Now Reading
Wanita 29 Tahun Di Sabah Maut Diserang Anjing Liar

Wanita 29 Tahun Di Sabah Maut Diserang Anjing Liar

Pihak polis menjelaskan bahawa punca kematian mangsa adalah disebabkan pendarahan yang banyak akibat kecederaan gigitan haiwan.

anjing liar

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk updates terkini, relevan dan menarik!


Mayat seorang wanita telah ditemui di simpang Kampung Batu, Semporna, Sabah pada Ahad lalu akibat diserang oleh anjing liar.

Menurut laporan, Ketua Polis Daerah Semporna Superintendan Mohd Farhan Lee Abdullah menjelaskan bahawa wanita tempatan berusia 29 tahun itu didapati mengalami pendarahan yang banyak berikutan gigitan daripada haiwan berkenaan.

Pakar perubatan forensik di Hospital Queen Elizabeth (HQE) mengesahkan punca kematian adalah disebabkan pendarahan yang banyak akibat kecederaan gigitan haiwan. Hasil pemeriksaan awal terhadap mayat itu terdapat banyak kesan gigitan haiwan pada bahagian belakang badan, paha dan lengan kanan serta kepala disyaki akibat gigitan anjing liar.

Ketua Polis Daerah Semporna Superintendan Mohd Farhan Lee Abdullah menerusi Sinar Harian.

Mengulas lanjut, sebelum itu pihak polis turut menerima maklumat daripada orang awam berkenaan mayat wanita yang dijumpai berada dalam keadaan meniarap pada jam 8 pagi, Ahad lalu.

Kes ini diklasifikasikan sebagai mati mengejut, malah mayat wanita berkenaan juga telah dituntut oleh ahli keluarga/waris terdekat.

Walau bagaimanapun, pihak polis menyeru orang ramai untuk tampil membuat laporan sekiranya memiliki sebarang maklumat tentang kejadian. Ia boleh disalurkan kepada Inspektor Mustapha Abdul Majid di talian 089-782020.

Mohd Farhan Lee menerusi kenyataan yang sama turut menasihati orang ramai supaya melaporkan kepada Majlis Daerah Semporna (MDS) sekiranya ada mana-mana pihak yang mengesan kehadiran anjing liar yang berkeliaran di sekitar daerah berkenaan.


Kongsi cerita menarik dan terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, dan Instagram.

Get more stories like this to your inbox by signing up for our newsletter.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd