Now Reading
Situasi Terkini Covid-19 Di Malaysia Cecah 12,757 Kes Positif

Situasi Terkini Covid-19 Di Malaysia Cecah 12,757 Kes Positif

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menerusi satu kenyataan turut memaklumkan bahawa secara keseluruhan peratus kes kematian Covid-19 dari 25 Januari 2020 sehingga 9 Disember 2023 adalah 0.72%.

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!


Meskipun sudah hampir tiga tahun, Covid-19 dilihat masih mengganas.

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) semalam, 13 Disember, memaklumkan bahawa pada masa ini terdapat peningkatan kes Covid-19 yang dilaporkan secara global termasuk di beberapa negara jiran.

Di Malaysia, KKM berkata peningkatan ini seiring dengan tren yang berlaku pada setiap hujung tahun seperti dilaporkan di negara-negara lain. Malah, majoriti kes Covid-19 di Malaysia mengalami gejala/simptom ringan di mana pesakit tidak memerlukan rawatan di hospital.

“Pada Minggu Epidemiologi ke-49, sebanyak 12,757 kes Covid-19 telah dilaporkan berbanding 6,796 kes yang dilaporkan pada ME 48/2023 (26 November 2023 hingga 2 Disember 2023).

“Secara keseluruhan, peratus kes kematian Covid-19 dari Januari 2020 sehingga 9 Disember 2023 adalah 0.72%,” jelas Datuk Dr Muhammad Radzi, Ketua Pengarah Kesihatan.


Peningkatan Penggunaan Katil Bukan Kritikal Di Fasiliti Kesihatan

Mengulas lanjut, dari segi kapasiti hospital pula, jumlah kemasukan pesakit Covid-19 (termasuk pesakit yang disyaki Covid-19) ke fasiliti kesihatan bagi penggunaan katil bukan kritikal adalah meningkat kepada 1.4% berbanding ME 48/2023.

“Begitu juga dengan penggunaan katil Unit Rawatan Rapi (ICU) adalah meningkat kepada 1.4% , dan peratusan pesakit Covid-19 memerlukan alat bantuan pernafasan (ABP) juga meningkat kepada 0.5%.”

Walau bagaimanapun, KKM menjelaskan bahawa secara keseluruhan – keadaan semasa di Malaysia masih berada dalam keadaan terkawal dan tidak membebankan fasiliti kesihatan sedia ada.


Omicron Masih Menular

Untuk rekod, sehingga kini masih tiada varian baharu yang dikesan di Malaysia. Ini kerana varian yang masih menular di Malaysia adalah varian Omicron dengan subvarian XBB.1.16, XBB.1.5, dan EG.5.

Varian ini meskipun diketahui mempunyai kadar kebolehjangkitan yang tinggi, namun ianya tidak menyebabkan kes yang teruk.


Ubat Antiviral Paxlovid

Dr Muhammad Radzi dalam masa yang sama turut memaklumkan tentang ubat antiviral Paxlovid iaitu sejenis ubat antivirus yang telah digunakan untuk merawat jangkitan Covid-19 di fasiliti kesihatan.

“Walaupun varian Covid-19 baharu terus muncul, rawatan menggunakan antiviral Paxlovid masih berkesan untuk semua varian yang ada buat masa sekarang. Rawatan antiviral masih boleh mengurangkan gejala Covid-19 dan mengelakkan penyakit daripada menjadi lebih teruk.

“Pesakit Covid-19 yang berisiko tinggi iaitu individu berusia 60 tahun dan ke atas, mempunyai daya tahan badan yang rendah, mempunyai apa-apa komorbid atau obes, adalah disarankan untuk mendapatkan rawatan Paxlovid.”


Sambutan Krismas

Susulan cuti sekolah dan juga sambutan Krisman hujung tahun ini, KKM juga menjangkakan akan berlaku peningkatan kes Covid-19 susulan pergerakan dan perjumpaan sanak saudara.

“Sehubungan itu, KKM mengalakkan orang ramai untuk memakai pelitup muka sekiranya bergejala ketika aktiviti kunjung mengunjung bagi melindungi keluarga, jiran, dan sahabat handai daripada mendapat jangkitan,” ujar KKM.


Kes Positif Covid-19: Perlu Isolasi 5 Hari Bermula Tarikh Bermula Gejala

Untuk makluman, kes positif COVID-19 perlu menjalani pengasingan atau isolasi selama 5 hari dari tarikh bermula gejala. Kes juga dinasihati untuk mengambil langkah-langkah pencegahan seperti memakai pelitup muka ketika keluar dari rumah, mengelakkan berada di tempat yang sesak, serta mengelakkan diri daripada melawat kumpulan berisiko tinggi sehingga hari ke-10.

Selain itu, kontak rapat kepada kes COVID-19 digalakkan untuk melakukan kuarantin kendiri sekiranya mempunyai gejala seperti demam, batuk dan selesema, melakukan ujian pengesanan COVID-19 RTK (Ag) kendiri serta mengamalkan langkah-langkah pencegahan bagi mengurangkan risiko penularan jangkitan.


Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: FacebookTwitter, Threads dan Instagram.

Get more stories like this to your inbox by signing up for our newsletter.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd