Now Reading
Suami Isteri ‘Songlap’ Duit Zakat RM9.62 Juta Dibebaskan Dengan Bon Mahkamah

Suami Isteri ‘Songlap’ Duit Zakat RM9.62 Juta Dibebaskan Dengan Bon Mahkamah

Pasangan berkenaan yang merupakan ejen kutipan zakat tiba di Mahkamah Majistret Ipoh sekitar jam 9:30 pagi hari ini (15 Januari) sebelum dibebaskan 20 minit kemudiannya.

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!


Terbaharu, pasangan suami isteri berusia 50 dan 53 tahun yang terlibat dalam kes penyelewengan wang kutipan zakat Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) berjumlah RM9.62 juta telah dibebaskan dengan jaminan bon mahkamah pada hari ini (15 Januari).

Memetik Berita Harian, Majistret Farah Nabihah Muhamad telah membenarkan permohonan pegawai penyiasat kes untuk membebaskan kedua-dua individu terbabit dengan jaminan bon RM50,000 seorang mengikut Seksyen 118 Kanun Tatacara Jenayah.

Melalui bon tersebut, penjamin dikehendaki membayar wang jaminan itu hanya jika suspek enggan bekerjasama dengan siasatan polis atau tidak menghadirkan diri di mahkamah.

Difahamkan wang jaminan suami isteri berkenaan telah dibayar oleh anak perempuan mereka dan menantu lelaki.

Pasangan berkenaan yang merupakan ejen kutipan zakat tiba di Mahkamah Majistret Ipoh sekitar jam 9:30 pagi sebelum dibebaskan 20 minit kemudiannya.


Siasatan Polis Masih Diteruskan Walaupun Dibebaskan Dengan Bon Mahkamah

Ketua Polis Perak Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, pihaknya masih meneruskan siasatan berhubung kes walaupun pasangan suami isteri itu dibebaskan dengan bon mahkamah.

Sumber: Sinar Harian

Tambahnya lagi, mereka tetap boleh dituduh di mahkamah selepas siasatan selesai dilakukan. Namun sehingga kini, tiada individu yang dipanggil oleh pihak polis untuk membantu siasatan.

Ya betul, pasangan suami isteri itu dibebaskan kerana polis masih perlu menyiasat dan mereka akan dituduh selepas siasatan selesai. Setakat ini tiada individu lain akan dipanggil bagi membantu siasatan kes ini.

Ketua Polis Perak Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri

Kes Penyelewengan Kutipan Wang Zakat Didedahkan Oleh Pengarah JSJK Bukit Aman

Jenayah penyelewengan yang dilakukan oleh suami isteri ini telah terbongkar pada 4 Januari lalu menerusi laporan polis dibuat oleh MAIPk sendiri kepada pihak polis Perak terhadap syarikat dikaitkan dengan pasangan terbabit.

Susulan itu, kedua-dua suspek telah ditahan oleh pihak polis di Kuala Lumpur pada 5 Januari sekitar jam 12:35 tengah hari.

Mereka kemudiannya direman selama tujuh hari bermula dari 6 hingga 12 Januari sebelum tempoh reman ditambah kepada tiga hari dan berakhir pada hari ini (15 Januari).

Kes disiasat mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan kerana jenayah pecah amanah selepas syarikat terbabit dipercayai gagal mendepositkan wang zakat bermula Mac hingga September 2023.

Baca Artikel Berkaitan: Polis Siasat Syarikat Ejen Pengutip Zakat Disyaki ‘Songlap’ Lebih RM9.7 Juta


Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.

Get more stories like this to your inbox by signing up for our newsletter.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd