Now Reading
Golongan Muda Sukar Untuk Menabung – Kajian

Golongan Muda Sukar Untuk Menabung – Kajian

Golongan ini menghadapi cabaran yang membataskan kemampuan menabung dan melabur demi masa depan ini termasuklah kenaikan gaji rendah, peningkatan kos sara hidup, perubahan dalam landskap pekerjaan dan celik kewangan yang terhad.

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!


Prudential Malaysia Assurance Berhad (PAMB) menerbitkan laporan bertajuk “Melakar Masa Depan Yang Gemilang – Mencari Jaminan Kewangan Masa Depan: Cabaran dihadapi golongan muda Malaysia” ditulis oleh Economist Impact, yang mengkaji bagaimana rakyat Malaysia daripada pelbagai kumpulan umur menabung untuk masa depan dan cabaran yang dihadapi oleh golongan muda di  Malaysia untuk lebih berdaya tahan dari segi kewangan.

Laporan menunjukkan bahawa golongan termuda Malaysia berumur di antara 25 hingga 34 tahun lebih bimbang tentang kewangan peribadi mereka. Terutamanya golongan dewasa muda yang berada di peringkat awal kerjaya.

Golongan Muda Alami Kesukaran Untuk Bina Daya Tahan Kewangan

Untuk makluman, mereka menghadapi cabaran yang membataskan kemampuan menabung dan melabur demi masa depan ini termasuklah kenaikan gaji rendah, peningkatan kos sara hidup, perubahan dalam landskap pekerjaan dan celik kewangan yang terhad.

Lim Eng Seong selaku Ketua Pegawai Eksekutif PAMB berkata, “Tahun ini Prudential meraikan ulangtahun ke 100 di Malaysia. Oleh itu, laporan ini membuka peluang kepada kami untuk terus memenuhi keperluan generasi Malaysia yang akan datang terutamanya apabila mereka melangkah ke alam dewasa.

“Walaupun negara ini telah melalui banyak perubahan dalam beberapa dekad ini, satu isu masih berterusan. Rakyat Malaysia, terutamanya golongan dewasa muda, mengakui mempunyai tahap kepuasan yang rendah tentang kesediaan mereka  dalam membuat persiapan menghadapi masa depan. Ini adalah yang terendah di kalangan 13 pasaran yang terlibat dalam kaji selidik ini,” jelas beliau.

Dapatan di Malaysia ini adalah sebahagian daripada laporan untuk seluruh rantau oleh Economist Impact yang bertajuk, “Meneliti semula kesejahteraan di Asia: Bagaimana pandangan hidup berubah”.

Kaji selidik tersebut melibatkan 5,000 peserta di 13 pasaran Asia. 

Untuk laporan ini, Economist Impact telah menemu bual dua orang pakar iaitu Balqais Yusoff, Ketua Jabatan Dasar dan Strategi di Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) Malaysia dan Dr Norma Mansor, Presiden Persatuan Ekonomi Malaysia dan Pengarah Pusat Penyelidikan Kesejahteraan Sosial di Universiti Malaya.

“Golongan muda mendapati semakin sukar untuk menabung,” kata Balqais Yusoff.

Menurutnya, salah sebabnya ialah set kemahiran yang tidak sepadan, ketidaksejajaran antara kemahiran yang diperlukan dalam pasaran buruh dengan kemahiran dimiliki oleh individu dan juga cabaran struktur gaji yang memberi kesan terutamanya kepada tenaga kerja muda.

Gaji tidak berubah pada tahun-tahun kebelakangan ini bagi kebanyakan tenaga kerja termasuk golongan muda, menurut Norma Mansor.

“Tiada kenaikan gaji mendorong ramai golongan muda, terutama mereka yang berpendidikan tinggi untuk berhijrah ke luar negara di mana peluang pendapatan adalah lebih besar,” jelas Norma.


Membina Dana Persaraan

Apabila penduduk Malaysia mula menua, jaminan kewangan semasa persaraan menjadi satu faktor yang membimbangkan. Kurang daripada 48% rakyat Malaysia mengakui berpuas hati dengan kesejahteraan kewangan mereka, yang kedua terendah dalam kalangan negara ASEAN.

Walaupun lebih daripada separuh (57%) yakin mempunyai simpanan mencukupi untuk menanggung kehidupan sehingga umur 80 tahun ke atas, namun ini adalah angka terendah yang dicatatkan dalam mana-mana negara yang terlibat dalam kaji selidik.

Kaji selidik ini mendapati bahawa rakyat Malaysia yang lebih muda berkemungkinan untuk melakukan beberapa pekerjaan bagi menampung kehidupan dengan 38% dalam kumpulan umur 25 – 34 tahun menyatakan mereka bekerja lebih daripada satu pekerjaan berbanding dengan 26%  dalam kumpulan umur di antara 35 hingga 44 tahun.

Dari segi simpanan, laporan ini mendapati bahawa hanya 25% dari kumpulan umur 25 – 34 tahun menyumbang kepada dana persaraan seperti KWSP, manakala 40% daripada rakyat Malaysia dalam kumpulan umur 45 – 55 tahun menyumbang kepada dana persaraan. 

(Credit: tirachardz via Freepik)

Implikasi Kepada Masa Depan Malaysia

Penyelidikan ini menunjukkan bahawa lebih banyak perlu dilakukan bagi meningkatkan celik kewangan dalam kalangan golongan muda di Malaysia. Ini termasuklah memupuk lebih kesedaran tentang instrumen kewangan lebih berisiko.

Selain itu, lebih banyak komunikasi diperlukan tentang manfaat melindungi pendapatan dan kesihatan yang akan menjamin kestabilan dalam kehidupan pada kemudian hari.

“Ini akan membantu menangani isu-isu dihadapi oleh golongan muda Malaysia berkaitan kestabilan kewangan masa depan mereka. Pemerkasaan kewangan perlu bermula dari usia muda, ini termasuklah pembelajaran berterusan yang berkembang seiring dengan pertumbuhan dan peringkat dalam kehidupan individu,” menurut Lim Eng Seong.

“Bagi PAMB, program tanggungjawab korporat kami seiring dengan matlamat ini. Program pendidikan kewangan kami seperti Cha-Ching, Duit Right dan Pendidikan Kewangan Dewasa (AFE) memenuhi keperluan peringkat umur berbeza daripada umur semuda tujuh tahun  hingga ke usia dewasa.

“Kami juga menawarkan perlindungan PRUKasih Aman, penyelesaian mikroinsurans bagi komuniti berpendapatan rendah yang membantu mereka mencapai manfaat kewangan dan perlindungan insurans,” kata Lim Eng Seong.

Untuk maklumat lanjut tentang laporan ‘Melakar Masa Depan Yang Gemilang – Mencari Jaminan Kewangan Masa Depan: Cabaran dihadapi golongan muda Malaysia’, anda boleh KLIK SINI.

Maklumat lanjut tentang laporan seluruh rantau pula boleh didapati DI SINI.


Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: FacebookTwitter, Threads dan Instagram.

Get more stories like this to your inbox by signing up for our newsletter.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd