Now Reading
Dianggap Pengotor Tapi Sebenarnya Bijak, Ini Fakta Menarik Tentang Burung Gagak

Dianggap Pengotor Tapi Sebenarnya Bijak, Ini Fakta Menarik Tentang Burung Gagak

Gagak merupakan antara salah satu haiwan bijak yang memahami konsep anjakan air dan boleh mengingati wajah manusia sehingga lima tahun.

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!


Burung gagak merupakan haiwan yang dianggap sebagai pengotor dan pembawa penyakit. Kebanyakan burung gagak dapat dilihat berkeliaran di bandar dan memakan sisa makanan daripada tong sampah.

Ia juga dianggap sebagai pembawa ‘bad luck’ kerana warnanya yang gelap dan sering dikaitkan dengan ilmu hitam. Namun begitu, di sebalik salah tanggapan tersebut, korang tahu tak burung gagak sebenarnya haiwan yang bijak?

Seorang pengguna laman X (@Cikgu_Anep) berkongsi pengalamannya melihat burung gagak menyerang dua kanak-kanak lelaki yang tidak sengaja mengganggu seekor anak gagak.

Katanya, walaupun dia memakai pakaian berwarna merah sama seperti salah seorang kanak-kanak tersebut, dia tidak turut diserang. Perkara ini menunjukkan gagak boleh mengenali wajah seseorang.

Gagak merupakan burung yang tergolong dalam filum cordata, kelas aves, order passeriformes, keluarga corvidae dan genus corvus. Dianggarkan terdapat lebih kurang 40 spesies burung gagak dalam genus corvus di seluruh dunia, dengan setiap spesies ditemui di kawasan tertentu.

Spesies gagak yang kebiasaannya ditemui di Malaysia ialah corvus enca atau slender-billed crow yang mempunyai paruh kecil dan kurus. 

Walaupun sering dilihat memakan sisa makanan dan bangkai, burung gagak adalah sejenis haiwan omnivor yang memakan haiwan lain dan tumbuh-tumbuhan. Sifatnya ini menyebabkan gagak mempunyai daya kemandirian dan daya tahan yang tinggi, serta mampu hidup dalam pelbagai persekitaran.


Cerita Burung Gagak Meminum Air

Pasti korang pernah mendengar tentang hikayat burung gagak yang hendak meminum air. Di dalam hikayat tersebut, seekor gagak telah menjumpai air di dalam kendi. Namun begitu, paras airnya yang rendah menyebabkan paruh gagak tidak dapat mencapai untuk meminumnya.

Ia kemudiannya meletakkan batu-batuan kecil di dalam kendi yang menyebabkan paras air minuman itu meningkat sehingga boleh dicapai oleh paruh gagak.

Sebenarnya, cerita ini bukan hikayat semata-mata, tetapi memang benar-benar dilakukan oleh gagak. Sekumpulan pengkaji dari University of Auckland telah menjalankan satu kajian terhadap pemahaman anjakan air (water displacement) oleh burung gagak.

Dalam empat daripada enam senario, burung gagak jenis New Caledonian didapati memberi keutamaan terhadap tabung yang akan memberi makanan dengan jumlah kerja paling sedikit.

Para pengkaji membuat kesimpulan bahawa pemahaman burung gagak terhadap anjakan air adalah bersamaan dengan kanak-kanak berusia lima hingga tujuh tahun.


Gagak Ingat Wajah Manusia Sehingga 5 Tahun

Di samping itu, gagak juga boleh mengingati wajah manusia, terutamanya mereka yang mendatangkan bahaya. Dalam satu kajian, burung gagak liar didedahkan kepada bahaya oleh seseorang yang memakai topeng dengan cara menangkap dan melepaskan mereka semula.

Gagak yang ditangkap akan segera memarahi atau membuat bunyi amaran apabila melihat individu yang memakai topeng yang sama. Malah, gagak yang melihat kejadian itu turut sama-sama memarahi individu tersebut.

Lebih mengejutkan lagi apabila topeng tersebut dikaitkan dengan bahaya oleh gagak yang tidak berada di tempat kejadian ketika tangkapan berlaku, dan gagak-gagak muda yang dipercayai diajar oleh gagak dewasa. Kedua-dua keadaan ini menunjukkan bahawa gagak belajar melalui sosialnya.

Gagak belajar daripada satu sama lain. Sumber gambar: Alexander Savchuk/ Pexels.

Kajian mendapati pembelajaran ini tersebar sejauh 1.2 km daripada tempat kejadian berlaku dan sehingga lima tahun.

Kemampuan ini menyebabkan gagak boleh mengingati sebarang perkara jahat yang dilakukan oleh seseorang terhadapnya. Pada masa yang sama, gagak juga mengingati manusia yang berbaik dengannya.


Kisah Burung Gagak Dalam Al-Quran

Burung gagak turut disebut di dalam al-Quran sebagai haiwan yang menunjukkan kepada Qabil cara untuk menanam jenazah saudaranya, Habil. Mereka merupakan anak kepada Adam dan Hawa, dan telah bergaduh sehingga Habil terkorban. Allah SWT berfirman di dalam ayat 31 surah Al-Ma’idah, yang bermaksud:

“Kemudian Allah hantarkan seekor burung gagak (menyuruhnya) mengorek-ngorek di bumi supaya, diperlihatkan kepada (Qabil) bagaimana cara menimbus mayat saudaranya. (Qabil) berkata: “Wahai celakanya aku! Alangkah lemah serta bodohnya aku, aku tidak tahu berbuat seperti burung gagak ini, supaya aku dapat menimbuskan mayat saudaraku?”. Kerana itu menjadilah ia dari golongan orang-orang yang menyesal.”

Perkara ini secara tidak langsung menunjukkan burung gagak sebagai haiwan yang bijak sehingga turut diceritakan di dalam al-Quran. Malah, saintis mendapati bahawa burung gagak mengadakan upacara pengebumian untuk rakannya yang telah mati.

Sumber gambar: Dan Lazar/ Unsplash.

Sebagai contoh, gagak Amerika menandakan kematian rakannya melalui dua cara iaitu dengan membuat bunyi amaran dan ‘mobbing’. ‘Mobbing’ terjadi apabila sekumpulan gagak yang mendengar bunyi amaran berkumpul di sekitar rakannya yang mati dan turut bersama-sama mengeluarkan bunyi amarah. Ia boleh berlangsung sekitar 15 hingga 20 minit.

Penyelidik mendapati bahawa upacara ini dilakukan bukan kerana sedih akan pemergian rakannya, sebaliknya untuk mengenal pasti sebab kematian tersebut. Ia juga bertujuan untuk menyebarkan maklumat mengenai potensi bahaya kepada gagak-gagak lain di kawasan berhampiran.


Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.

Get more stories like this to your inbox by signing up for our newsletter.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd