Now Reading
KDN Sita 3,254 Jam Dinding Digital Dengan Fungsi Azan, Didapati Ada Masalah Teknikal Bacaan Audio Al-Quran

KDN Sita 3,254 Jam Dinding Digital Dengan Fungsi Azan, Didapati Ada Masalah Teknikal Bacaan Audio Al-Quran

Empat orang lelaki warga tempatan ditahan selepas dipercayai memasarkan barangan tersebut menerusi platform e-dagang tanpa kelulusan pihak Kementerian Dalam Negeri (KDN).

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!


Bahagian Penguatkuasaan dan Kawalan, Kementerian Dalam Negeri (KDN) menyita sebanyak 3,254 unit jam dinding digital yang dianggarkan bernilai RM1.1 juta.

Jam yang dijual tanpa kelulusan itu mengandungi audio 30 juzuk al-Quran dengan fungsi azan.

Menurut Setiausaha Bahagian Penguatkuasaan dan Kawalan KDN, Nik Yusaimi Yussof, jam terbabit dirampas menerusi satu serbuan yang dilakukan di empat premis sekitar Lembah Klang pada bulan lepas (Disember 2023).

Premis berkenaan juga disyaki merupakan pengedar jam dinding digital tersebut.

Mengulas lanjut, empat lelaki warga tempatan lingkungan umur 30-an hingga 40-an yang ditahan dalam serbuan itu dipercayai memasarkan barangan tersebut melalui platform e-dagang. Difahamkan, kesemua barangan yang dirampas telah diimport dari China dan dijual dengan harga pasaran bermula RM350 seunit.

Jam digital terbabit disita kerana ia menyalahi Seksyen 6(1) Akta Pencetakan Teks Al-Quran 1986 kerana tiada perakuan KDN.

Sumber: Facebook (KDN)

Ayat Al-Quran Pada Jam Digital Tidak Sempurna

Jam digital itu juga mengandungi masalah dari segi teknikal audio di mana segelintir ayat al-Quran dipasang adalah tidak tepat selain bercampur dengan laungan azan.

Semakan lanjut mendapati jam dinding digital yang dirampas mempunyai kesalahan teknikal audio bacaan al-Quran seperti bacaan berulang serta bacaan dan maksud tidak sempurna kerana bacaan bercampur aduk dengan laungan azan. Terjemahan al-Quran dalam bahasa lain yang didapati dalam jam digital itu juga tidak menepati penggunaan terjemahan di Malaysia iaitu berpandukan Tafsir Pimpinan Ar-Rahman.

Nik Yusaimi Yussof.
Sumber: Facebook (KDN)

Penerbitan Ayat Al-Quran Perlu Dapat Perakuan KDN

Tambah beliau, kes kini masih dalam siasatan dan jika disabit kesalahan, mereka boleh dihukum penjara hingga lima tahun atau denda hingga RM50,000 atau kedua-duanya sekali.

Kata beliau, sebarang penerbitan al-Quran yang mengandungi satu juzuk atau lebih ayat al-Quran haruslah mendapatkan perakuan dari pihak KDN di mana ia akan melalui proses semakan bersama pakar sebelum boleh diedar atau dijual dalam negara.

“Kawalan ini perlu bagi menjamin kesucian ayat-ayat al-Quran yang betul untuk diamalkan oleh rakyat Malaysia serta mengelakkan ayat al-Quran dikelirukan sehingga menjadi ancaman kepada keselamatan dan ketenteraman awam.

“Mana-mana bahan yang mempunyai ayat al-Quran satu juzuk dan ke atas yang tidak mempunyai perakuan KDN seperti ini, lazimnya akan mempunyai kesalahan dan mengelirukan masyarakat melalui sebutan dan bacaan yang membawa maksud tidak tepat sebagaimana ayat itu diturunkan,” ujar beliau.

Sumber: Facebook (KDN)

Untuk makluman, sejumlah 952 pruf akhir teks al-Quran termasuk al-Quran elektronik dan digital yang diluluskan KDN bagi tujuan jualan dan edaran di Malaysia pada masa kini.

Dalam masa sama, KDN akan mengambil tindakan tegas terhadap pihak yang terlibat dalam aktiviti pengimportan, pengedaran dan penjualan al-Quran yang menyalahi akta tersebut.

Dalam pada itu, orang ramai yang mempunyai maklumat tentang kes berkaitan boleh menghubungi pihak mereka di talian aduan 03-80008000 atau hotline 88893145, atau e-mel aduanpk@moha.gov.my.


Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram

Get more stories like this to your inbox by signing up for our newsletter.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd