Now Reading
“Itu Bukan Jong Melayu” – Sejarawan Perancis Dakwa UPM Keluarkan Fakta Salah Tentang Fakta Pelayaran Melayu

“Itu Bukan Jong Melayu” – Sejarawan Perancis Dakwa UPM Keluarkan Fakta Salah Tentang Fakta Pelayaran Melayu

Sejarawan Perancis dikenali sebagai Serge Jardin mendakwa dua ahli akademik dari Universiti Putra Malaysia (UPM) memaparkan fakta salah mengenai sejarah pelayaran Melayu dengan menunjukkan imej model kapal yang salah.

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!


Baru-baru ini, seorang sejarawan Perancis dikenali sebagai Serge Jardin menerusi hantaran di akaun Facebook miliknya telah mendakwa dua ahli akademik dari Universiti Putra Malaysia (UPM) memaparkan fakta salah mengenai sejarah maritim Melayu dalam satu jurnal akademik.

Dia dalam masa sama turut mempersoalkan kredibiliti jurnal akademik di mana tempat ia diterbitkan. Dua ahli akademik yang didakwa ialah Dr Rozita Che Rodi dan Dr Hashim Musa iaitu penulis kertas bertajuk ‘The Jongs and The Galleys: Traditional Ships of The Past Malay Maritime Civilization’.

Difahamkan, kertas sejarah itu diterbitkan dalam International Journal of Academic Research in Business and Social Sciences, Jilid 13, Isu 11, 2023.


Dakwa Foto Yang Digunakan Bukan Jong Melayu Tapi Kapal Kargo Dari China

Jardin mendakwa imej yang digunakan dalam kertas mereka untuk menunjukkan model kapal Jong Melayu sebenarnya adalah Kapal Kargo Foochow Pole (sejenis kapal kargo) dari China.

Untuk makluman semua, Jong Melayu ialah sebuah kapal layar berasal dari Jawa, Indonesia yang digunakan secara meluas oleh pelaut Jawa, Sunda dan kemudian oleh pelaut Pegu serta Melayu.

Sumber: Facebook Serge Jardin

Serge Jardin Sifatkan Fakta Salah Memalukan Ahli Akademik

Sejarawan itu menyifatkan kesalahan tersebut adalah perkara yang memalukan buat mereka yang bergelar ahli akademik.

“Ini memalukan nama ahli akademik! Malu, malu, malu, malu!” katanya.

Dalam pada itu, Jardin turut menyenaraikan dua fakta lain dalam jurnal yang didakwa adalah tidak tepat.

Mengenai Jong. Foto itu tidak menunjukkan Jong Melayu tetapi Kapal Kargo Foochow Pole dari China. Model itu tidak berada di Muzium Maritim Jakarta tetapi di Royal Museums of Greenwich (RWG), England (ID: AAE0200). Dalam muzium, semua pameran mempunyai nombor pengenalan. Manakala Galley, dalam Malay Concordance Project, galley tidak disebut dua kali dalam Sejarah Melayu (Pengarang: A Samad Ahmad), tetapi enam kali! Semuanya berkaitan dengan kedatangan Portugis di Melaka (disahkan oleh sumber Portugis), bukan dalam ‘armada Melaka’. Galley tidak pernah digunakan oleh pelaut tempatan semasa zaman Kesultanan Melaka. Kebanyakan tentera laut Asia Tenggara (lelaki) mula menggunakan galley dalam armada mereka selepas kedatangan Portugis-Ottoman ke Asia Tenggara. Galley, Mendam Berahi, dalam Hikayat Hang Tuah (abad ke-17) adalah anakronisme (kesalahan kronologi).

Serge Jardin.

Di akhir perkongsian itu, Jardin turut mempersoalkan sama ada tempat jurnal tersebut diterbitkan boleh dipercayai atau tidak dan adakah ia melalui proses semakan bersama ahli akademik yang lain.


Ahli Analisis Politik Setuju Dengan Pandangan Jardin

Untuk info, Jardin telah menulis beberapa buah buku termasuklah ‘Rêver Malacca’, satu jemputan untuk menemui Melaka melalui mata pelancong dan ‘Malaisie, uncertain regard’, sebuah kerjasama dengan Sylvie Gradeler mengenai Malaysia seperti yang dilihat melalui seni, kerajinan, serta sastera.

Hantaran tentang dakwaan fakta salah oleh ahli akademik UPM itu turut dikongsi oleh ahli analisis politik, Profesor James Chin dari Asia Institute University of Tasmania di media sosial.

Mempunyai pandangan sama, Chin berkata beliau amat terkejut dengan pendedahan tersebut dan menjelaskan bahawa seseorang boleh dengan mudah menyemak fakta yang didakwa palsu dalam kertas berkenaan.

“Dua ahli akademik menerbitkan jurnal akademik palsu yang mendakwa Kapal China berasal dari Melayu adalah dari universiti penyelidikan terbaik Malaysia (UPM). Saya benar-benar terkejut kerana anda boleh menyemak fakta dengan begitu mudah,” kata beliau di laman X.

Dia juga meminta orang ramai untuk menularkan hantaran itu untuk melihat sama ada pihak UPM akan mengambil tindakan atau sebaliknya.


Penulis Malaysia Anggap Ia Jurnal Palsu

Seorang penulis Malaysia, Preeta Samarasan turut berkongsi pendapat yang sama seperti Jardin.

“Ini tidak dapat dipercayai. Saya faham tentang keberanian penulis menulis semula sejarah kita, tetapi untuk buku teks tempatan kita adalah satu perkara dan menulis semula untuk jurnal akademik antarabangsa yang sepatutnya diteliti semula oleh rakan sejawat adalah perkara yang berbeza,” jelasnya.

Preeta dalam masa sama berkata ia bukan satu jurnal sebenar dan hanyalah palsu.

“Hakikat menyiarkan artikel mengarut dalam jurnal ‘tepi jalan’ yang boleh dianggap sebagai rekod penerbitan bagi ahli akademik Melayu (Malaysia) adalah masalah besar,” tambahnya lagi.

Ahli akademik tampil beri penjelasan

Namun menerusi ruangan komen, salah seorang individu dipercayai ahli akademik berkenaan iaitu Rozita Che Rodi tampil memberi penjelasan tentang beberapa dakwaan berkenaan.

Menurut Rozita, Jong yang dimaksudkan sejarawan Perancis itu bagaimanapun bukanlah foto yang diambil dari Royal Museums of Greenwich, sebaliknya dari Muzium Maritim Jakarta.

Malah beliau mendakwa, pihaknya telah membuat kunjungan ke muzium di Jakarta malah melihat sendiri model yang dipamerkan. Beliau bagaimanapun tidak menyangkal kewujudan model sama di muzium yang lain.

Rozita turut menjelaskan beberapa lagi dakwaan Jardin antaranya membabitkan jumlah kapal Galley dipetik di dalam artikel iaitu 98 kali dan bukan dua kali seperti yang didakwanya.

Dalam pada itu, ahli akademik berkenaan turut memaklumkan beliau bukanlah sekadar pakar pengkhukusan Bahasa Melayu sebaliknya turut mempunyai latar belakang dalam nilai budaya dan falsafah Melayu.

Malah beliau turut mendalami kitab Bustanul Salatin sewaktu menyambung pengajian peringkat PHD di SOAS University Of London.

“Hashim Musa (pula) ialah Profesor Emeritus yang dalam sejarah tamadun Melayu khususnya manuskrip jawi Melayu, kesusasteraan tradisional Melayu serta bahasa Melayu.”

Setakat hari ini (22 Januari) jam 6 petang, pihak UPM secara rasmi masih belum memberikan maklum balas dan penjelasan mereka tentang dakwaan fakta salah yang tular.


Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram

Get more stories like this to your inbox by signing up for our newsletter.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd