Now Reading
Jotun Perkenal ‘Canvas’, Koleksi Warna Global 2024

Jotun Perkenal ‘Canvas’, Koleksi Warna Global 2024

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!


Dari pakaian hingga ke kediaman kita, warna-warna yang menyelubungi kita merupakan cerminan diri serta perasaan yang ingin kita alami.

Apabila kita memilih warna, kita sedang menyelami sifat kreatif yang terkandung di dalam diri, menterjemahkan idea dan emosi kita kepada satu bentuk penzahiran visual – justeru di kala ini, kita sebenarnya sedang melalui sebuah proses kesenian.

Tahun ini, Jotun mencungkil jiwa artis orang ramai dengan CANVAS – iaitu Koleksi Warna Global 2024 (Global Colour Collection 2024) daripada jenama tersebut.

Dirumus untuk memberi inspirasi dan galakan kepada sesiapa sahaja yang ingin menzahirkan jati diri mereka menerusi kediaman masing-masing, koleksi warna 2024 ini mempersembahkan 23 warna daripada koleksi Jotun yang disediakan dalam rangkaian produk cat Majestic Sense.

Pelet ini merangkumi 10 rona baharu yang dirumus secara khas pada tahun ini di bawah arahan Pengurus Warna Global, Lisbeth Larsen, dan menerusi kolaborasi rapat dengan makmal teknologi warna Jotun.

Setiap tahun, Larsen dan pakar-pakar warna daripada tenaga penyelidikan antarabangsa Jotun akan meneliti masyarakat di serata dunia. Merujuk trend dan arus budaya yang baharu, Jotun menterjemahkannya kepada pelet warna yang menepati gaya hidup moden.

“Dalam aspek menzahirkan personaliti dan kreativiti diri, warna merupakan alat yang paling berkesan. Tanpa kita sedar, diri kita sebenarnya sarat dengan pelbagai idea. Dan ada kalanya kita hanya perlu mencari keberanian untuk meluahkan idea tersebut. CANVAS merupakan cara Jotun memberi orang ramai keberanian ini; menunjukkan bahawa semua orang memiliki kebolehan yang terpendam untuk menjadi seorang artis yang berseni.”

Pengurus Warna Global Jotun, Lisbeth Larsen.

Pelet baharu untuk ruang interior dan jati diri anda yang unik

Koleksi Warna Global ini mempersembahkan 23 warna bertemakan CANVAS menerusi satu gubahan set yang menawan oleh Kråkvik & D’Orazio, sebuah studio kreatif yang berpangkalan di Oslo.

Setiap imej merangkapkan kombinasi warna serta penjajaran rona yang menarik, ia mencetus pesona serta suasana keheningan, kedesaan, dan refleksi. 

Sebagai jawapan kepada trend global yang berpaksikan warna-warna yang mendamaikan, pelet 2024 oleh Jotun mencakupi sebuah spektrum warna hijau yang berunsur alam semula jadi, di samping warna-warna biru dan kelabu lembut yang menyuluh rona-rona keheningan langit dan laut. Warna perang serta kuning air juga mendekatkan lagi kita dengan bumi, manakala rona-rona kuning dan emas memberi secubit keceriaan dalam suasana yang didiami.

Seni dan sains di sebalik warna

Selain menggalakkan pemilik rumah mencungkil kreativiti dan menzahirkan jati diri mereka yang sebenar menerusi warna, Koleksi Warna Global oleh Jotun juga menyediakan panduan bagi kombinasi-kombinasi warna yang efektif, diberi nafas melalui imej-imej fotografi interior sebagai inspirasi. Berpaksikan konsep-konsep teori warna, berserta pelbagai prinsip yang menjadi panduan para artis dan pereka interior untuk berabad lamanya, koleksi ini menawarkan panduan sekilas kepada famili-famili warna yang harmoni berserta kontras yang bertepatan.

Setiap lembaran interior dalam Koleksi Warna Global diiringi dengan grafik roda warna untuk membolehkan pengguna memahami kombinasi-kombinasi warna serta rasional di sebalik rona yang dipilih.

Pilih warna yang sejajar untuk membuahkan interior yang tampak bersepadu; pilih yang berlawanan untuk menyuntik elemen keterujaan dan pesona ke dalam ruang tersebut; atau pilih warna-warna dengan intensiti yang setara untuk kombinasi aneka warna yang lebih bernuansa. 

CANVAS baru sahaja dilancarkan menerusi sebuah acara istimewa pada hari Sabtu dan Ahad, 25 & 26 November 2023 di The Godown Arts Centre, Kuala Lumpur, yang telah mempersembahkan pelet Koleksi Warna Global oleh Jotun bagi tahun 2024.

Di pelancaran ini, Jotun turut mengadakan pameran seni serba imersif yang mempelawa para pengunjung untuk mengamati kombinasi-kombinasi warna yang pelbagai daripada pelet tersebut.

Pengunjung dialu-alukan untuk mengambil bahagian dalam mengolah kreativiti diri dengan berinteraksi dengan bahan sampel, mencampur dan memadankan warna-warna seperti dengan bebas, untuk menghasilkan karya seni abstrak mereka sendiri.

Rumah yang indah dan sihat

Majestic Sense merupakan warna interior bertaraf premium yang membekalkan suasana yang sihat dan menyenangkan untuk didiami. Dirumus khas dengan Teknologi Udara Bersih untuk memugarkan kualiti udara di dalam bangunan, ia tiada bau yang kurang menyenangkan serta menyempurnakan permukaan dinding anda dengan kemasan serba mewah serta daya tahan yang berpanjangan. 

Majestic Sense berbangga untuk menjadi rakan Sensitive Choice®. Berlatarkan 300 juta individu di seluruh dunia yang mengalami asma, serta satu dalam tiga daripada kita yang mengalami alahan, program Sensitive Choice® telah diasaskan oleh National Asthma Council Australia bagi bantu mendidik orang ramai mengenai kepentingan pengurusan asma dan alahan.

Melalui sebuah proses semakan yang ketat oleh panel bebas, program tersebut memperakui produk-produk yang cakna akan masalah melibatkan asma dan alahan. Didatangkan dengan simbol rama-rama biru Sensitive Choice®, ia membantu penghidap asma dan alahan mengecam dengan mudah produk-produk yang baik untuk mereka.

Majestic Sense ialah pilihan anda untuk rumah yang indah dan sihat. 


Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: FacebookTwitterThreads dan Instagram

© 2021 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd