Now Reading
“Doktor Syak Nifael Digoncang Sebab Ada Pendarahan” – Bayi Alami Shaken Baby Syndrome Lepas Pulang Dari Rumah Pengasuh

“Doktor Syak Nifael Digoncang Sebab Ada Pendarahan” – Bayi Alami Shaken Baby Syndrome Lepas Pulang Dari Rumah Pengasuh

Bayi tersebut mengalami pendarahan dalam otak sehingga perlu memakai tiub kekal di dalam kepala.

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!


Bagi ibu bapa yang bekerja, sudah tentu tiada pilihan selain daripada menghantar bayi mereka ke pengasuh atau ‘play school’.

Namun begitu, sejak kebelakangan ini banyak kes berkenaan kemalangan yang menimpa anak di tempat asuhan dilaporkan. Pasti ibu bapa sentiasa berasa risau untuk menghantar anak mereka, terutamanya yang masih bayi, ke mana-mana.

Perkara yang dirisaukan ibu bapa akan menimpa anak menjadi realiti bagi sebuah keluarga. Seorang pengguna Twitter (@nuri_ririnx) berkata bayinya yang baru berusia lapan bulan telah mengalami retak kepala, pendarahan dalam otak dan pendarahan di kedua belah mata.

Kecederaan-kecederaan tersebut merupakan antara gejala yang dikaitkan dengan sindrom goncang bayi atau ‘shaken baby syndrome’.

Menurutnya, perkara itu terjadi selepas dia menghantar bayinya ke rumah asuhan kurang daripada tiga minggu. Bayinya dihantar ke pengasuh pada 20 Mac tahun ini ketika dia baru sahaja berpindah ke Ipoh dari Teluk Intan.

Pada 5 April, bayinya mula muntah-muntah dan pada masa itu dia hanya menganggap bayinya tersalah makan. Namun apabila muntah berlanjutan sehingga 7 April, dia membawa bayinya ke klinik dan diberitahu bahawa bayinya mengalami penyahidratan (dehydration).

Bayi itu kemudiannya dirujuk ke hospital dan didiagnosis dengan tonsil bengkak. Walaupun masih muntah-muntah, doktor membenarkannya pulang kerana bayi kelihatan aktif.

Setibanya di rumah, bayinya masih kerap muntah, sering tidur dan selalu menangis sehingga menarik rambut sendiri.


Bayi Diserang Sawan Di Rumah Pengasuh

Pada 18 April, dia menerima panggilan telefon daripada suaminya yang memaklumkan bahawa bayinya terkena sawan di rumah pengasuh. Dia segera mengambil bayinya untuk dibawa ke hospital. Setibanya di sana, doktor serta-merta memasukkan tiub atau ‘intubate’ bayi kerana badannya tidak berhenti mengejang.

Doktor turut bertanya waktu terakhir bayi diberikan susu. Apabila ditanya kepada pengasuh, dia diberitahu bayinya tidak diberi susu sepanjang di rumah asuhan sedangkan ketika itu jam sudah pukul 1 petang.

Bayinya kali terakhir menyusu pada sekitar 7 pagi sebelum ke rumah pengasuh. Ini bermakna dia dibiarkan tidur siang tanpa diberikan susu terlebih dahulu.

Doktor mengesyaki terdapat trauma hentakan pada kepala dan melakukan imbasan CT yang mendapati wujudnya pendarahan dalam kepala serta retak.

Doktor kemudiannya segera melakukan operasi kecemasan ke atas bayi untuk mengeluarkan cecair dan darah dari dalam kepala.

Ketika di kawasan Kecemasan, doktor bertanya jika bayi ada terjatuh dan mengesyaki terdapat penderaan yang berlaku ke atas bayi di rumah pengasuh.

Suaminya segera bertemu dengan pengasuh untuk mendapatkan penjelasan namun diberitahu bayinya tidak jatuh di rumahnya.

Namun begitu, Nuri sebelum ini perasan terdapat kesan lebam dan calar di mulut bayinya dan telah mengambil gambar. Apabila ditanya berkenaan perkara itu barulah pengasuh memberitahu bahawa bayinya telah beberapa kali tersembam ketika duduk.


Pengasuh Kata Perkembangan Bayi Lambat

Dalam keadaan yang mencemaskan itu, pengasuh sempat mengeluarkan kenyataan yang menyentuh perasaan Nuri. Pengasuh mendakwa bayinya lain berbanding kanak-kanak lain kerana belum pandai duduk dan berdiri walaupun sudah berusia lapan bulan.

Pengasuh juga pernah bertanya kepada ibu sama ada bayinya masih belum boleh merangkak.

Nuri hanya memberitahu bahawa perkembangan setiap bayi itu berbeza. Dia menekankan bahawa dia lebih risau dengan keadaan bayinya yang mengalami kecederaan kritikal sehingga melibatkan bahagian kepala dan otak.

Daripada tangkap layar di atas dapat dilihat pengasuh berkata bayi tersebut terbalik dengan sendiri tidak lama kemudian setelah diletakkan dalam keadaan duduk.


Bayi Terpaksa Pakai Tiub Kekal Dalam Kepala

Bayinya terpaksa melalui proses pembedahan untuk memasukkan ‘shunt’, iaitu sistem tiub dan injap yang fleksibel, ke dalam kepala.

‘Shunt’ yang dipasang bertujuan untuk mengeluarkan cecair daripada dalam kepala melalui tiub yang disambungkan ke perut. Lebihan cecair dari kepala akan dialirkan terus ke sistem penghadaman.

Tambahan lagi, doktor turut mengesyaki bahawa bayi digoncang kerana terdapat pendarahan pada kedua-dua belah matanya.

Selepas menjalani tiga kali pembedahan, berat badan bayinya hanyalah 7kg kerana terpaksa selalu berpuasa. Doktor berkata bayinya bernasib baik kerana dalam kebanyakan kes sebegini, pesakit selalunya tidak dapat diselamatkan atau menjadi orang kurang upaya.

Nuri berkata bayinya yang kini berusia 11 bulan sudah boleh melakukan pelbagai perkara seperti merangkak, memanjat, bergolek dan berdiri.

Dia kesal kerana kecuaian dan kegopohan pengasuh menyebabkan anaknya perlu memakai tiub kekal di dalam kepala. Keadaan tersebut juga menghalangnya daripada bermain sukan lasak apabila telah besar kelak.

Dia kini mengambil cuti separuh gaji untuk menjaga anaknya sendiri di rumah kerana trauma dengan mana-mana pengasuh.


Apa Itu Sindrom Goncang Bayi?

Sindrom goncang bayi adalah satu bentuk penderaan kanak-kanak yang teruk dan terjadi disebabkan oleh goncangan secara ganas walaupun hanya selama lima saat.

Ia sering terjadi kepada bayi kurang dua tahun, tetapi juga boleh dialami oleh kanak-kanak sehingga lima tahun.

Apabila bayi atau kanak-kanak digoncang, otak mereka akan melantun ke depan dan ke belakang serta melanggar tengkorak. Perlanggaran ini boleh menyebabkan lebam pada bahagian serebrum otak, bengkak, tekanan dan pendarahan otak.

Urat besar di luar otak boleh terkoyak dan menyebabkan lebih banyak pendarahan, bengkak serta tekanan tinggi.

Kecederaan sebegini mempunyai risiko menyebabkan kerosakan otak kekal, malah kematian.

Di samping itu, bayi atau kanak-kanak yang digoncang kuat turut boleh mengalami kecederaan pada bahagian lain seperti leher, tulang belakang dan mata.

Antara simptom sindrom bayi digoncang adalah muntah, kurang selera makan, masalah bernafas, mata hitam membesar dan sawan.

Sindrom ini jarang sekali disebabkan oleh kemalangan seperti terjatuh dari kerusi mahupun terjatuh tangga.


Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: FacebookTwitter, dan Instagram.

Get more stories like this to your inbox by signing up for our newsletter.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd