Now Reading
Karina Robles Bahrin Menang Hadiah Fiksyen Buku Epigram 2022

Karina Robles Bahrin Menang Hadiah Fiksyen Buku Epigram 2022

Buku yang membawa kemenangan berjumlah RM77,777.50 itu bertajuk The Accidental Malay.

Jangan lupa follow channel Telegram TRPBM untuk updates terkini yang relevan dan menarik!


Penulis dari Malaysia iaitu Karina Robles Bahrin yang berusia 53 tahun muncul sebagai pemenang Hadiah Fiksyen Buku Epigram 2022.

Dia telah mengalahkan tiga finalis lain dari Singapura dan memenangi hadiah wang berjumlah RM77,777.50 (SG$25,000).

Buku yang membawa kemenangan kepadanya adalah bertajuk The Accidental Malay – berlatar belakangkan Malaysia.

Buku itu mengisahkan Jasmine Leong, seorang wanita yang obses dengan kerja dan berhasrat untuk menjadi Ketua Eksekutif seterusnya bagi sebuah syarikat bak kua milik keluarga Leong yang kaya.

Namun, impian Jasmine musnah apabila dia mendapat tahu bahawa dia sebenarnya adalah kaum Melayu.

Dalam ucapannya ketika majlis yang diadakan secara maya, Karina mengatakan bahawa kemenangan tersebut adalah di luar jangkaannya kerana buku berkenaan merupakan percubaan pertamanya dalam menulis novel.

Saya ingin mengucapkan tahniah kepada semua finalis lain yang turut disenarai pendek. Saya rasa buku mereka juga hebat dan saya pun sangat tak sabar nak membacanya. Kepada Epigram, terima kasih tidak terhingga kepada mereka kerana masih terus berusaha dan memberikan anugerah ini kepada penulis Asia Tenggara walaupun menghadapi cabaran.

Karina Robles Bahrin berkata ketika majlis secara maya.

Menurut laporan The Star, Profesor Universiti Teknologi Nanyang Shirley Chew yang merupakan salah seorang panel penilai memuji novelnya sebagai sebuah karya penting yang bijak dan dilakukan dengan baik.

Laporan Malay Mail pula memaklumkan bahawa Karina yang menetap di Langkawi, Kedah juga menjalankan perniagaan hotel, restoran, ladang serta komuniti bercerita di pulau tersebut.

Dia juga merupakan rakyat Malaysia kedua yang memenangi anugerah serantau. Pemenang sulung sebelum ini ialah Joshua Kam pada tahun 2020 dengan novelnya How The Man In Green Saved Pahang, And Possibly The World.

Finalis Singapura yang lain – Ng Ziqin (pelajar) berusia 20 tahun, Nisha Mehraj berusia 37 tahun (tutor persendirian) dan Tan Lip Hong berumur 58 tahun (pengamal am) masing-masing bakal menerima wang sebanyak RM16,000 (S$5,000).

Empat novel yang disenarai pendek itu akan diterbitkan pada separuh kedua tahun ini.

Tahniah dan syabas, Karina!


Kongsikan cerita menarik dan terkini bersama kami di media sosial TRPBM: Facebook, Twitter, dan Instagram.

Get more stories like this to your inbox by signing up for our newsletter.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd