Now Reading
Ini 7 Lokasi Menarik Di Taiping Yang Anda Boleh Kunjungi. Raya Nanti Boleh Bawa Family!

Ini 7 Lokasi Menarik Di Taiping Yang Anda Boleh Kunjungi. Raya Nanti Boleh Bawa Family!

Antara tempat menarik yang boleh dikunjungi di Taiping adalah Kilang Arang Kayu Kuala Sepetang, Muzium Perak dan Zoo Taiping.

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!


Apabila bercakap tentang berjalan-jalan dalam negara, pasti akan dicadangkan beberapa bandar terkenal seperti Melaka, Pulau Pinang, Kuantan di Pahang, Kota Bahru di Kelantan dan Ipoh di Perak.

Namun selain daripada Ipoh, terdapat banyak lagi tempat di negeri sama seperti Pulau Pangkor dan Teluk Intan.

Satu lagi bandar yang mungkin kurang terkenal bagi pelancong dari negara lain, adalah pekan Taiping.

Taiping juga dikenali sebagai ‘pekan pencen’ kerana dipercayai menjadi tempat pilihan kepada golongan pesara untuk bermastatutin.


Taiping Bandar Warisan

Dalam masa yang sama, pekan yang terletak di utara Perak itu diisytihar sebagai Bandar Warisan atas keunikannya yang tersendiri.

Malah, ia dinobatkan sebagai bandar ketiga terbaik dunia bagi kategori Anugerah 100 Destinasi Lestari Terbaik Dunia pada Anugerah Peringkat Antarabangsa Bagi Pelancongan Lestari Dunia 2018.

Perkara ini menjadikan Taiping sebagai destinasi pelancongan warisan. Mesti anda tertanya-tanyakan apa yang menarik di Taiping jika melancong ke sana?


7 Tempat Menarik Di Taiping

#1. Kilang Arang Kayu Kuala Sepetang

Kuala Sepetang atau dahulunya ‘Port Weld’ sememangnya menjadi pusat industri pembuatan kayu arang paling tua dalam negara.

Kilang di sini menghasilkan arang daripada pokok bakau kurap (Rhizophora mucronata) dan bakau minyak (Rhiziphora Apiculato) yang hanya boleh ditebang sekurang-kurangnya setelah berusia 30 tahun

Selain daripada menjual kayu arang buatan sendiri, kilang tersebut turut menawarkan pakej dan program lawatan yang merangkumi penerangan dan aktiviti kepada rombongan.

Sumber: Kilang Arang Kayu Kuala Sepetang Charcoal Factory/ Facebook.

#2. Muzium Telegraf Taiping

Dirasmikan pada 16 Julai 2018 oleh DYMM Paduka Seri Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, ia bertujuan untuk mempamerkan sejarah dan perkembangan telekomunikasi.

Sebelum itu, muzium ini merupakan Pejabat Pos dan Telegraf yang pertama di Malaysia.

Ketika zaman Kolonial British di Tanah Melayu pada abad ke-18, ia menyediakan perkhidmatan telekomunikasi yang merangkumi telegram, telefon, pos, malah kemudahan perbankan sehenti.

Sumber: Muzium Telegraf Taiping.

#3. Air Terjun Bukit Jana

Taiping juga mempunyai pelbagai tarikan semula jadi termasuk Air Terjun Bukit Jana yang terletak berhampiran Bukit Jana Golf Resort.

Ia merupakan salah satu ‘hidden gem’ di pekan itu dan rata-rata dikunjungi oleh penduduk tempatan sahaja.

Orang ramai juga boleh menyewa pondok dan menjalankan aktiviti BBQ.

Sumber: hikingandgardening.blogspot.

#4. Taman Tasik Taiping

Juga dikenali sebagai Taiping Lake Garden, ia merupakan bekas tapak lombong bijih timah.

Tasik tersebut terhasil daripada bekas tanah yang dikorek sedalam 70 meter. Dibuka sekitar tahun 1880, ia menjadi taman awam yang pertama di dalam negara.

Sumber: Majlis Perbandaran Taiping.

#5. Zoo Taiping & Night Safari

Ditubuhkan pada tahun 1961, ia menjadi antara zoo tertua di Malaysia. Juga dikenali sebagai Taman Mergastua Sultan Idris Shah, ia adalah satu-satunya zoo yang terletak di utara Semenanjung Malaysia.

Kini, ia menempatkan sekitar 1,500 ekor haiwan yang merangkumi 140 spesies mamalia, burung, reptilia dan ikan.

Night Safari telah dibuka bermula tahun 2003 yang membolehkan pengunjung untuk memerhatikan haiwan pada waktu malam.

Sumber: Wooi Chun/ Google Maps.

#6. Muzium Perak

Dibina pada tahun 1883, ia merupakan muzium pertama ditubuhkan di negara.

Idea penubuhan dicetuskan oleh Residen British Ketiga, Sir Hugh Low yang merasakan ia penting untuk dijadikan sebagai pusat penyelidikan dan pengumpulan bahan sejarah, budaya dan alam semulajadi negara.

Ahli botani dan geologi, Leonard Wray Jr, telah dilantik bagi mengumpulkan spesimen-spesimen alam semulajadi dan etnologi yang dijadikan sebagai koleksi awal Muzium Perak.

Sumber: Jabatan Muzium Malaysia, Kementerian Perpaduan Negara.

#7. Spritzer EcoPark

Orang ramai mesti kenal air mineral Spritzer kan? Buat yang tak tahu, jenama Spritzer sebenarnya mendapatkan air mineralnya dari sebuah kawasan di hutan hujan yang terletak di Taiping.

Spritzer telah ditubuhkan pada 1989, namun EcoPark hanya dibuka kepada awam pada 8 Julai 2015.

Terdapat pelbagai aktiviti yang disediakan seperti golf dan DIY menggunakan bahan kitar semula.

Sumber: Syed Shahrul Nizam/ Facebook.

Industri Perlombongan Di Larut

Untuk makluman, Taiping wujud hasil daripada industri perlombongan secara besar-besaran di Larut yang dipelopori oleh pemimpin Melayu ketika itu iaitu Long Jaafar.

Taiping pada mulanya dikenali sebagai Klian Pauh dan merupakan ibu negeri Perak sebelum 1937.

Namun ia kemudiannya ditukar nama menjadi Taiping yang berasal daripada perkataan Cina ‘Tai-Peng’ yang bermaksud aman selamanya. Nama ini diambil sempena tamatnya peperangan Larut pada tahun 1874.


Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.

Get more stories like this to your inbox by signing up for our newsletter.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd