Now Reading
“Pekak Bukan Alasan” – Kenalan Mendiang Tampil Bersuara Isu Kereta Halang Ambulans

“Pekak Bukan Alasan” – Kenalan Mendiang Tampil Bersuara Isu Kereta Halang Ambulans

Terdahulu, tular satu video di media sosial menunjukkan seorang pemandu Perodua Kembara telah menghalang laluan ambulans yang sedang membawa pesakit menuju ke Hospital Sri Aman, Sarawak.

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!


Pada 5 Januari lalu, tular satu video di media sosial menunjukkan seorang pemandu Perodua Kembara tidak memberi laluan kepada sebuah ambulans yang sedang membawa pesakit menuju ke Hospital Sri Aman, Sarawak.

Kejadian dilaporkan berlaku di di Kilometer 6, Jalan Kuching-Sri Aman dekat Jalan Kampung Entulang Bungkang.

Perkara tersebut difahamkan telah menyebabkan pesakit Morgan Alban, 41, dari Nyakai menghembuskan nafas terakhir di dalam ambulans tersebut akibat mengalami serangan angin ahmar sebelum sempat tiba di hospital.


Anak Pemandu Kereta Mohon Maaf Kepada Ahli Keluarga Mendiang

Menerusi perkongsian oleh isteri mendiang, Annie Andrew di laman Facebook, wanita itu memaklumkan bahawa anak kepada suspek telah tampil memberikan penjelasan tentang keadaan si ayah yang mendorong kepada kelakuannya menghalang ambulans.

Kata si anak, ayahnya yang sedang memandu di atas jalan raya mempunyai masalah pendengaran kronik. Masalah berkenaan telah disahkan oleh pakar pada 2017.

Dalam pada itu, si anak telah menzahirkan ucapan takziah dan meminta maaf kepada keluarga mendiang atas kelakuan bapanya yang tidak disengajakan.


Isteri Mendiang Terima Permohonan Maaf

Annie dalam masa sama telah menerima permohonan maaf daripada pihak pemandu kereta berkenaan.

Susulan penjelasan yang diterima, isteri mendiang turut memberi peringatan kepada pemandu tersebut untuk tidak lagi memandu selepas ini.

Sekiranya masih berhasrat untuk memandu, dia perlu memastikan dirinya memakai alat pendengaran terlebih dahulu kerana ia mampu mendorong bahaya.

“Keadaan ini amat membahayakan bukan hanya kepada kes ini. Banyak lagi perkara lain boleh terjadi. Janganlah perkara yang sama berulang kali kedua dan berlaku kepada orang lain,” katanya.

Sumber: Facebook Annie Andrew

Kenalan Mendiang Anggap Pekak Bukan Alasan

Kes yang masih menjadi bualan ramai ini telah mencetuskan perdebatan dan kenalan pesakit beranggapan bahawa keadaan pekak bukan alasan kepada pemandu untuk menghalang laluan.

“Persoalannya, jika benar mengalami masalah pendengaran kronik, mengapa biarkan bapanya terus memandu?” kata salah seorang rakan mendiang yang dikenali sebagai Tam, lapor Berita Harian.

Seorang lagi rakan mendiang, Victoria tidak percaya bahawa masalah pendengaran kronik menyebabkan pemandu Kembara itu menghalang laluan terhadap ambulans.

Menurutnya, ambulans dilihat telah menghidupkan lampu kecemasan dan mustahil bagi pemandu terbabit tidak menyedarinya ketika berada di laluan hadapan.

“Kalau benar ‘tuli’ (pekak), mengapa sampai lampu kecemasan ambulans itu pun dia tidak sedar melalui cermin sisi kereta sendiri?

“Sebab itulah, bagi saya, ‘tuli’ bukanlah alasan sebenar dia gagal memberi laluan kepada ambulans berkenaan pada saat kecemasan itu,” ujarnya.

Sementara itu, seorang netizen telah mempertikaikan tempoh masa ambulans itu dihalang iaitu selama 56 saat dan beranggapan bahawa pesakit masih tidak sempat dibawa ke hospital walaupun pemandu memberi laluan.

Berasa terkesan dengan komen itu, Annie berkata bahawa tempoh masa berdurasi kurang daripada seminit tersebut amatlah berharga buatnya.

“Meskipun (ambulans) hanya dihalang selama 56 saat, namun setiap saat ketika kecemasan itu amatlah terlalu berharga buat saya sebagai isteri mendiang suami.

“Keluarga kecil saya ini mempunyai dua anak kecil yang berumur 2 tahun dan 1 tahun. Setiap saat itu amat berharga buat saya dengan harapan anak-anak akan terus boleh merasa kasih sayang bapa mereka,” jelas Annie.

Sumber: Facebook Annie Andrew

Terdahulu, kakitangan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Jerry Rentap memuat naik video tentang pengalaman dihalang pemandu kenderaan ketika memandu ambulans dalam perjalanan ke hospital.

Menerusi satu kenyataan oleh Ketua Polis Daerah Sri Aman, Deputi Suprintendan Mathew Manggie, pemandu terbabit dikenakan tindakan mengikut Kaedah 9 Kaedah-Kaedah Lalulintas 166/59 iaitu Kesalahan Tidak Beri Laluan kepada ambulans.

Mengulas lanjut, Mathew turut memberi peringatan agar semua pengguna jalan raya harus mematuhi undang-undang serta peraturan jalan raya ditetapkan.

Sumber: PDRM

Baca Artikel Berkaitan: [Video] “Petak Kuning Kena Kosong!” – Pemandu Ambulans Tegur Kereta Halang Laluan Ketika Dalam Tugas


Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram

Get more stories like this to your inbox by signing up for our newsletter.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd