Now Reading
BERNAS Beri Makanan Seimbang & Bernutrisi Secara Percuma Buat Murid B40

BERNAS Beri Makanan Seimbang & Bernutrisi Secara Percuma Buat Murid B40

Makanan bernilai RM6 itu akan diberikan secara percuma sepanjang sesi persekolahan berjalan.

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!


Pemakanan yang seimbang dan bernutrisi tinggi amatlah penting untuk tumbesaran anak-anak sejak usia muda.

Namun begitu, ramai juga di kalangan anak murid terutamanya mereka dari golongan keluarga berpendapatan rendah tidak berpeluang untuk mendapatkan makanan seimbang dan bernutrisi tinggi akibat kos sara hidup yang tinggi.

Baca Artikel Berkaitan: Kos Sara Hidup Tinggi Antara Punca Ibu Bapa Pilih Makanan Murah & Tidak Bernutrisi Sebabkan Tumbesaran Terbantut


BERNAS Sediakan Makanan Bernutrisi Untuk Murid Dari Keluarga Berpendapatan Rendah

Bagi menangani masalah tersebut, syarikat industri beras dan padi tempatan, Padi­beras Nasional Berhad (BERNAS) telah memulakan inisiatif Program Makanan Kesihatan (PROMAK) bagi membantu golongan tersebut.

Difahamkan program itu merupakan inisiatif sosial BERNAS kepada murid-murid sekolah rendah yang berada dalam kumpulan B40.

Pihak berkepentingan, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dengan kerjasama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) turut menyokong gerakan tersebut dengan menyediakan makanan tengah hari yang berkhasiat.

Makanan bernilai RM6 itu akan diberikan secara percuma sepanjang sesi persekolahan berjalan.


Murid Sekolah Alami Masalah Malnutrisi

Menurut Pengerusi BERNAS Datuk Seri Rohani Abdul Karim, PROMAK pada masa kini tertumpu kepada murid sekolah rendah yang kurang berkemampuan yang tinggal di luar bandar.

Jelasnya, inisiatif berkenaan dijalankan kerana pihak mereka menyedari ramai golongan murid sekolah mengalami masalah kekurangan makanan berkhasiat atau malnutrisi sehingga ia menjejaskan perkembangan fizikal serta mental.

“Sejak PROMAK diperkenalkan, guru-guru mendapati kehadiran murid-murid di sekolah semakin meningkat.

“Malah, mereka juga semakin aktif dan fokus ketika menjalani latihan sukan selepas waktu kelas,” katanya.

Sumber: Kosmo

Program PROMAK Beri Manfaat Kepada 93 Buah Sekolah Kebangsaan

Sejak ia dilancarkan pada 9 Januari 2022, program tersebut telah memberi kemudahan serta memanfaatkan hampir 20,000 murid daripada 93 buah sekolah rendah luar bandar yang terletak di Perlis, Kedah, Kelantang dan Terengganu.

Dalam pada itu, Rohani berkata BERNAS turut menjalankan kajian ke atas 45 buah sekolah rendah terpilih di Kedah dari Julai 2022 hingga Ja­nuari 2023 terhadap prestasi kehadiran murid.

Menerusi kajian tersebut, kehadiran murid dikatakan telah meningkat sebanyak 5% iaitu daripada 84% kepada 89% sejak PROMAK diperkenalkan.


PROMAK Beri Impak Kepada Tahap Kecergasan Murid

Tambah Rohani, hasil tinjauan dan maklum balas turut mendapati PROMAK di Kedah berjaya meningkatkan penyertaan murid dalam aktiviti luar kelas selain memberi impak positif kepada tahap kecergasan mereka.

Malah, ia juga meningkatkan fokus para murid ketika sesi latihan dan pertandingan dijalankan.

“Biasanya murid-murid yang tidak berkemampuan akan pulang ke rumah dan tidak lagi kembali semula ke sekolah untuk menyertai aktiviti luar kelas atau sukan akibat ketiadaan wang untuk membeli makanan.

“Dengan adanya hidangan PROMAK yang disediakan setiap hari waktu persekolahan, ia membolehkan mereka untuk menyertai aktiviti luar kelas,” ujarnya.

Sumber: Kosmo

Sekolah Terpilih Perlu Ikut Garis Panduan Penyediaan Makanan Oleh KKM

Sehingga September 2023, lebih empat juta hidangan di bawah PROMAK yang disediakan mengandungi nutrisi berkhasiat berdasarkan menu dirancang oleh Bahagian Pemakanan KKM.

Mengulas lanjut, setiap pengendali kantin sekolah terpilih untuk PROMAK juga diwajibkan mengikuti garis panduan penye­diaan makanan yang ditetapkan oleh pihak KKM.


BERNAS Anjur Program Tingkatkan Kesedaran Tentang Kepentingan Nutrisi

Berbicara tentang kepentingan makanan berkhasiat sejak usia muda, BERNAS telah menganjurkan program PROMAK Riang Ria Nutri berlokasi di Universiti Antarabangsa Albukhary, Alor Setar, Kedah pada 24 Oktober 2023.

Untuk makluman, seramai 500 orang murid dari 24 buah sekolah terlibat dalam program yang turut dirasmikan oleh Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek.

Dengan menampilkan elemen didik hibur dalam aspek pengajaran dan pembelajaran (PdP) interaktif, ia memberi pendedahan awal kepada para murid tentang kepentingan pengambilan nutrisi serta pemakanan yang seimbang.

Sumber: Kosmo

Seorang peserta murid darjah enam dikenali sebagai Nur Qhaseh Qhaliesya Mohamad dari Sekolah Kebangsaan Pida, Kubang Pasu, Kedah berkata dia mempelajari banyak perkara tentang makanan sihat melalui PROMAK.

Rupanya makanan berkhasiat bukan sahaja sayur, ayam, daging tetapi nasi pun adalah makanan berkhasiat.

Peserta PROMAK.

Menurut salah seorang peserta PROMAK, makanan yang disediakan bukan sahaja lazat malah inisiatif itu membolehkan mereka menyimpan duit poket sekolah untuk barang keperluan lain.

Baca Artikel Berkaitan: 1 Dari 5 Kanak-Kanak Alami Masalah Bantut, Selangor Paling Tinggi

Baca Artikel Berkaitan: “Kawal Pemakanan Masa Raya!” – Pesakit Diabetes Paling Banyak Terima Rawatan Ketika Aidilfitri


Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram

Get more stories like this to your inbox by signing up for our newsletter.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd