Now Reading
Peniaga Martabak ‘Kain Buruk’ Dikenakan Kompaun – KKM

Peniaga Martabak ‘Kain Buruk’ Dikenakan Kompaun – KKM

Hasil siasatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mendapati kecuaian peniaga dalam mengendalikan makanan telah menyebabkan cebisan kain lap berada dalam martabak.

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!


Sebelum ini, seorang pengunjung bazar Ramadan Yuhaiza Hamid menerusi hantaran di laman Facebook Yuhaiza Hamid telah meluahkan kekecewaannya selepas mendapati terdapat kain buruk dalam juadah martabak yang dibeli olehnya.

Tambah wanita itu lagi, dia hanya menyedari kewujudan kain lap tersebut selepas dia sukar memotong martabak berkenaan.

Difahamkan, martabak itu dibeli di sebuah gerai di bazar Desa Pandan, Kuala Lumpur.

Baca Artikel Berkaitan: [Video] “Kembang Tekak” – Wanita Terkejut Jumpa Kain Buruk Dalam Martabak


Gerai Martabak Cuai Mengendali Makanan

Terkini, gerai yang menjual martabak mengandungi potongan kain itu telah dikompaun oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

KKM dalam satu kenyataan hari ini (27 Mac) berkata, tindakan kompaun itu diambil kerana kecuaian pengendalian makanan. Siasatan yang dijalankan oleh Program Keselamatan dan Kualiti Makanan (PKKM) mendapati kecuaian berkenaan telah menyebabkan kewujudan cebisan kain pengelap dalam martabak tersebut.

Gambar sekadar hiasan. Bazar Desa Pandan.

Peniaga Martabak Lakukan Banyak Kesalahan Lain

Bukan itu sahaja, KKM juga telah mengenal pasti beberapa kesalahan lain yang dilakukan oleh peniaga termasuklah iaitu:

  • Tidak membuat pengasingan untuk bahan mentah dan makanan yang telah dimasak.
  • Menggunakan kain pengelap tidak bersih.
  • Pengendali makanan tidak memakai pakaian pelindung diri dengan sempurna.

Justeru, tindakan penguatkuasaan telah diambil oleh pihak KKM terhadap gerai tersebut dengan mengeluarkan satu notis kompaun di bawah Peraturan 32 (1)(b) Peraturan-peraturan Kebersihan Makanan 2009.


Peniaga Boleh Didenda RM100,000 Atau Penjara 10 Tahun

Sementara itu, KKM turut memaklumkan bahawa pihaknya sentiasa menjalankan pemantauan dan pemeriksaan bazar Ramadan di seluruh negara. Setakat ini, sebanyak 10,570 premis telah diperiksa.

Tegas KKM, mana-mana peniaga yang tidak mematuhi peraturan di bawah Akta Makanan 1983 boleh dikenakan denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak melebihi 10 tahun atau kedua-duanya sekali.


Premis Perlu Tingkatkan Tahap Kebersihan Makanan

KKM dalam masa sama mengingatkan semua peniaga premis termasuk di bazar Ramadan untuk mempertingkatkan tahap kebersihan dan keselamatan makanan bagi mengelakkan sebarang pencemaran silang dan kehadiran bendasing.

Tambah kenyataan itu lagi, cuaca panas yang sedang melanda negara ketika ini juga boleh menyebabkan pembiakan bakteria lebih pantas dan menyebabkan makanan cepat basi daripada kebiasaannya.

Orang ramai dinasihatkan untuk mengutamakan keselamatan makanan sepanjang Ramadan ini dalam memilih apa sahaja juadah berbuka, sebelum membeli perhati dan pilih serta amalkan Lihat Hidu Rasa kerana ia langkah paling mudah untuk mengelakkan keracunan makanan.

KKM.

Buat Aduan Jika Makanan Dibeli Tercemar Atau Rosak

Untuk makluman semua, anda boleh salurkan aduan kepada pihak berkuasa iaitu Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) sekiranya makanan yang dibeli di mana-mana premis tidak berkualiti, tercemar atau rosak.

  • Membuat aduan di Pejabat BKKM atau Pejabat Kesihatan Daerah yang berdekatan.
  • Hubungi talian BKKM atau MyGCC: 03-8885 0797 atau 03-8000 8000.
  • Facebook BKKMHQ.
  • Aduan menerusi surat kepada Pejabat BKKM, Jabatan Kesihatan Negeri atau Pejabat Kesihatan Daerah yang berdekatan.

Baca Artikel Berkaitan: Pelanggan Kecewa, Beli Pulut Panggang Tapi Keras Macam Kayu Api [Video]

Baca Artikel Berkaitan: Netizen Dakwa Mahu Boikot Bazar Ramadan, Pertikai Harga Makin Mahal & Tak Jaga Kualiti


Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram

Get more stories like this to your inbox by signing up for our newsletter.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd