Now Reading
Penjawat Awam Dilantik Secara Kontrak Bermula 1 Februari

Penjawat Awam Dilantik Secara Kontrak Bermula 1 Februari

Inisiatif kaedah lantikan penjawat awam secara kontrak itu diperkenalkan bagi mengukuhkan lagi sistem persaraan perkhidmatan awam di Malaysia.

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!


Hari ini (23 Januari), kerajaan mengumumkan pelaksanaan pengambilan penjawat awam secara lantikan kontrak bermula 1 Februari akan datang.

Difahamkan, inisiatif kaedah lantikan baharu itu diperkenalkan bagi mengukuhkan lagi sistem persaraan perkhidmatan awam di Malaysia.

Inisiatif pelantikan baharu yang berada dalam fasa pindaan kepada undang-undang berkaitan itu dilihat mampu mengurangkan tanggungan fiskal negara dalam tempoh jangka masa panjang.

Pelaksanaan itu telah dimaklumkan oleh Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Datuk Seri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz menerusi satu pekeliling.


Tangani Isu Peningkatan Tanggungan Pencen

Berbicara tentang langkah baru itu, Wan Ahmad Dahlan berkata inisiatif tersebut adalah selaras dengan komitmen negara bagi menangani isu peningkatan tanggungan pencen.

Kerajaan melalui mesyuarat Jemaah Menteri pada 12 Julai 2023, memutuskan supaya suatu kaedah baharu bagi lantikan tetap pegawai awam diperkenalkan. Jemaah Menteri juga bersetuju supaya dalam tempoh peralihan (interim) sebelum penguatkuasaan kaedah tersebut, pengambilan pegawai awam ke perjawatan tetap akan dilaksanakan secara lantikan kontrak (COS) berkuat kuasa mulai tahun 2024.

Wan Ahmad Dahlan.

Pelaksanaan Kontrak Ikut Peraturan & Pekeliling Perkhidmatan

Dalam pada itu, Wan Ahmad Dahlan turut menegaskan bahawa pelaksanaan pengambilan secara kontrak itu adalah mengikut peraturan, pekeliling perkhidmatan serta kaedah semasa yang sedang berkuat kuasa iaitu MyPPSM Ceraian UP.1.1.1 Prosedur dan Dasar Pelantikan Secara Kontrak (Contract of Service).

“Dalam hal ini, lantikan kontrak (COS) yang dimaksudkan adalah lantikan kontrak Objek Sebagai (OS) 11000,” tambahnya lagi.

Sementara itu, beliau mengingatkan Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) selaku Pihak Berkuasa Melantik (PBM) untuk sentiasa mematuhi dan melaksanakan ketetapan berikut mengikut peraturan yang sudah dikuat kuasa.

Gambar sekadar hiasan. Sumber: Half The Sky

Tanggungan Pencen Pesara Semakin Meningkat

Terdahulu, kerajaan memaklumkan bahawa mereka akan kekal komited meneruskan pencen pesara walaupun berdepan tanggungan perbelanjaan mengurus (OE) yang kian meningkat.

Timbalan Menteri Kewangan I Datuk Seri Ahmad Maslan berkata dianggarkan 32,000 pesara baharu dicatatkan setiap tahun dan kerajaan membelanjakan RM31 bilion bagi membayar pencen lebih 900,000 pesara.

Daripada jumlah itu, 768,947 pesara termasuk penerima pencen terbitan di bawah Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan (KWAP).

Baca Artikel Berkaitan: Kos Sara Hidup Naik, CUEPACS Minta Naikkan Gaji Penjawat Awam RM300


Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram

Get more stories like this to your inbox by signing up for our newsletter.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd