalkan ruang kabin mewahnya dengan memaparkan Interior Design Atelier sebagai standard dengan aksen Sensatec pada bahagian konsol sentral dan tempat letak tangan, serta sistem bunyi keliling Harman Kardon yang dilengkapi dengan 18 pembesar suara, penyandar kepala serba inovatif, dan pembesar suara di paras lumbar.
BMW Live Cockpit Professional mengekalkan skrin paparan 12.3 inci serta skrin paparan sentral 14.9 inci yang disambungkan dengan set kerusi multifungsi, pengecasan tanpa wayar, dan penyaman udara automatik 4 zon.
BMW iDrive, kini dimuatkan dengan BMW Operating System 8.5, memberikan maklumat yang tepat untuk keselesaan tambahan pemandu.
Pilihan Warna
Pilihan warna standard bagi BMW iX xDrive50 Sport dan BMW iX M60 termasuk:
- Alpine White
- Mineral White Metallic
- Black Sapphire Metallic
- Sophisto Grey Metallic dengan Brilliant Effect
- Phytonic Blue Metallic
- Oxide Grey Metallic
- Blue Ridge Mountain Metallic
Dengan caj tambahan sebanyak RM6,200, pelanggan juga diberi pilihan antara warna Aventurine Red Metallic dan Individual Storm Bay Metallic.
Penawaran warna untuk upholstery interior termasuk Interior Design Atelier dalam warna Mocha atau Black, manakala dengan caj tambahan sebanyak RM17,300, Interior Design Suite sedia untuk dipilih dalam warna Amido atau Castanea.
Pengalaman Pemilikan Premium
Pemilik BMW iX xDrive50 Sport dan BMW iX M60 akan menikmati Pengalaman Pemilikan Premium yang dijanjikan oleh BMW Group Malaysia, termasuk:
- Waranti Tanpa Had Perbatuan selama 5 Tahun oleh BMW serta Program Servis Berjadual Percuma
- Waranti Bateri BMW selama 8 Tahun atau 160,000 km (mana-mana yang dicapai lebih dahulu)
- Bantuan Tepi Jalan dan Talian Kemalangan oleh BMW
- Servis Dalam Talian BMW
Harga runcit (tanpa insurans) bagi BMW iX xDrive50 Sport dan BMW iX M60, termasuk Waranti Lanjutan dan Pakej Servis BMW adalah:
- BMW iX xDrive50 Sport: RM 465,800.00
- BMW iX M60: RM 579,800.00
Pakej Inklusif Servis & Pembaikan BMW, yang mencakup Waranti Lanjutan 5 Tahun dan Pakej Servis, ditawarkan dengan harga RM 33,200.00.
Untuk maklumat lanjut, KLIK SINI.
Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.
I enjoy writing and eating at the same time. I sit at my work desk for hours every day. Oh! I like cafe hopping, though I don't drink coffee. I'm, uh.. indecisive. I see eight sides of everything. Currently leading Bahasa desk for The Rakyat Post as the Head Writer.