Now Reading
Belasungkawa Profil Allahyarham Tun Taib Mahmud, Bapa Pemodenan Sarawak

Belasungkawa Profil Allahyarham Tun Taib Mahmud, Bapa Pemodenan Sarawak

Arwah Taib Mahmud sebelum ini meletakkan jawatan sebagai Yang di-Pertua Negeri Sarawak yang ke-7 atas faktor kesihatan.

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!


Hari ini (21 Februari), rakyat Sarawak kehilangan bekas Yang di-Pertua Negeri Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud.

Taib Mahmud meninggal dunia sekitar jam 4.40 pagi tadi di hospital Cardiac Vascular Sentral Kuala Lumpur pada usia 87 tahun.

Berita duka pemergian Ketua Menteri yang paling lama berkhidmat di negeri tersebut disahkan sendiri oleh anak bongsu beliau, Datuk Hanifah Hajar Taib di laman Facebook.

Susulan itu, kerajaan Sarawak mengishtiharkan hari berkabung selama dua hari pada 21 dan 22 Februari.

Terdahulu, Taib Mahmud dipercayai mengalami jangkitan otak di bahagian kepala yang berisiko mengundang maut.

Baca Artikel Berkaitan: Taib Mahmud Dies, To Be Laid To Rest In Demak Jaya


Profil Taib Mahmud

Taib Mahmud dilahirkan dalam kalangan golongan bangsawan pada 21 Mei 1936 di bandar Miri, Sarawak.

Beliau merupakan ahli politik Malaysia yang sudah berkhidmat sebagai Yang di-Pertua Negeri Sarawak yang ke-7 sejak tahun 2014 sehinggalah 20 Januari 2024.

Bagaimanapun, beliau telah meletakkan jawatan berkenaan atas faktor kesihatan yang semakin merosot. Susulan itu, bekas presiden Dewan Negara, Tan Sri Wan Junaidi Tuanku Jaafar telah mengambil alih jawatan beliau selaku Gabenor Sarawak ke-8.

Sumber: Era Sarawak

Taib Mahmud juga adalah Ketua Menteri Sarawak ke-4 selama 33 tahun bermula 16 Mac 1981. Malah beliau juga merupakan bekas presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB).

Beliau juga dikenali sebagai antara tokoh terpenting dan menerima gelaran sebagai bapa pemodenan Sarawak.


Matang Hadapi Cabaran Politik

Pada 1963, beliau dilantik sebagai Menteri Komunikasi dan Kerja Raya Sarawak dalam Kabinet Negeri pertama yang diterajui Ketua Menteri ketika itu Tan Sri Stephen Kalong Ningkan.

Ekoran pelantikan tersebut, beliau melakar sejarah dalam dunia politik Sarawak sebagai tokoh termuda yang mengangkat sumpah sebagai seorang Menteri.

Sumber: Borneo Post Online

Walaupun baru sahaja berusia 27 tahun pada ketika itu, Allahyarham telah menunjukkan sikap kesediaan serta kematangan dalam menghadapi cabaran apabila negeri kelahiran tercinta berdepan ancaman komunis daripada negara jiran Indonesia.


Sejarah Pendidikan Taib Mahmud

Bagi pendidikan awal, Taib Mahmud menyertai Sekolah St. Joseph di Miri sebelum melanjutkan pelajaran di Sekolah Menengah Kebangsaan St. Joseph, Kuching.

Allahyarham kemudian menerima biasiswa (New Colombo Plan Scholarship) untuk melanjutkan pengajian dalam bidang undang-undang di University of Adelaide, Australia sebelum kembali semula ke tanah air.


Bawa Banyak Perubahan Di Sarawak

Sepanjang tempoh bertugas, Taib Mahmud amat disenangi oleh rakyat Sarawak yang juga dikenali sebagai negeri ‘Bumi Kenyalang’ kerana telah membawa pelbagai perubahan dalam memajukan kehidupan masyarakat pelbagai kaum dan agama di sana.

Ketika berkecimpung dalam bidang kepimpinan selain bergelar Ketua Menteri Sarawak, Taib Mahmud sentiasa menekankan satu perkara iaitu politik pembangunan berpaksikan kesaksamaan. 

Hal ini bagi menghapuskan taraf sosial di negeri itu yang menyebabkan ketidakseimbangan dalam kalangan masyarakat.

Sumber: Ministry of Communications.

Bagi merapatkan jurang ketidaksamaan pula, Taib Mahmud amat menekankan pembangunan pendidikan iaitu dengan membawa masuk kampus universiti-universiti Barat dan Australia ke Sarawak.

“Kerajaan pimpinan saya ini mempunyai tanggungjawab untuk memerangi sebarang isu berbentuk perkauman kerana ia seakan barah yang mampu menyerap tenaga kita,” kata beliau ketika berucap di Dewan Undangan Negeri (DUN) pada tahun 1991. 


Kadar Kemiskinan Rakyat Sarawak Menurun

Bukan sahaja dari segi politik, kepimpinan hebat Taib Mahmud telah membawa kepada perubahan drastik dalam aspek ekonomi dan kebudayaan.

Hasil daripada visi beliau yang berkonsepkan pembangunan dan kemakmuran Sarawak, kadar kemiskinan rakyat telah berjaya dikurangkan daripada kadar 70% kepada satu digit sahaja. 

Menggunakan pengalaman sebagai Menteri Persekutuan selama 13 tahun, beliau telah berjaya menjalinkan hubungan baik dengan Kerajaan Pusat sehingga meraih sokongan dan tenaga bagi membangunkan infrastruktur di negeri tersebut.

Boleh disimpulkan bahawa polisi pembangunan bekas Ketua Menteri tersebut telah menjadi asbab kepada proses pembangunan masyarakat tempatan dan ekonomi Sarawak ketika ini serta tahun-tahun mendatang.

Baca Artikel Berkaitan: Siapa Sebenarnya Raghad Kurdi, Isteri Kedua Bekas Gabenor Sarawak Taib Mahmud Ini?


Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram

Get more stories like this to your inbox by signing up for our newsletter.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd