Monyet Sarung Pakaian Pelajar di UUM Undang Pelbagai Reaksi Netizen
Monyet itu kemudiannya berjaya menanggalkan pakaian tersebut dan menggantungkannya di sebatang paip.


Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm atau ikuti berita kami menerusi aplikasi Lumi News untuk updates terkini & relevan!
Kehadiran monyet di universiti, khususnya yang berada di kawasan pendalaman, bukanlah suatu perkara yang asing lagi. Sudah tentu bukan untuk belajar, tetapi untuk membuat kacau!
Mungkin anda biasa mendengar banyak cerita tentang monyet yang masuk ke bilik pelajar untuk mencari makanan. Ada juga monyet yang gemar memunggah barang-barang pelajar, malah meninggalkan najis di atas katil.
Seorang pengguna TikTok (@strwberrysour) yang menginap di sebuah kolej di Universiti Utara Malaysia (UUM) telah membuat hantaran video yang menunjukkan seekor monyet memakai pakaian dipercayai kepunyaan seorang pelajar.
@strwberrysour A normal day in UUM. Akibat selalu menyepahkan sampah dan campak barang orang dari koridor 🫠#uumsintok #UUM #littlemermaid ♬ Part of Your World – From "The Little Mermaid" – Halle
Lebih menggelikan hati apabila video tersebut disunting supaya berlatarbelakangkan lagu ‘Part of Your World’ daripada filem ‘The Little Mermaid’.
Pakaian berwarna putih yang kelihatan seperti sepasang gaun labuh membuatkan monyet tersebut kelihatan seolah-olah mempunyai ekor seperti ikan duyung.
Monyet Berjaya Buka Pakaian Sendiri
Pengguna TikTok berkenaan tidak berani membantu mencabut pakaian daripada monyet tersebut kerana ia sememangnya haiwan yang garang. Namun begitu, dia meyakinkan orang ramai bahawa monyet itu selamat.
Jangan risau, dia selamat. Yang tak selamat tuan punya baju.
Pengguna TikTok, @strwberrysour.
Apabila ditanya apa yang terjadi kemudian, dia berkongsi video pakaian tersebut yang telah ditanggalkan dan digantung di sebatang paip.
@strwberrysour Replying to @Ezu🅰️nn ♬ suara asli – Tessa Mariska SE
Menurutnya, dia ternampak monyet tersebut dalam keadaan sebegitu sebaik sahaja membuka pintu biliknya.
Namun atas faktor keselamatan, dia memilih untuk tidak membantu monyet itu. Malah, ketika itu terdapat banyak monyet lain di sekeliling yang akan menjadikan keadaan lebih berbahaya.
Netizen Geli Hati Tengok Telatah Monyet
Telatah monyet itu yang menggelikan hati mengundang reaksi pengguna-pengguna TikTok lain. Pengguna TikTok (@najhann) berkata keadaan itu seolah-olah seperti ‘deleted scene’ dalam filem ‘The Little Mermaid’.

Seorang pengguna TikTok lain pula memikirkan perasaan tuan pakaian tersebut apabila mendapati gaunnya telah hilang.

Ada juga yang berkata walaupun dia kesian melihat keadaan monyet itu, tetapi dia juga berasa layak perkara itu terjadi, mungkin kerana kenakalan monyet.

Beberapa komen oleh pengguna TikTok lain turut menceritakan pengalaman mereka bersama monyet ketika di UUM.


Tips Apabila Berdepan Dengan Monyet Liar
Bagi mereka yang biasa berhadapan dengan monyet di universiti, sudah tentu anda biasa mendengar tips yang perlu digunakan untuk mengelak daripada menjadi mangsa monyet.
Kami kongsikan tips yang biasa kami dengar dan praktikkan.
Jangan Bawa Makanan
Pertama sekali, harus diingat bahawa monyet mengganggu manusia kerana ia ingin mendapatkan makanan. Oleh itu, apabila berjalan di tempat yang kebiasaannya didatangi monyet, jangan bawa sebarang makanan. Monyet akan cuba untuk merampas makanan tersebut.
Jika anda membawa makanan dan monyet merampasnya, lebih baik jika dilepaskan sahaja supaya monyet tidak bertindak lebih agresif.
Jangan Pandang Mata Monyet
Jika berlalu berdekatan atau bersebelahan dengan monyet, jangan pandang ke arah matanya. Ini adalah kerana dipercayai monyet akan berasa terancam dan bertindak menyerang kita.
Letak Patung Harimau
Di samping itu, seperti di kebun-kebun, pihak kolej atau universiti juga boleh meletak patung harimau besar yang dipercayai dapat menakutkan monyet.

Jangan Lari Apabila Diganggu Monyet
Jika ada monyet yang menakut-nakutkan atau mengejar anda, buat tidak tahu sahaja. Jangan lari kerana dikatakan seperti anjing, ia akan merangsang tindak balas melawan monyet yang membuatkannya mengejar kita.
Jangan Serang Monyet
Akhir sekali, jangan serang monyet! Walaupun monyet itu mengejar atau merampas barang anda, elakkan daripada menyerang monyet.
Harus diingat bahawa monyet hidup secara berkumpulan. Jika salah seekor daripada mereka diserang, risau segerombolan monyet akan mengejar dan cuba menyerang anda kembali.
Kami faham bahawa dikejar monyet merupakan sesuatu yang mencemaskan dan akan merangsang reaksi ‘fight or flight’. Jadi lebih baik jika anda elakkan sama sekali kawasan yang sering didatangi monyet.
Sebagai tambahan, perbuatan membunuh monyet dengan kaedah tuba, racun atau secara mengubah fizikalnya adalah satu kesalahan di bawah Akta Perlindungan Hidupan Liar 2020.
Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, dan Instagram.