Now Reading
Penduduk Kampung Kepis Ulu Gelisah Ketukan Misteri ‘Hantui’ Setiap Malam, Tiada Kesan Manusia

Penduduk Kampung Kepis Ulu Gelisah Ketukan Misteri ‘Hantui’ Setiap Malam, Tiada Kesan Manusia

Menurut salah seorang penduduk Kampung Kepis Ulu, Kuala Pilah, dia tidak nampak sebarang kelibat yang mengetuk pintu selepas meninjau ke luar melalui tingkap rumah.

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!


Apabila hidup dalam sebuah kawasan perumahan, pasti anda pernah dengar insiden yang tidak diingini berlaku seperti kes pecah rumah, merompak dan sebagainya.

Namun lain pula yang terjadi di sebuah kawasan kejiranan di Negeri Sembilan apabila perkara misteri dilaporkan berlaku di sana.


Penduduk Dakwa Dengar Ketukan Pintu Pada Waktu Malam

Penduduk Kampung Kepis Ulu, Kuala Pilah meluahkan perasaan gelisah mereka apabila sering diganggu dengan ketukan pintu misteri yang menakutkan sejak 31 Disember tahun lalu.

“Selepas tiga kali pintu diketuk, terdengar tombol pintu pula dipulas. Ia betul-betul dekat dengan tempat saya tidur dan dapat dengar dengan jelas,” kata salah seorang penduduk, Nafisah Mohd Sahabuddin, 38.

Bukan hanya Nafisah, kejadian tersebut turut menghantui penduduk setempat dan sehingga awal pagi tadi sekurang-kurangnya 16 rumah mengalami insiden yang sama di mana wujudnya ‘tetamu’ tidak diundang.

Mengulas lanjut, penduduk turut mendakwa kejadian berkenaan tidak menunjukkan sebarang eviden atau bukti perbuatan itu dilakukan oleh manusia termasuklah tidak mempunyai motif tertentu.

Menurut Nafisah, kejadian berlaku jam 3.50 pagi Ahad lalu (7 Januari) ketika dia sedang tidur bersama nenek dan anak perempuannya yang berusia 10 tahun.

“Selepas dengar ketukan dan tombol pintu dipulas, saya terus bangun dan buka lampu namun tidak berani untuk buka pintu kerana bimbang jika ada perkara yang tidak diingini berlaku.

“Saya kemudiannya meninjau melalui tingkap, namun tidak nampak sebarang kelibat. Selepas itu saya memang tidak dapat tidur. Ibu yang tidur di bilik lain terjaga jam 4.30 dan bertanya apa yang terjadi,” jelasnya.


Tak Jumpa Kesan Manusia

Susulan bunyi yang menggerunkan, Nafisah bersama ibunya bertindak meninjau keadaan di luar rumah berhampiran pintu itu pada jam 6 pagi namun tidak menjumpai sebarang jejak atau kesan kehadiran manusia.

“Jika ada orang datang ke rumah memang akan ada jejak kaki kerana keadaan di hadapan rumah becak selepas hujan pada malam kejadian. Saya difahamkan kejadian sama berlaku di dua rumah lain pada malam sama,” ujarnya.

Sementara itu, seorang lagi penduduk Hasdi Abu Hasan, 52, yang berhadapan dengan situasi sama berkata tempat tinggalnya diganggu ketukan misteri itu sebanyak dua kali masing-masing pada malam 31 Disember dan 2 Januari baru-baru ini.

“Saya difahamkan rumah saya adalah kediaman pertama yang diganggu ketukan misteri di kawasan ini. Kedua-dua kejadian berlaku ketika saya tiada di rumah, namun diceritakan anak dan ibu saya.

“Apa yang membuatkan saya hairan, di kawasan rumah saya terdapat dua anjing, namun ketika kedua-dua kejadian, haiwan berkenaan membisu,” tambahnya.

Berasa khuatir dengan kejadian yang menjadi tanda tanya kepada penduduk, Hasdi menasihatkan ahli keluarga untuk memasang lampu di luar kediaman.

Dia juga percaya bahawa kejadian itu bukan dilakukan secara sengaja oleh individu yang mahu menakut-nakutkan penduduk, sebaliknya mengesyaki ia mempunyai kaitan dengan ilmu hitam.

Sumber: Harian Metro

Pasukan Rela & Polis Buat Rondaan

Cakna dengan aduan orang ramai, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Kepis Ulu, S Afendi Baharuddin berkata dia telah meminta bantuan daripada Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) dan polis bagi menjalankan rondaan di kawasan berkenaan.

“Setakat malam tadi, kami difahamkan sudah 16 rumah yang mengalami kejadian sama. Jadi, bagi menenangkan penduduk kampung dan dalam masa sama bagi mengelak kejadian tidak diingini berlaku kami meminta kerjasama anak muda di kampung ini untuk melakukan rondaan.

“Mereka dipecahkan kepada lima kumpulan mengikut lokasi dengan setiap kumpulan terdiri daripada lima ke enam individu. Pasukan RELA dan polis juga membantu meronda,” jelas Afendi.

Selain itu, dia juga meminta pihak masjid dan surau untuk melakukan bacaan Yasin selama tiga malam berturut-turut. Dengan insiatif tersebut, Afendi berharap ia dapat membantu mengurangkan kerisauan para penduduk yang terlibat.

Tambahnya, apa yang menghairankan adalah sebaik menerima maklumat gangguan menerusi group WhatsApp, peronda telah bergegas ke lokasi, namun selepas disiasat memang tidak menemui sebarang bukti atau kesan kehadiran manusia.

Justeru itu, sekiranya insiden tersebut masih terjadi dalam tempoh beberapa hari ini, pihaknya mengalu-alukan sesiapa yang bersedia untuk menawarkan khidmat bagi menyelesaikan kes terbabit.

Sumber: Sinar Harian

Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram

Get more stories like this to your inbox by signing up for our newsletter.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd