Now Reading
Lelaki Tunjal Kepala Wanita Dipenjara 9 Hari Lagi Atas Kesalahan Tampar Pekerja Restoran

Lelaki Tunjal Kepala Wanita Dipenjara 9 Hari Lagi Atas Kesalahan Tampar Pekerja Restoran

Lelaki yang sebelum ini tular selepas memukul kepala wanita kini dijatuhi penjara lagi sembilan hari selepas didakwa menampar pelayan restoran di Cameron Highlands.

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm atau ikuti berita kami menerusi aplikasi Lumi News untuk updates terkini & relevan!


Terdahulu pada 9 Jun lalu, seorang lelaki bernama Mohamad Zaim Faiz Tarmizi berusia 29 tahun telah dijatuhi hukuman penjara selama tujuh hari selepas mengaku bersalah memukul kepala pemandu wanita.

Kejadian tersebut dikatakan berlaku kerana salah faham semasa dalam perjalanan turun dari Cameron Highlands menuju ke Tapah.

Berikutan itu, wanita yang menjadi mangsa telah membuat laporan polis dan menyebabkan pemandu lelaki berkenaan telah ditahan oleh pihak polis.

BACA JUGA: Lelaki Tunjal Kepala Wanita Gara-Gara Salah Faham Di Jalan Raya Sudah Ditahan Polis


Tertuduh Juga Didakwa Pernah Menampar Dua Orang Pekerja Restoran Di Cameron Highlands

Tindakan biadap suspek berkenaan tidak terhenti di situ sahaja selepas seorang pengguna TikTok bernama Puteri mendakwa lelaki tersebut juga pernah menampar dua orang pelayan restoran steamboat di Cameron Highlands.

Suspek pada ketika itu dikatakan telah melemparkan makanan serta menampar mangsa berkali-kali sebelum ditegur oleh Puteri dan ahli keluarganya untuk menghentikan tindakan tersebut.

Punca suspek menampar pelayan restoran itu dipercayai kerana hidangan yang dipesan oleh suspek sudah ditunggu hampir satu jam.

Suspek kemudian menghampiri Puteri dan memberi amaran supaya dia tidak masuk campur. Seorang ahli keluarga Puteri turut bertekak dengan suspek sebelum isteri suspek menarik tangannya dan beransur dari restoran.

Susulan itu, Puteri tampil membuat laporan kepada pihak polis.

BACA JUGA: Belum Reda Kes Tunjal Kepala Wanita, Lelaki Baju Merah Didakwa Pernah Tampar Pelayan Restoran Di Cameron Highlands


Lelaki Terlibat Kes Tunjal Kepala Pemandu Wanita Kini Dijatuhi Penjara Lagi Atas Kesalahan Menampar Pelayan Restoran

Terbaharu, suspek yang baru sahaja dibebaskan selepas menjalani hukuman penjara tujuh hari akibat tindakannya memukul kepala pemandu wanita kini sekali lagi dipenjara selama sembilan hari selepas tertuduh mengaku bersalah atas dua dakwaan menampar pelayan restoran di Cameron Highlands.

Sumber: Astro Awani

Lelaki berkenaan yang bekerja sebagai penyelia kilang di Serdang, Selangor telah mengakibatkan kecederaan pada dua orang pelayan restoran iaitu Samir Das dan V Dennis Pillai pada 4 Jun lalu.

Memetik laporan Astro Awani, keputusan itu dibuat oleh Majistret Qasiratul Jannah Usmani Othman di Mahkamah Majistret Cameron Highlands hari ini (16 Jun).

Tertuduh dikenakan hukuman denda RM1,000 bagi setiap pertuduhan atau penjara sembilan sekiranya gagal membayarnya.

Walau bagaimanapun, pihak mahkamah memerintahkan tertuduh untuk menjalani hukuman penjara serentak bermula tarikh tangkapan semalam (15 Jun).

Dia kini didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang meperuntukkan hukuman penjara sehingga satu tahun atau denda sehingga RM2,000 bagi kedua-dua kesalahan.


Tertuduh Mohon Simpati Dan Merayu Agar Hukuman Denda Dikurangkan

Oleh kerana isterinya akan bersalin pada hujung bulan ini dan perlu menanggung seorang anak kecil, tertuduh menitiskan air mata dan merayu agar hukuman denda dikurangkan.

Dia juga mengakui telah insaf selepas menerima hukuman penjara selama tujuh hari dan berjanji untuk tidak melakukan kesilapan sama pada masa akan datang.

Namun, Timbalan Pendakwa Raya S Punitha pula memohon agar pihak mahkamah menjatuhi hukuman setimpal kepada tertuduh sebagai pengajaran kepadanya.


Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: FacebookTwitter, dan Instagram.

Get more stories like this to your inbox by signing up for our newsletter.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd