Now Reading
Kos Urus Jenazah Covid-19 Setinggi RM1,800, NGO Dedah Isu Yang Disifatkan Keterlaluan

Kos Urus Jenazah Covid-19 Setinggi RM1,800, NGO Dedah Isu Yang Disifatkan Keterlaluan

Caj yang dikenakan oleh pihak terbabit dalam pengurusan jenazah di hampir semua hospital di Kelantan mencecah antara RM1,300 hingga RM1,800.

Jangan lupa follow channel Telegram TRPBM untuk updates terkini yang relevan dan menarik!


Baru-baru ini, sebuah NGO – Tengku Harith Team Ventures yang terlibat dalam kerja-kerja amal mengurus dan mengebumikan jenazah pesakit Covid-19 di Kelantan telah mendedahkan tentang kos mengurus jenazah pesakit virus tersebut.

Menurut pihak mereka, bayaran pengurusan jenazah sebahagian pesakit Covid-19 di negeri tersebut iaitu antara RM1,300 hingga RM1,800 disifatkan keterlaluan.

Malah, secara tidak langsung ianya menekan keluarga bagi golongan yang kurang berkemampuan.

Gambar sekadar hiasan.
(Kredit: JAWIWP/Facebook)

Bayaran itu pula bukan kos keseluruhan sehingga pengebumian, sebaliknya hanya membabitkan urusan memandikan jenazah menggunakan kaedah tayamum sebelum dikafankan sahaja.

Oleh disebabkan itu, buat keluarga yang tidak mampu, mereka terpaksa memohon bantuan amal atas pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk menguruskan pengebumian jenazah ini.

Menurut laporan yang dikeluarkan oleh Sinar Harian, pengasas NGO tersebut iaitu Tengku Harith Tengku Abdul Azis mendakwa caj yang dikenakan oleh pihak terbabit dalam pengurusan jenazah di hampir semua hospital di Kelantan mencecah antara RM1,300 hingga RM1,800.

Malah, dia dan pasukannya yang sudah menguruskan lebih 50 jenazah pesakit Covid-19 mendakwa pernah mengajukan isu mengenai caj yang tinggi itu kepada pihak pengurusan hospital sebelum ini.

Caj berkenaan terlalu tinggi dan membebankan sedangkan harga debu tayamum tidak sampai RM10 setiap pek, yang boleh digunakan untuk proses tayamum enam jenazah. Rata-rata pengurusan hospital terkejut mendengar aduan yang saya kemukakan dan bertanyakan kepada unit forensik masing masing.

Tengku Harith Tengku Abdul Azis, Pengasas Tengku Harith Team Ventures melalui Sinar Harian.

Malangnya, dakwanya unit forensik pula menyalahkan pihak pengurus jenazah yang dikatakan dilantik dan dipilih oleh pengurusan unit forensik itu sendiri.

Dakwanya lagi, pengurus jenazah juga pernah diajukan soalan itu namun tidak mengaku mengenakan bayaran sedemikian.

Saya panjangkan perkara berkenaan kepada pihak Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) dan terkejut apabila MAIK memaklumkan pihaknya menetapkan kadar harga RM200 sahaja bagi kos tayamum. Jadi timbul persoalan, siapa yang menetapkan harga setinggi RM1,800 untuk tayamum (pengurusan jenazah)? Pihak forensik atau tukang mandi jenazah (pengurus jenazah) yang dipilih oleh pengurusan forensik?

Tengku Harith Tengku Abdul Azis, Pengasas Tengku Harith Team Ventures melalui Sinar Harian.

Lebih mengelirukan apabila dia mendakwa bahawa caj yang dikenakan terhadap keluarga itu tidak disertakan resit atau butiran terperinci.

Dia turut menjelaskan bahawa bukan sahaja kos pengurusan mayat atau tayamum yang perlu dijelaskan, sebaliknya kos lain juga.

Antaranya, termasuk kain kapan melebihi RM100, keranda antara RM200 hingga RM300 dan upah gali liang lahad (RM250-300).

Ahli keluarga atau waris cuma perlu membayar kos keranda sahaja iaitu RM200 jika mampu. Jika sebaliknya kita akan berikan secara percuma. Kos yang lain termasuk tayamum, kafan, solat jenazah, kenderaan jenazah dan sebagainya adalah percuma.

Tengku Harith Tengku Abdul Azis, Pengasas Tengku Harith Team Ventures melalui Sinar Harian.

Sementara itu, Setiausaha MAIK Mohd Rasani Ramli ketika dihubungi mengesahkan menerima aduan daripada NGO berhubung isu berkenaan.

Menurutnya, susulan aduan itu pada bulan Mei lalu, MAIK telah mengadakan pertemuan dan mesyuarat bersama pengurusan hospital di seluruh Kelantan.

Hasilnya, MAIK telah menetapkan kadar RM200 bagi kos tayamum dan menggariskan harga pengurusan jenazah bagi negeri Kelantan yang perlu diikuti oleh semua imam masjid, pihak pengurusan jenazah dan sebagainya.

Setiausaha MAIK Mohd Rasani Ramli melalui Sinar Harian.

Kongsikan cerita menarik dan terkini bersama kami di media sosial TRPBM: FacebookTwitter, dan Instagram.

Get more stories like this to your inbox by signing up for our newsletter.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd