Now Reading
Anwar Ibrahim Lancar ‘AI Untuk Rakyat’, Pembelajaran Dalam Talian Tentang Artifical Intelligence

Anwar Ibrahim Lancar ‘AI Untuk Rakyat’, Pembelajaran Dalam Talian Tentang Artifical Intelligence

Terdapat dua bahagian di bawah program ‘AI untuk Rakyat’ iaitu ‘Kesedaran AI’ dan ‘Hargai AI’ yang merangkumi konsep seperti pemahaman asas AI dan pengetahuan tentang domain utamanya.

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!


Hari ini (16 Januari), Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim telah melancarkan program ‘AI untuk Rakyat’ di Dewan Besar, Universiti Putra Malaysia (UPM).

Bersama-samanya adalah Menteri Ekonomi Rafizi Ramli, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Dato’ Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz dan Pengarah Urusan Intel Malaysia Puan AK Chong.

Menerusi kenyataannya, Anwar berkata ‘AI untuk Rakyat’ diwujudkan bagi meningkatkan pemahaman aspek digital dalam kalangan rakyat.

Inisiatif kerajaan melalui perkongsian strategik dengan pihak Intel Malaysia tersebut dijalankan secara atas talian dan bersifat pembelajaran kendiri (self-learning).

Anwar menyatakan bahawa pasti wujud rasa ingin tahu dan minat untuk mempelajari ilmu teknologi kecerdasan buatan atau dalam Bahasa Inggerisnya Artificial Intelligence (AI) dengan meningkatnya kesedaran dan pemahaman asas tentangnya.


Perdana Menteri Sasar 1 Juta Pendaftaran Dalam Setahun

Di samping itu, ilmu teknologi AI boleh dikuasai bagi memanfaatkan pembangunan negara dan memperkasakan rakyat.

Anwar menyasarkan sebanyak satu juta pendaftaran dalam tempoh setahun, bertepatan dengan kepentingan pendedahan dan penyesuaian AI kepada penjawat awam dan rakyat umum.

Beliau menggesa Ketua Setiausaha kementerian dan Naib Canselor institusi pendidikan tinggi untuk menghasilkan laporan penglibatan penjawat awam dan pelajar dalam program tersebut.

Dalam masa yang sama, ucapan tahniah turut diberikan kepada tiga orang pemenang Intel Al Global Impact Festival 2023, iaitu pelajar Asia Pacific University yang telah mewakili Malaysia. Terdapat sejumlah 27 buah negara yang menyertai pertandingan tersebut.


AI Generatif Berpotensi Jana Suku KDNK Negara

Sementara itu, Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata projek pembelajaran AI ini dibangunkan oleh MyDigital, jabatan di bawah kementeriannya.

Beliau berkata AI generatif mempunyai potensi untuk menjana RM531.44 bilion, yakni suku daripada jumlah Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) negara, lapor Kosmo.

“Kita boleh ubah kesangsian menjadi harapan, ketakutan menjadi pemerkasaan dan cabaran menjadi peluang,” katanya ketika di majlis perasmian.


Perdana Menteri Akan Soal Ahli Kabinet Tentang AI

Rafizi pada mulanya berharap program tersebut mencapai satu juta pengguna dalam masa tiga tahun, sebelum disemak semula oleh Anwar menjadi satu tahun.

Anwar berkata kepada Kementerian Pendidikan dan Pendidikan Tinggi agar tidak menunggu sehingga bulan Februari untuk menjalankan program tersebut.

Beliau juga akan meminta ahli kabinet untuk mengikuti kursus berdurasi kira-kira empat jam itu dan menyoal para menteri ketika mesyuarat.


Dua Bahagian Di Bawah AI Untuk Rakyat

Laman AI untuk Rakyat boleh diakses menerusi pautan ai.gov.my dalam empat bahasa iaitu Bahasa Melayu, Inggeris, Mandarin dan Tamil.

Program ini dikategorikan kepada dua bahagian berikut:

Kesedaran AI (AI Aware)

  • Mentakrifkan apa itu Artificial Intelligence.
  • Bercakap tentang Kecerdasan Manusia.
  • Membantu membezakan antara mesin AI dengan bukan AI.
  • Membongkar salah tanggapan popular mengenai teknologi.

Hargai AI (AI Appreciate)

  • Memperkenalkan domain AI yang berbeza.
  • Menerangkan kesan AI terhadap pelbagai industri.
  • Menghuraikan tentang prinsip etika AI dan AI yang bertanggungjawab.

AI Untuk Rakyat Boleh Diakses Golongan Kurang Upaya

Kedua-dua bahagian dihasilkan berdasarkan konsep berkaitan AI seperti pemahaman asas AI, aplikasinya, serta pengetahuan tentang domain utama AI termasuk Pemprosesan Bahasa Semula Jadi (Natural Language Processing) dan Data Statistik (Statistical Data).

Pembelajaran dijalankan melalui aktiviti dan kuiz, yang apabila diselesaikan oleh pengguna akan menerima lencana digital (digital badge) yang boleh dipaparkan dalam akaun media sosial.

Malah, program ini dapat diakses sepenuhnya oleh orang kurang upaya penglihatan melalui kandungannya yang serasi dengan aplikasi cakap balik serta penyediaan fail format sedia Braille (BRF).


Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.

Get more stories like this to your inbox by signing up for our newsletter.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd