Konflik Palestin & Israel: Wisma Putra Bakal Salur RM1 Juta, Seru Rakyat Malaysia Bantu Beri Sumbangan
Kementerian Luar Negeri kini dalam proses untuk menyalurkan RM1 juta untuk sumbangan kemanusiaan awal dengan segera menerusi Akaun Amanah Kemanusiaan Rakyat Palestin (AAKRP).
Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!
Kementerian Luar Negeri Malaysia hari ini (11 Oktober) menerusi satu kenyataan rasmi memaklumkan rasa kesal dengan peningkatan jumlah korban dan kecederaan orang awam serta kemusnahan ekoran konflik Palestin-Israel yang telah berlarutan sejak 7 Oktober lalu.
“Malaysia mengutuk sekeras-kerasnya tindakan Israel mengebom secara keterlaluan dan sewenangnya di kawasan-kawasan awam di samping tindakan rejim menyekat bekalan asas air, elektrik, dan makanan.
“Kementerian Luar Negeri menjunjung kasih titah KDYMM SPB Tuanku Agong dan menyambut baik ketetapan sebulat suara Dewan Rakyat pada 9 Oktober 2023 termasuk gesaan supaya Majlis Keselamatan Bangsa-bangsa Bersatu (UNSC) dan masyarakat antarabangsa memberi tekanan bagi menghentikan segala pertempuran untuk mengelakkan pertumpahan darah.
“Dalam konteks ini, Malaysia turut kesal dengan kegagalan UNSC mencapai persetujuan dalam perkara ini,” jelas kenyataan tersebut.
Malaysia Gesa Bantuan Disalurkan Dalam Kadar Segera
Menerusi kenyataan sama, situasi kritikal pada saat ini perlu diambil kira dan masyarakat antarabangsa termasuk Pertubuhan-Pertubuhan Antarabangsa perlu menyalurkan bantuan kemanusiaan seperti bekalan asas dan perubatan.
“Rejim Israel tidak berhak untuk menyekat saluran bantuan kemanusiaan.”
Tambahan pula, sebagai langkah awal, Kementerian Luar Negeri kini dalam proses untuk menyalurkan RM1 juta untuk sumbangan kemanusiaan awal dengan segera menerusi Akaun Amanah Kemanusiaan Rakyat Palestin (AAKRP).
Orang ramai juga diseru untuk menyalurkan bantuan buat rakyat Palestin yang pada saat ini amat memerlukannya menerusi:
- No Akaun: 86-0030248-9 (CIMB Islamic Bank Berhad)
- Nama Akaun: Akaun Amanah Kemanusiaan Rakyat Palestin
Tangguh Perjalanan Ke Kawasan Terlibat
Mengulas lanjut, Wisma Putra juga meminta orang ramai yang ingin melakukan perjalanan ke kawasan berkenaan untuk menangguhkannya terlebih dahulu disebabkan oleh keadaan yang masih meruncing pada ketika ini.
Malah, badan-badan bukan kerajaan (NGO) yang masih berhasrat untuk ke kawasan berkenaan juga dinasihatkan untuk merujuk perancangan mereka kepada Kementerian terlebih dahulu.
5 Rakyat malaysia Di Tebing Barat
Pada masa ini, terdapat lima (5) rakyat Malaysia iaitu seorang wanita dewasa dan seorang ibu bersama tiga (3) orang anak berada di Tebing Barat.
“Kedutaan Besar Malaysia di Amman sentiasa berhubung dengan mereka. Kementerian Luar Negeri menasihatkan mana-mana pihak atau warganegara Malaysia yang mempunyai maklumat keberadaan saudara mara ataupun kenalan yang masih berada di kawasan konflik untuk berhubung dengan Kementerian bagi membolehkan bantuan disalurkan sekiranya perlu,” jelas kenyataan tersebut.
- Kementerian Luar Negeri Wisma Putra (Bahagian Asia Barat):
- +6010 288 4116 (Faizal)
- +6011 1490 1787 (Hakim)
- Kedutaan Besar Malaysia Amman, Jordan:
- +962 65902400
- +962 785902400


Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.
Siti Murni Azman is a Malaysian journalist and editor currently serving as Head Writer and Assistant Editor for The Rakyat Post BM. Known for her relatable and distinctly local storytelling, she frequently covers lifestyle topics including food, café culture, entertainment, consumer trends, and viral social conversations, while also contributing across multiple editorial pillars. Before joining The Rakyat Post, she was involved in social media marketing for AirAsia BIG Rewards, where she worked on digital campaigns and audience engagement. Beyond editorial work, she also manages sponsored content and client collaborations, working closely with brands on digital storytelling tailored for Malaysian audiences.