Now Reading
IWK Diiktiraf Sebagai ‘Top 4’ Peneraju SDG6 Di Sidang Kemuncak Air Sedunia

IWK Diiktiraf Sebagai ‘Top 4’ Peneraju SDG6 Di Sidang Kemuncak Air Sedunia

Sidang Kemuncak Air Sedunia atau Global Water Summit 2024, yang diadakan di London, United Kingdom, baru-baru ini mengumpulkan kira-kira 900 pemain industri untuk membincangkan sektor air.

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!


Syarikat pembetungan nasional, Indah Water Konsortium (IWK) Sdn Bhd telah diiktiraf sebagai salah satu daripada empat peneraju utama dalam Sustainable Development Goal 6 (SDG6) Pledge pada Global Water Summit 2024.

Selain IWK, tiga syarikat lain adalah Phnom Penh Water Supply Authority dari Kemboja, National Water & Sewerage Corporation dari Uganda dan Sanepar dari Brazil.

Pengiktirafan ini menunjukkan dedikasi dan impak global IWK yang tidak berbelah bahagi dalam usahanya ke arah mencapai komitmen SDG6 2030. Sebagai salah satu daripada 300 Pemimpin Air Global (Inisiatif Peneraju Air), pencapaian ini menggariskan peranan penting IWK dalam menyuntik inspirasi dan meningkatkan kesedaran SDG6 pada skala global.

Secara khususnya, ikrar SDG6 IWK adalah sejajar dengan keseluruhan strategi pelan perniagaannya, yang merangkumi inisiatif seperti memperluaskan perkhidmatan pengurusan air sisa kumbahan di Semenanjung Malaysia dan Labuan, meningkatkan kadar penerimaan terhadap perkhidmatan nyehenap cemar berjadual dan memupuk inisiatif ekonomi hijau melalui program waste-to-wealth.

Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Yang Amat Berhormat Datuk Seri Haji Fadillah Yusof menekankan bahawa pencapaian ini menandakan satu tanda aras penting bagi syarikat dan negara secara keseluruhan.

“Adalah sesuatu yang menyuntik inspirasi kepada semua apabila menyaksikan Malaysia melangkah ke pentas global, bergandingan bahu dengan pemimpin dari industri utiliti di seluruh dunia. Pengiktirafan yang telah dicapai IWK ini pastinya menyemarakkan lagi komitmen sedia ada dalam menjayakan inisiatif hijau yang lebih mampan, selari dengan aspirasi Malaysia MADANI,” kata Fadillah.

Pengarah Eksekutif Global Water Leaders Group, William Muhairwe turut memuji IWK atas ikrar SDG6 yang luar biasa dan usaha berterusan, serta menjangkakan ianya berpotensi sebagai penanda aras global pada masa hadapan.

“Pencapaian IWK dalam melayakkan mereka berada di kedudukan empat teratas dari 300 Global Water Utilities (Utiliti Air Global) ketika penilaian SDG6, menandakan satu tanda aras penting dan lambang kebanggaan untuk organisasi berkenaan,” kata William.

Melalui penilaian yang dijalankan oleh Global Water Intelligence, ianya menilai dengan teliti kredibiliti organisasi, perancangan strategi serta status pelaksanaan serta kejayaannya, bersama bukti sebagai sokongan.

Pengerusi IWK, Yang Berhormat Haji Ahmad Johnie Bin Zawawi merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan, Yang Amat Berhormat Datuk Seri Anwar Ibrahim; serta Datuk Seri Haji Fadillah; Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) dan semua pihak berkepentingan serta pelanggan IWK atas sokongan berterusan mereka.

“Untuk berada di kedudukan empat teratas dalam SDG adalah satu peristiwa penting bagi IWK. Setinggi-tinggi penghargaan saya ucapkan kepada Ahli Lembaga Pengarah serta pasukan pengurusan dan kakitangan IWK atas komitmen yang tidak berbelah bagi dalam semua usaha mereka ke arah kemampanan demi mencapai agenda SDG6,” kata Ahmad Johnie.

“Memandangkan IWK menyambut ulang tahun ke-30 pada tahun ini, ianya merupakan satu kebanggaan terhadap dedikasinya sepanjang berkhidmat kepada semua rakyat Malaysia. IWK akan terus memainkan peranan penting dalam menggalakkan pembangunan mampan, memberi tumpuan kepada pengurusan sistem pembetungan yang bertanggungjawab, perlindungan kesihatan awam, memupuk amalan hijau yang inovatif dan memperjuangkan pemuliharaan alam sekitar untuk kesejahteraan rakyat,” tambahnya.

Ketua Pegawai Eksekutif IWK, Narendran Maniam menambah IWK kekal komited untuk mencapai kecemerlangan berterusan dalam semua aspek operasi syarikat, dengan tumpuan khusus untuk memajukan usaha pemuliharaan alam sekitar selaras dengan komitmen menyeluruh Malaysia untuk memenuhi Matlamat Pembangunan Lestari Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB SDG).

“Dalam langkah kami untuk maju ke hadapan, kami tetap teguh dengan keazaman untuk tingkatkan inovasi, kerjasama dan memimpin melalui teladan, di samping memupuk masa depan yang mampan untuk generasi akan datang,” tambah Narendran.

Sidang Kemuncak Air Sedunia atau Global Water Summit 2024, yang diadakan di London, United Kingdom, baru-baru ini mengumpulkan kira-kira 900 pemain industri air; menghimpunkan golongan profesional, pihak berkepentingan dan pakar dari seluruh dunia untuk membincangkan cabaran utama, inovasi dan peluang dalam sektor air.

Sidang kemuncak itu merangkumi pelbagai topik termasuk pengurusan air, teknologi, kewangan, dasar dan kemampanan, serta berfungsi sebagai platform untuk perkongsian pengetahuan dan kerjasama dalam menangani isu air global secara kolektif.


Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: FacebookTwitterThreads dan Instagram.

Get more stories like this to your inbox by signing up for our newsletter.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd